APAKAH YANG TERJADI SETERUSNYA?
ALONG bukan anak Mak! Mak tak mahu ujian DNA dilakukan terhadapnya kerana memang sah Along bukan anak Mak. Along juga bukan anak Abah! Abah sendiri sudah mengaku terus terang. Jadi Along anak siapa?
Apakah Along masih hidup? Jika masih hidup di manakah Along sekarang? Sihatkah dia? Di rumah sakit mana dia berada sekarang? Jika dia dalam tangan keluarga angkat, siapakah mereka? Jangan-jangan tubuh Along sudah dimamah jerung di laut atau jasadnya kini terdampar di tepi pantai Okinawa? Sesekali terfikir, jangan-jangan Along hanya tinggal roh sahaja!
Siapa Irwan dalam hidup Mak sebenarnya? Kehadiran anak uncle Sim juga menimbulkan keresahan dalam hati Abah. Jika Abah cemburukan Mak dan Irwan, Mak pun berhak cemburukan Abah dengan Suraya!
Saya bagi pihak semua yang terbabit:
MBA, Rudy Bluehikari, Eyes, Cnma, Firdaus Ariff dan Acik (Azra) berasa amat gembira dapat menyumbangkan peranan dan siri masing-masing dalam eNovel JANGAN ADA DENDAM ini. Sesungguhnya pengalaman ini amat bermakna bagi kami.
Terima kasih kepada:
Semua pembaca yang selalu memberi semangat kepada kami. Maaf jika kunjungan ke sini menghampakan pada hari-hari tertentu kerana tiada cerita baru yang kami persembahkan.
JANGAN ADA DENDAM AKAN DITERBITKAN?
Tunggu.....
KONSPIRASI SEBUAH RINDU - SIRI 90
AMAT payah untuk tenteramkan fikiran. Kekalutan terhadap Along berpintal-pintal di dalam benak bak benang-benang nan kusut. Payah untuk melerainya, susah untuk kurungkainya lurus kembali.
Kesibukan bandar Naha melemaskan. Sama seperti Kuala Lumpur yang sudah empat hari kami tinggalkan. Ini bermakna sudah empat hari juga wajah Irwan tidak kutatap. Kurindukan pejabat yang riuh dengan pelbagai tuntutan tugas. Akulah itu yang selalu terkial-kial membereskan amanah! Kurindukan gelak tawa anak-anak buah di pejabat. Akulah itu yang selalu tegas tapi mesra! Kurindu wangi bau bilikku... akulah itu yang selalu sibuk hingga lupa waktu makan! Kurindukan karisma seorang Irwan... Akulah itu yang selalu terkenang-kenang!
Semalam kuterima SMS daripada Irwan, selang seminit dengan SMS daripada Angah - Ada orang ikut kami... siapa mama? Macam Angah pernah lihat dia! Manakala SMS daripada Irwan tercatat ringkaS - Di sini okey, harap di sana pun okey. I tau you rindu...!
Apabila suamiku mengangkat telefon yang berdering-dering, ingatan terhadap Irwan terus terbang entah ke mana. Kulupakan kepahitan dan kecelaruan fikiran. Kulihat wajah suami yang berseri. Along... nama itu kusebut berkali-kali.
SAYANG-SAYANG BUAH KEPAYANG -- SIRI 89
DARI tingkap Hotel Miyako ini, sayup-sayup gemerlapan lampu neon dari bandar Naha jelas kelihatan. Isteriku beriya-iya benar mengatakan jasad yang terbaring di katil hospital itu bukannya Along. Hinggakan pihak doktor memaksa aku untuk menjalankan ujian DNA. Entahlah aku sendiri rasanya agak keberatan untuk melakukan ujian tersebut. Tidak ada apa yang perlu dibuktikan melalui ujian DNA tersebut. Samada ia adalah Along atau bukan, ujian DNA pastinya akan memberikan hasil yang negatif. Kerana Along bukanlah dari zuriatku.
Terlalu sukar untuk membuka ikatan yang telah bagaikan tersimpul mati. Ini membuatkan diriku terlalu lemah dan terasa hanyut dalam bilik hotel Miyako ini. Bandar Naha yang bersempadan dengan daerah Maeda ini bukanlah asing bagiku. Lebih kurang suku abad yang lalu, di sinilah aku bermukim untuk mencari ilmu. Di sini jugalah aku bertemu dengan ibu Along dan akhirnya setelah mengharungi seribu liku, kami pulang ke Malaysia.
Dalam termangu-mangu di senja itu, telefon di bilik berdering dan suatu khabar yang selama ini ditunggu-tunggu telah disampaikan.....