Sunday, November 30, 2003

Bertemu Eyes DI Pagi Raya - Siri 37

AKHIRNYA dia beralah juga dan bersetuju untuk pulang ke kampungku untuk beraya. Syukur kepada Tuhan, walaupun kepulangannya kali ini, seperti juga tahun-tahun sebelumnya bukanlah secara sukarela, namum dapatlah kami melakonkan watak keluarga bahagia dari Kuala Lumpur kepada sanak saudara dan juga orang kampung. Lebih-lebih lagi kepada ibu, tentulah sayu hatinya jika anaknya pulang selang setahun beraya tanpa isteri di sisi. Tentang anak-anak, langsung tidak menjadi masalah kerana pelbagai tarikan terdapat di kampungku. Ayam, itik, kambing, lembu, kerbau, hutan, belukar, tali air, lata semuanya menjadi daya penarik bagi anak-anakku untuk pulang ke kampung. Jika diadakan undi, setiap tahun tentu kami akan beraya di kampung keluargaku sahaja. Tetapi seperti yang sudah dipersetujui, kami tetap akan beraya mengikut giliran selang setahun, kecuali ada sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan perlu disegerakan serta untuk kepentingan umum (ewah… macam usul di sidang Dewan Rakyat pulak bunyinya).

Anak-anakku cukup ceria bermain dan bermesra sesama sepupu mereka yang hanya setahun sekali dapat berjumpa. Selalunya mereka akan dibuli cukup-cukup oleh sepupu-sepupu mereka kerana bebalnya dengan suasana desa yang terpencil, namun mereka tetap ceria. Apa tidaknya, antara anak lembu dengan kambingpun tidak dapat dibezakan. Apatah lagi jika kambing dengan biri-biri atau kancil dengan pelanduk. Ibu ayam yang mengeram, menetaskan dan membesarkan anak itik langsung tidak dapat difahami oleh mereka ini sampai kini. Nasib baik juga mak hanya tempah lemang pada tahun ini, jika bakar sendiri macam tahun-tahun lepas, sudah tentulah si Along akan confuse lagi dengan jenis-jenis buluh lemang ini.

Sememangnya tiada siapa yang kalah atau menang dalam giliran pulang beraya ini. Aku cukup kagum dan terharu terhadap isteri yang sanggup berkorban untuk setiap tahun beraya di rumah keluarga suami terlebih dahulu. Mudah-mudahan akan mendapat keredaanNya jua di hari kemudian. Aku tidaklah sampai hati rasanya untuk menggunakan kuasa veto atau undi majoriti yang sedemikian rupa. Namun pengorbanan kita masih juga tidak mendapat sebarang tempat. Bagi yang setiap tahun pulang ke rumah keluarga isteri juga begitu, janjni mereka sekeluarga bahagia sudahlah.

Tiba di kampung tidak banyak perkara yang boleh dilakukan. Hujan musim tengkujuh sudah mula datang menyapa lembut. Tiada Internet, tiada handphone, yang ada hanyalah bunyi riang kicauan burung dan ayam itik yang bermesyuarat sesama sendiri. Menentukan giliran siapa yang harus dikorbankan untuk lauk kami agaknya.

Sehari sebelum raya atau lebih dikenali sebagai hari bakar lemang atau hari buat ketupat, aku membawa emak, adikku Roslan dan PokYar Wan Deramang suami isteri ke hospital untuk menjamin adik bongsu ku si Usop yang sudah sepuluh hari direman polis akibat menjual mercun. Nasib baik dia direman di hospital kerana tercedera semasa membakar mercun, jika tidak terpaksalah tidur berlantaikan simen di lokap polis. Proses menjamin ini tidaklah mudah kerana mahkamah sudahpun ditutup kerana tuan majistret sudahpun bercuti raya. Pada masa ini kuasa kerani mahkamah telah hampir-hampir menyamai ketua hakim negara adanya. Pok Yar menemui tuan inspektor Sabri dan memperkenalkan aku sebagai abang Usop yang bekerja di Kuala Lumpur. Aku nampak inspektor ini acuh tak acuh sahaja bersalam dengan aku dan aku tahu sebenarnya dia sudah gabrah kerana tempoh penahanan telahpun berakhir dan hendak atau tidak dia mesti berusaha ke mahkamah samada untuk menyambung atau membebaskan adik ku. Akhirnya inspektor tersebut bersetuju membawa Roslan ke mahkamah lain di bandar untuk urusan jaminan. Kemudiannya Usop dibebaskan dengan diiikat jamin sebanyak RM3000 dengan seorang penjamin sementara menunggu hari perbicaraan dalam bentuk buku simpanan bank yang akan dipegang oleh pihak mahkamah. Nasib baiklah PokYar suami isteri ini tidak berkira orangnya. Namun duit raya aku jugalah yang melayang. Dari hospital ke balai polis, ke mahkamah majistret dan ka bank naik turun dan beratur panjang demi untuk membolehkan budak ni dapat beraya di rumah. Itu sahajalah kerjanya setiap kali Ramadan, tidak lain dari membeli dan menjual mercun. Moga-moga setelah kena 10 hari reman ni insaflah dia. Di kampung ni dah tidak lagi seaman dulu rupanya. Jika bukan mercun, ada pula perniagaan ubat batuk ataupun air ketung yang dijalankan secara sembunyi mahupun terang-terang. Dari pagi sampai ke petang turun naik pejabat kerajaan ini sungguh memenatkan, setelah pulang terus terlena hingga hampir berbuka.

Dengar khabarnya sepanjang ketiadaan aku di rumah, isteri ku yang telah dilantik secara tidak rasmi sebagai presiden menantu-menantu telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan semua ipar-ipar aku. Ah biasalah itu orang perempuan punya kerja, mesti mengemaskini gosip terkini tu agaknya.

………..
PAGI raya kami sekeluarga ke masjid seperti biasa, yang tinggal hanyalah anak kecil kami bersama emaknya. Selepas selesai sembahyang, kami ke pusara ayah menghadiahkan al-Fatihah dan surah Yassin. Pulang ke rumah sudah agak lewat dan acara yang paling memenatpun tiba apabila sanak saudara tidak putus-putus datang berkunjung. Isteriku tidur sepanjang hari dan hanya bangkit setelah hampir maghrib dengan alasan demam dan sakit kepala. Permintaannya untuk mendapatkan Tokcik fatimah untuk mengurut badannya ditunaikan oleh orang tua itu yang datang di sebelah malamnya.

Raya kedua, dalam renyai-renyai hujan, isteriku mengajak pulang ke kampungnya. Kali ini aku berjaya memujuknya dengan amalan urutan Tokcik yang memerlukan tiga kali berurut sebagai syarat, Fuh berjaya juga muslihat tersebut. Sebenarnya semasa di masjid tadi aku terlihat seorang gadis yang iras-iras Eyes, masakan pelanduk dua serupa? Kalau betullah dia, alahai tidak perlulah aku berebut-rebut nak balik raya lagi agaknya!.



_____________
Ubat batuk: digunakan oleh penagih yang ketagih dadah
Air ketung: Minuman dari daun ketung yang juga sejenis dadah, namun masih belum lagi diwartakan .

Thursday, November 20, 2003

MANISNYA DONUT - Siri 36

sesekali bila rindu menyapa kalbu. . . . . . . .

2.00 pagi. Musim Panas yang begitu menghangatkan. Aku tak boleh tidur. Entah mengapa mata ini begitu berat untuk dikatupkan. Sebentar tadi, NAHOKO telefon aku. Dia minta aku temankan dia makan di tempat biasa. Aku bingkas bangun dari katil. Aku sarung celana dan t-shirt adidas buatan Republik Rakyat China. Menyarung kasut Nike buatan Thailand. Memakai cap tanpa jenama buatan Malaysia. Menguak pintu bilik 205 dan menuruni tangga ke luar kaikan (asrama universiti). Tiada udara. Bahang kehangatan terasa walaupun jam sudah lewat pagi. Aku benci musim panas Okinawa yang cukup menyeksakan.

Tujuan aku satu. Aku nak nak sana. Daripada aku melangut sendirian dalam bilik berukuran 8 meter kali 4 meter persegi yang cukup sempit itu, baik aku ambil angin pukul 2 pagi. Jalan pelan-pelan menyusur Funaba-cho Doori menghala ke pusat Bandar Naha yang lengang. Di sana sini, aku lihat kumpulan-kumpulan warga pekerja Jepun yang terhoyong-hayang kemabukan baru keluar dari Bar atau Pusat Karaoke. Ah! Satu permandangan biasa di negara matahari terbit ini. Inilah sahaja yang boleh mereka lakukan untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi semasa bekerja. Tertekan dengan kerja, mereka berpakat ramai-ramai dan keluar nomikai (minum-minum) sampai mabuk hingga lewat pagi.

Aku melewati Bangunan Toho Bank. Dari jauh aku melihat tempat tujuanku. Masih terang benderang, tetapi bilangan pengunjungnya sudah semakin berkurangan. Pukul 2 pagi, bukan waktu sesuai untuk ke situ. Aku sahaja yang tergila-gila nak ke situ pada waktu-waktu begini. Aku lihat jam Casio G-Shock buatan Indonesia di tangan kiri. Dua suku pagi. Dari jauh aku lihat Nahoko sudah menunggu aku dengan muka yang agak keletihan. Tetapi tetap murah dengan senyuman. Dia baru habis baito (kerja part time) katanya. Gakusei (pelajar) seperti dia yang hanya mengharap duit saku ayahnya mana cukup untuk membiayai kehidupan remajanya yang mahukan itu dan ini. Syukur, biasiswa penuh Dasar Pandang Ke Timur yang aku terima, lebih dari cukup. Terima Kasih kepada Kerajaan Malaysia yang membiayai aku, juga terima kasih kepada pembayar-pembayar cukai yang sudah tentunya duit rakyat Malaysia bukan?

Aku menarik kerusi dengan malas. Merenung wajah ayu Nahoko membuatkan aku terpana. Argh! Sudah lama Nahoko memendam perasaan hatinya kepada aku. Tetapi janji aku denagn Mak melebihi segala-galanya! Aku hanya mampu memberikan Nahoko kasih-sayang seorang sahabat. Tidak boleh lebih dari itu. Aku tak mahu janji yang selama ini aku kotakan runtuh dek kerana wanita cantik di depan mata. Aku bukan seorang manusia yang suka memainkan perasaan wanita. Lagi-lagi kalau dia ibu kandungku. Itu bukan sifat aku. Siapa yang tidak mahu punya kekasih hati dari bangsa bermata sepet dan berkulit kuning langsat itu? Siapa yang tidak bangga bila ada seorang gadis negara matahari terbit ini mula menanam harapan kepada seorang lelaki dari bangsa berkulit sawo matang ini? Sudah ramai dikalangan sempaitachi (senior) yang berkahwin dengan gadis negara penuh adat Shinto ini. Argh! Biarlah aku setia! Demi janji yang aku meterai dengan Mak sebelum aku terbang mencari segedung ilmu di sini.

Aku memasuki Mister Donuts dimana Nahoko sudah setia menanti sejak pukul 2 pagi tadi. Inilah tempat yang aku ingin tuju sejak tadi. RESTORAN MISTER DONUTS yang banyak mencerna kenangan selama 4 tahun bertahan mencari ilmu di negara yang pernah menjajah nenek moyang kita.

"Ne, Nahoko, nanka taberu?"
(Nahoko, nak makan apa?)

"Un, kocha. Ato wa syuga- reisudo to hani- deep donatsu de iin da"
( Ok, saya nak teh. Sugar raised dan honey deep donuts sahaja)

"jya, onaji ni shiyou"
(Ok saya pun ambil yang serupa)

Itulah sahaja makan malam bagi Nahoko yang mementing diet kecantikan. Secawan teh panas. Dua keping Mister Donuts Honeydeep dan sugar raised yang setiap keping hanya berharga 90 yen. Murah dan mengenyangkan. Beginilah saban minggu setiap malam Rabu dan Sabtu. Aku akan menemani Nahoko makan sebelum sama-sama pulang bersama kereta Skyline, Nissannya. Perbualan hanya berkisar tentang pelajaran dan sekali sekala dia bertanyakan tentang keluarga di Malaysia. Dia bersikap terbuka dalam hal ini. Aku senang sekali bersahabat dengannya.

*******************

Segalanya tinggal kenangan. Sudah hampir setahun aku pulang ke tanahair. Khabar terakhir yang aku dengar Nahoko sudah bekerja di bahagian pentadbiran di sebuah hospital kepunyaan Wilayah Okinawa. Mungkin dalam waktu terdekat ini, dia akan melangsungkan perkahwinan dengan pemuda pilihannya. Khabarnya seorang rakyat Amerika berketurunan China. Semoga dia bahagia. Aku? Entahlah. Sejak aku berpisah dengan dia, aku jadi pasif dengan kaum hawa. Luka lama masih berdarah. Entah bila mahu sembuh agaknya. Aku tidak mahu salahkan Mak dalam hal ini. Mak berhak memilih wanita yang bakal menjadi suri hidupku. Email daripada Nahoko tempoh hari sering terbayang di wajahku. Kehadiranku dituntut dalam Majlis Perkahwinannya Disember Eve ini. Mampukah aku melalui detik getir itu?



ANTARA ISTERIKU, EYES DAN NAHOKO - SIRI 35

HARI ini datang awal ke ofis kerana selepas ini akan mengiringi KP untuk memberi taklimat kepada YAB PM yang baru. Mengikut perancangannya Wak Don akan membawa kami ke Ibu Pejabat. Alahai kalau Cik Siti Noor Eyes ikut sama kan bagus, boleh juga sembang-sembang dengan dia. Si Eyes yang disuakan oleh Wak Din adalah terlalu muda buatku. Ia mengingatkan aku pada Nahoko, gadis Jepun yang pernah dibawa pulang oleh Along beberapa tahun dulu. Memang Eyes ada iras-iras Nahoko. Gadis Jepun itu adalah sudah lengkap serba serbinya bagi aku untuk dijadikan menantu, apatah lagi kedua-duanya memang saling cinta menyintai. Bukan senang bagi orang asing untuk memikat gadis Jepun, apatah lagi yang jelita macam Nahoko itu. Biasanya wanita Jepun ini, apabila menjadi isteri, ia akan menjadi isteri yang paling taat. Akan berhenti kerja dan menjadi suri rumah yang taat sepenuh masa dengan menjaga anak dan menguruskan rumah tangga. Mereka akan meninggalkan segala glamor dan keseronokan di pejabat semata-mata untuk berbakti kepada suami dan keluarga. Alangkah bahagianya semua keluarga yang begitu. Si suami bolehlah menumpukan sepenuh perhatian kepada soal kerjaya.

Walau bagaimanapun aku tidaklah menentang jika wanita ingin bekerja, tetapi biarlah berpada. Sungguhpun di pejabat menjadi ketua, isteri perlulah menghormati suami yang menjadi peneraju dalam keluarga. Buatlah serba sedikit kerja rumah khususnya memasak untuk seisi keluarga. Sudahlah semenjak bayi anak-anak dibesarkan dengan susu lembu, sesudah besar dikenyangkan pula dengan pelbagai makan segera. Aku cukup khuatir anak-anak akan menjadi degil dan tidak mendengar kata. Syukur kepadaNya apabila along tidak begitu. Walaupun emaknya nekad tidak mahu menerima Nahoko sebagai menantu, Along tetap akur. Apa sifir dan fomula yang dipakai olehnya untuk tidak menerima Nahoko tidaklah aku ketahui. Seorang wanita moden, terpelajar dan berkedudukan sepertinya masih ada rupanya kekolotan dalam diri yang hanya inginkan menantu dari bangsa sendiri sahaja.

Tersedar dari khayalan apabila menerima SMS dari along mengatakan emaknya masih di rumah, masih belum keluar bekerja. Ah apa halnya pulak dengan dia, sakit kah, demam kah atau ada temujanji berdekatan rumah?. Kucapai telefon dan terus dial ke rumah. "Sayang, Along kata sayang tak keluar lagi ke pejabat? Cutikah? Abang …. " talian telefon terputus. Cuba lagi dial dua tiga kali, tetapi semuanya tidak berjawab. Talian handphone pula dimatikan dan hanya mesin yang menjawab. Angin apa pula yang melanda isteriku ini?. Ah pedulikanlah, ini tentu tak lebih dari taktik lama supaya aku memujuk dan akhirnya terpaksa pulang berhari raya di rumah keluarganya. Walau apapun jadi, tahun ini memang giliran beraya di kampungku, kesian kepada mak jika aku terpaksa mungkir kepada giliran ini semata-mata untuk memujuk isteri yang sengaja mencari helah begitu.

Wednesday, November 19, 2003

MASIH ADA RINDU TERCICIR - SIRI 34

BULAN November masuk ke Disember, cuaca basah merata. Hujan turun tidak menentu, kilat petir pun sabung menyabung tidak mengira ketika. Sekejap lebat, sekejap renyai. Bak kata pepatah eloklah disediakan payung sebelum hujan.

Sudah dua hari tanah basah melekit. Sudah dua hari juga hatiku sakit. Along sudah ke tempat kerja, aku saja yang belum bertolak, masih berkira-kira mahu ke tempat kerja atau tidak. Suami? Ah, pagi-pagi lagi dia sudah mengira kilometer, berpusu-pusu dengan kereta lain, menerjah aspal.
Permainan halusnya betul-betul menyakitkan hati. Dia sengaja. Dia memang mahu aku tahu yang dia dan Souraya masih ada hubungan yang intim. Masih ada rindu yang tercicir. Masih ada kasih yang kian hampir dan akrab. Jika ikutkan hati, mahu saja kubakar surat itu - ya, mahu kubakar hangus dengan tangan yang menggengam surat itu sekali!

Aku terjaga untuk bersahur dan kelihatan di sisi, dia tidur mati malam itu. Dadaku berdebar tatkala mencapai surat dalam genggamannya. Kubaca dengan hati tercalar. Kemudian surat itu kulipat dan masukkan semula dalam genggamannya - itupun dia tak sedar lagi. Agaknya sedang mimpikan momen manis bersama Souraya ketika di Leeds dulu.

Jika dia mahu halalkan hubungannya dengan Souraya, aku tak kisah. Begitu juga aku harap dia tak kisah untuk melepaskan aku. Adilkan? Jika dia mahu bahagia, aku juga tidak mahu hidup dalam sengsara.

"Sayang, Along kata sayang tak keluar lagi ke pejabat? Cutikah?" Tatkala telefon di rumah berdering, suara dialah yang terpacul.
Ah, aku malas hendak menjawabnya. Telefon kuletakkan semula.
Apabila telefon berdering untuk kesekian kalinya, aku sudahpun meninggalkan ruang tamu, masuk ke bilik. Biarlah telefon berdering, sedangkan hatiku sendiri tak putus-putus menjerit-jerit pedih.

Dia menduakan aku? Itu pantang besar bagiku. Jika alasannya hendak mengikut sunnah nabi, kenapa sunnah yang satu ini yang nak diikut sangat sedangkan sunnah yang lain tak dipandang langsung? Biarlah tiada payung emas untukku di sana nanti. Aku akan usahakan keberkatan itu dengan cara lain pula, tapi bukan dengan poligami. Ia adalah soal maruah.

Ku renung PC di suduh bilik. PC itu bagai mengejekku. PC itulah yang selalu dihadapnya, penghubungnya untuk menjalin rindu pada Souraya. Terasa ingin kuterajang PC itu. Biar kugunting-gunting wayarnya! Biar kupecahkan monitornya! Biar kucungkil-cungkil mata keyboardnya! Tetapi fikiran rasionalku segera menguasai. PC itu tidak bersalah... suamiku yang cuai. Dia lalai membaja kasih sayang kami!

PC - ya, Perempuan Cun itulah yang dihadapnya sampai migrainenya menjadi-jadi!


Lompat dan tikam - Siri 33

Jarang aku lihat Mak pulang awal dari pejabat. Entah mengapa hari ini, ketika aku parking kereta masuk ke kawasan rumah, aku lihat kelibat emak di taman orkid. Emak tekun membelek Orkid Dendromium Tengku Anis, hadiah daripada Prof. Dr. Marziah sahabat baiknya di UPM. Mak kata orkid itu spesis baru dan boleh mengeluarkan bau harum hasil penyelidikan sahabatnya itu.

"Awal mak balik hari ni?", aku memulakan perbualan.
"Balik awal salah. Lambat balik salah. Tak balik terus baru tau! Sukalah nanti korang adik beradik dapat mak baru!", tiba-tiba Mak balas sapaan aku. Berdesing telinga aku. Aku lihat wajah Mak mencuka.

Aduh! Pedih betul dengar kata-kata Mak. Aku garu kepala yang tidak gatal. Angin kus-kus manalah yang buat Mak melenting petang-petang yang damai begini. Mak tengah PMS ke? Entah. Mana aku tahu pusingan haid kaum hawa.




Poligami?... Souraya??...Eyes??? - Siri 32

SEMENJAK akhir bulan Ramadan ini asyik mengantuk sahaja di pejabat. Barangkali staf menyangka aku banyak beribadat untuk mencari Lailatul Qadar agaknya. Biarlah mereka bersangka baik begitu terhadapku. Tengahari tadi, untuk menghilangkan rasa kantuk yang amat sangat, aku bersembang dengan pemandu kami Wak Don.

+ kabare Wak
- Oh waras…. Tuan apa khabar?
+ Biasa-biasa aja Wak. Keluarga Wak macamana?
- Heh.. heh… keluarga yang mana maksud tuan, yang nombor 1 atau nombor 2?. Yang nombor 3 belum ada lagi, belum ketemui jodohnya….. Yang tua Kak Markonah tu sihat, dia isteri yang paling baik. Susah mau cari isteri yang begitu. Pandai masak, menjahit, menguruskan rumah tangga dan anak-anak segalanya. Wak serahkan padanya, insyaallah semuanya beres. Satu lagi kelebihan istimewa dia ialah pandai mengurut. Tiap-tiap malam bersamanya, segala lenguh-lenguh di badan Wak ini akan pulih diurutnya. Segar badan jadinya. Awet muda gitu. Si Mastura yang nombor 2 itu pun bagus juga sihat-sihat juga adanya.
+ Jika Kak Markonah tu baik dan sempurna segalanya, mengapa Wak kahwin lagi?. Dengar-dengarnya Wak mahu pasang satu lagi pulak? .
- Itu salah tuan… kita berpoligami bukan untuk seronok-seronok saja. Maaf tuan saya mau bilang… Jika terasa rumahtangga kita tidak bahagian, isteri kita semacam tidak mengendahkan kita, sibuk sendiri-sendiri, itu bukan alasannya untuk kahwin lagi satu. Jika kita mau lari dari masalah begitu dengan kahwin lagi satu, masalah itu tidak akan lari, malahan lagi banyak masalah yang timbul nanti. Sebab masalah sebenarnya berada dalam diri kita, dalam kepala kita. Tetapi kita asyik menyalahkan orang lain saja. Jadi ke mana saja kita pergi, masalah itu akan terus mengikuti kita.

Terlopong dan mengangguk-angguk aku mendengar penjelasan Wak Don.
- Tetapi tuan, saya perhatikan tuan memang layak untuk berkahwin lagi satu. Usah dipersiakan hidup ini tuan. Poligami itu sunnah Nabi. Tuan sudah lengkap segalanya, harta banyak, pangkat tinggi dan orangnyapun alhamdulillah alim saya nampak. Segala harta dan pangkat tuan itu hanya untuk dunia saja tuan, ia tidak bisa dibawa ke akhirat. Lantaran itu tuan perlu membina masjid lagi untuk membantu kepada yang memerlukan, insyaallah dapat banyak pahala…
+ Maksud Wak?
- Bukankah ramai wanita dan gadis di sini yang masih belum berjaya membina masjid?. Mereka itu bukan calang-calang orang, ada kedudukan ada rupa, Cuma barangkali jodoh mereka yang belum sampai. Jika tuan mau, saya bisa uruskan
+ Ttetapi macamana dengan syarat untuk mendapatkan kelulusan isteri pertama Wak?. Saya tak mahu melanggar peraturan dunia, nanti peluang saya untuk menduduki kerusi pengarah tu akan terjejas akibat salah laku begini
- Tuan jangan bimbang, tahulah Wak menguruskannya. Itu Dato’ TKP II kita tu, Waklah yang uruskan. Dengar cerita, saya rasa tuanpun lagi tahu, dia akan jadi KP nanti, kira dah melangkau TKP I tu.. Bukankah bertuah begitu?. Tuan Haji TKP I tu dahlah kemponan tak dapat kahwin lagi satu, nak jadi KP pun melepas jugak. Hah..hah..hah… mengumpat pulak Wak di bulan puasa ni…. Bagaimana tuan, calonnya udah ada, tunggu tuan kaya ya saja
+ Eh..eh.. Wak, sabarlah dulu kalau ya pun. Cuma boleh saya tahu siapa calon yang wak katakan tadi tu? Saja-saja nak tahu
- Syyyyy jangan ceritakan pada orang lain, ini antara kita berdua saja tuan. Itu Penolong Pengarah Cawangan Disiplin, Cik Siti Noor Eyes tu. Bagus orangnya, cantik dan baik budi bahasanya. Sepadan dengan tuan tu. Jika tuan setuju, kira jadi saja .

Dialog hangat kami terhenti setelah Cik Siti Noor Eyes sendiri menyapa dan meminta Wak Don berjumpa tuan Pengarah untuk menghantar beliau ke lapangan terbang. Oh…. OK juga dengan Eyes ni…. Tapi kan aku dah ada pilihan sendiri?



Tuesday, November 18, 2003

Warkah Rindu Souraya - Siri 31

PULANG dari 7-Eleven malam itu, tetiba hati teringat kepada Souraya di Leeds. Lantas mengulangi membaca warkahnya yang telah diterima beberapa hari lalu buat kesekian kalinya. Satu tindakan nekad dan berkesan harus dilakukan untuk memenuhi harapannya:


45 Eastern Avenue
Leeds 8D5E
Yokshire, UK

Kehadapan Abang yang dirindui;

Dengan ringkasnya Su mengutus warkah ini sebagai pelengkap kepada beberapa siri chatting kita sebelum ini. Bersama-sama ini juga Su sertakan dokumen-dokumen yang abang perlukan bagi tujuan tersebut.

Sesungguhnya Su amat mengharapkan jawapan positif dari pihak Abang. Jangan biarkan diri Su tertunggu-tunggu begini, kerana penantian itu adalah suatu penyiksaan. Abangpun memang tahu bahawa harapan Su hanyalah pada Hanya pada Abang seorang, tiada dua tiada tiga. Jangan kecewakan harapan Su Abang. Abah juga amat mempercayai Abang dan ia menyerahkan segala-galanya kepada Abang untuk membuat keputusan. Budi baik Abang selama berada di Leeds yang tidak jemu-jemu melayan abah bersembang benar-benar mengembirakannya. Dia kesunyian sebenarnya apabila masyarakat sekeliling menyisihnya. Kehadiran Abang walaupun hanya seketika seolah-olah memberi nafas dan semangat baru kepadanya.

Sebelum mengundur diri, Su sekali lagi merayu kepada Abang supaya menimbangkan permintaan ini dan Su tidak rela untuk dikecewakan oleh Abang.


Salam sayang

Souraya.


Aku berkira-kira untuk melakukan beberapa langkah berani yang belum pernah dibuat sebelum ini untuk memenuhi harapan dan permintaan Su. Hati berbelah bagi samada ingin memberitahu isteriku atau tidak buat masa ini. Ada baik dan ada buruknya. Mungkin ia adalah terlalu awal untuk berterus terang, lagipun di bulan Ramadan ini bukankah juga dikenali sebagai bulan haram?.

Tersedar dari tidur apabila dia mengejutkan aku untuk bersahur. Masyaallah surat Su berada di tangan menemani tidurku.

Sunday, November 16, 2003

LOMPAT TIKAM ll - Siri 30 oleh Bluehikari

Kuih lompat tikam terbiar di atas meja. Sudah 10 minit berbuka puasa. Kelibat Mak langsung tak nampak. Sah! Mak berbuka puasa di luar lagi. Mungkin dengan client pejabatnya. Tidakpun dengan sahabat-sahabatnya. Adik-adik aku bukan suka makan kuih yang terkenal dengan manisnya itu. Abah pula selesa berbuka dengan murtabak sekeping. Terus dia bersiap ke masjid menunaikan solat maghrib. Sedih juga. Idea yang dirangka tidak menjadi. Aku malas mahu fikir tentang hubungan Mak dan Abah lagi. Biarlah masalah mereka itu selesai dengan cara mereka sendiri. Masalah sendiri pun tak selesai, lagi mahu fikir masalah orang lain.

**********

Empat setengah petang. Ada satu jam lagi waktu beekrja tamat. Kerja sudah selesai. Apa yang aku nak buat agaknya? Mahu surfing sudah semua laman web yang wajib aku masuk sudah aku baca. Baru aku teringat. Aku sudah lama tak buka email Bahasa Jepun aku di yahoo.co.jp. Mungkin ada email-email daripada sahabat aku dari negara matahari terbit itu. Sengaja aku khaskan email di yahoo.co.jp itu untuk memudahkan mereka menghantar email menggunakan huruf-huruf hiragana, katakana dan kanji. Kalau dihantar ke email pejabat aku, jawabnya aku akan cuma boleh melihat tulisan-tulisan yang tidak boleh dibaca kerana email pejabat tidak disertakan kemudahan membaca karektor-karektor tulisan Jepun tersebut.

Seperti yang aku jangka ada 2 email berderet untuk dibaca. Satu daripada ibu angkat aku Puan Takahashi yang mengucapkan selamat berpuasa. Masih ingat lagi rupanya dia tentang Ramadhan, meski sudah lebih setahun aku meninggalkan Okinawa. Dia pernah ikut serta aku menjalani ibadah puasa. Katanya mahu kuruskan badan. Memang benar. Hajatnya sampai apabila berjaya menurunkan 3 kilogram selama 15 hari berpuasa bersama-sama dengan aku. Aku pernah berbuka puasa di rumahnya. Hari itu aku sendiri menjadi cheffnya. Aku masak hidangan nasi beriani yang menjadi kesukaannya. Itupun atas permintaan dia setelah diperkenalkan dengan nasi beriani semasa melawat Malaysia sebelum aku mengenalinya lagi. Rindunya aku kepada mereka sekeluarga! Ayah dan Ibu angkat yang menjaga aku selama aku berkelana ilmu 4 tahun di Jepun!

Satu email lagi benar-benar menyentak hati aku. Email daripada Nahoko. Sahabat akrab yang pernah sama-sama belajar Undang-undang di universiti. Dia anak petani dari Wilayah Akita, Utara Jepun. Aku pernah sekali mengikut dia pulang ke kampung, berkenalan dengan ibu dan ayahnya yang ramah. Kehidupan di Akita sangat tenteram dan aman. Kampungnya masih tebal diselimuti kehijauan. Malah sumber air dari gunung benar-benar menyegarkan. Rumahnya sendiri terletak ditengah-tengah sawah milik keluarganya. Jadi tidak hairanlah dengan serba-serbi kehidupan yang dekat dengan alam Ratu Cantik Jepun datang dari Wilayah Akita. Ini sudah terbukti dan diakui oleh sebahagian besar rakyat Jepun yang Wanita Akita adalah "BIJIN" yakni "Wanita Tercantik" di Jepun.

Aku pernah juga bawa Nahoko pulang ke Malaysia ketika cuti Musim Panas dua tahun yang lalu. Dia mahu tahu tentang Islam dan aku mahu buka mindanya tentang Kehidupan Masyarakat Islam di Malaysia. Aku mahu dia buang segala prasangka tentang Islam yang dilabel pengganas oleh media negaranya. Selebihnya aku serahkan urusan itu kepada Tuhan. Aku selalu berdoa suatu hari nanti dia tergerak menerima Islam sebagai pegangan. Ketika aku perkenalkan dia dengan Mak, Mak terus tarik aku ke dapur. Mak kata dia tak suka kalau aku berniat untuk menjadikan Wanita Asing itu sebagai menantunya!

Aku terpempam. Benar-benar terkejut dengan kata-kata Mak. Sedikitpun aku tak berniat ke arah itu.



Saturday, November 15, 2003

BERKAWAN BIAR SERIBU ... SIRI 29

WANITA kini sudah terlalu maju dan dalam serba serbi inginkan persamaan dengan lelaki. Ia adalah sesuatu yang baik jika mengejar persamaan hak ke arah kebaikan. Jika dulu adalah terlalu janggal kita dapat melihat wanita muda merokok, kecuali orang-orang tua di kampung. Itupun sekadar rokod daun nipah yang digulung bersama tembakau kononnya untuk menghalau nyamuk. Suasana di luar kedai seven eleven ini benar-benar memeningkan kepalaku. Sekelompok remaja perempuan belasan tahun dengan berlegar-legar di beberapa gerai penjual bunga api sambil merokok tanpa segan silu. Remaja perempuan merokok di khalayak ramai kini sudah menjadi perkara yang lumrah. Tidak lagi janggal di mata masyarakat. Sementara di sebelah hujung sana pula beberapa remaja yang lebih sopan dengan bertelekung meninjau-ninjau gerai-gerai menjual kain baju dan permainan. Barangkali mereka baru pulang dari bertadarus dari surau Altaqwa berdekatan. Suasana Ramadan ini meriah dengan gerai-gerai tanpa lesen yang menumpang cahaya 7-eleven yang tidak pernah padam.

Wanita yang bernama isteri juga telah telah maju setapak lagi agaknya. Berkawan dengan siapa sahaja tanpa pengetahuan suami. Sungguhpun suami tidaklah begitu berkira sangat, namun jika terlalu banyak masa dihabiskan dengan berkawan, sudah tentu timbul rasa kuarng senang juga jadinya. Kemudahan telefon bimbit, SMS dan chat seolah-olah telah disalahgunakan untuk memudahkan persahabatan begini. “Eh Wan,dari mana ni” ujar isteriku semasa dia sedang berkira-kira untuk membayar dari 7-eleven telah menyedarkan aku semula dari syarahan maya ini. Ah ramainya kawan dia!, hatiku berkata. Kakiku terus sahaja menapak langkah menuju ke kereta tanpa rasa bersalah meninggalkan isteri terus bersembang dengan lelaki yang disapa sebagai Wan tadi. Sampai ke kereta terus menghidupkan enjin dan barulah minda tersedar. Wan ya… nama dia Wan. Siapa Wan?. Jangan-jangan Irwan tak?. Kalau setakat berkawan tidaklah teruk sangat, tapi jika sudah menjadi pujaan, hinggakan Palm pun dinamakan dengan dia, tentulah sudah lebih.

Bila dia masuk ke kereta, aku terus sahaja memasukkan gear dan memecut untuk pulang tanpa berkata apa-apa dan dalam kepala ku berputar-putar lagi dengan Irwan. Penjelasan isteriku aku jawab spontan dengan penuh rasa curiga. Irwan masih menghantui benak ini.

Friday, November 14, 2003

BUKAN NIATKU MELUKAIMU... - SIRI 28

SELEPAS sembahyang terawih kami ambil keputusan untuk singgah ke Restoran Dhurbar sebentar. Sebenarnya dah lama teringin hendak meneguk teh tariknya dan sambil itu dapat pula mengunyah tosei di situ. Restoran yang dibuka 24 jam itu sentiasa sibuk. Pelanggan keluar masuk tak mengira masa.

Selepas makan, dalam perjalanan balik kami singgah lagi di 7 Eleven untuk meberi barang-barang keperluan rumah yang kebetulan sudah kehabisan. Sesuatu yang tidak disangka telah berlaku di pintu kedai yang juga dibuka 24 jam itu. Aku tak mampu melangkah kaki rasa bagai dirantai.

"Eh, Wan... dari mana ni?" Aku yang menegur dulu.
Suamiku diam, terpaku. Dia mengerutkan dahi.
"Tak sangka pulak kita jumpa kat sini. Nak beli barang sikit ni," kata Irwan.
"Oh ya... saya pun."
"Macamana sekarang?" Tiba-tiba Irwan menyoal. Aku tak tahu nak jawab macamana. Sementara itu suami sudahpun mencuit-cuit pinggangku berkali-kali, mungkin menyuruh aku cepat keluar dari kedai itu. Ada dua tiga orang di belakang kami yang sama-sama ingin keluar dari 7 Eleven itu.
"Oklah Wan, nanti jumpa lagi," kataku pantas.
"Baiklah, bye..." Kata Irwan.

Aku segera melangkah masuk ke kereta. Setelah pintu kereta ditutup baru kusedar yang aku luoa hendak mengenalkan suamiku dengan Irwan. Alamak... dia sudah memuncungkan bibir! Aku terkunci kata-kata. Dadaku berdebar pantas.

Dia menekan gear reverse dan mengundurkan kereta dengan kasar. "Sayang, sorrylah tak sempat nak kenalkan sayang dengan kawan tadi tu." Kataku memberanikan diri.
"Siapa dia tu?"
"Namanya Irwan..."
"Selama ni tak pernah cakap pun ada kawan nama Irwan?"
"Dia baru ditukarkan ke KL ni." Kataku perlahan, menyorok rasa bersalah.
"Dia dah kahwin?"
"Dah tapi dah berpisah," kataku.
"Duda?"
"Ya sayang, jodohnya tak panjang..." Jawabku lagi.
"Jodoh... siapa boleh sangka kan?"
Uhhh... aku terkejut dengan kata-kata itu. Seperti simbahan cuka, ia tersimbah ke wajahku. Terasa hangat. Tanpa sedar ada rasa kecewa merembes ke mata...


Wednesday, November 12, 2003

SIASATAN TIADA KESUDAHAN - SIRI 27 Oleh Sri Diah

16 RAMADAN - Semalam aku terpaksa melanggar janji pada diri sendiri. Dalam banyak-banyak jemputan, aku tak boleh mengabaikan jemputan berbuka puasa yang ini. Apa istimewanya? Banyak. Segalanya istimewa. Aku tak boleh tidak mesti menghadiri majlis berbuka puasa di Restoran Natrabu, Brickfields.

Kepada suami awal-awal lagi sudah kuberitahu akan hal ini. Sebenarnya aku minta izin dan dia tak bertangguh terus angguk kepala. Eh, bagus pula dia hari itu tak banyak soal jawab. Jika tidak berpeluh juga aku mencari 3 alasan logik dan 5 alasan yang tak logik kenapa aku mesti berbuka puasa di luar.

Dalam banyak hal sebelum ini, kebiasaannya 3 alasan logik itu mestilah alasan yang kukuh yang dia tak boleh nak cabar semula. Manakala 5 alasan yang tak logik itu biasanya alasan yang remeh-remeh. (Contoh-contohnya sila ke blog sridiah2u.blogspot.com).

Okeylah, berbalik pada kisah berbuka puasa di Restoran Natrabu. Irwan sudah sampai lebih awal. Bersama dia adalah Ramlee, kawan di pejabat lamanya. Aku pula bersama Zarinah, keraniku. Kami berempat. Jadi kalau suami nak syak pun tak ada apa-apa bukti jelas.

Banyak yang aku dapat tahu pasal suamiku. Semuanya baik-baik belaka. "Awak jangan risau, tak ada apa-apa yang berlainan daripada dulu. Dia tetap sayangkan you." Kata Irwan.
Aku menelan pengat pisang yang semakin manis dan lemak.
"Di tempat kerja dia ok, tak ada girlfriend. Malam pun dia tak ke mana, ke masjid berterawih, lepas tu terus balik rumah," kata Irwan lagi. Ramlee dan Zarinah tersengih.
Kali ini aku menelan pula manis dan lemaknya sirap bandung...
"Dia aneh akhir-akhir ini. Dia makin manja, makin caring. Kata Dr. Fadzilah Kamsah kalau lelaki macam ni, mesti ada sebab. Tu yang sayu suruh awak siasat. Ingat tak pasal Suraya?"
"Ah, jangan percaya teori."
"Wan... saya curiga saja. Saya tak tuduh."
"Yes. You berhak tapi jangan curiga yang melampau. Lelaki rimas kalau pergerakannya disekat, diperhati, dipersoalkan," kata Irwan bagai menjelaskan itulah konflik yang dialaminya hingga rumahtangganya runtuh.
"Habis Suraya tu siapa?"
"Nantilah saya tak habis siasat lagi. Asalkan Suraya tu di Leeds you jangan risau. Jauh, mereka tak berjumpa setiap hujung minggu."

Aku pulang awal hari itu dengan harapan dapat bertemu dia sebelum dia ke masjid untuk berterawih. Along, Angan dah Acik pun sudah tak ada. Tadi dalam perjalanan balik Along menelefon mereka dalam perjalanan ke masjid dan kunci rumah ada `kat tempat biasa'.

Tinggal sendirian, aku dibungkam sunyi. Cepat-cepat aku bersiap untuk sama-sama ke masjid. Dari celah-celah tabir kuintai mencari dia. Ada. Along, Angah dan Acik pun ada. Aku mengurut dada.

Sampai di rumah dia meminta palm yang diberinya dulu. Palm tu ada dalam beg tangan dan dia mengambilnya sendiri. Katanya dia nak masukkan perisian baru. Aku tak kisah, lantaklah apa dia nak buat. Lama selepas itu kulihat mukanya berubah.

"Sayang, kenapa tukar kepada IRONE?"
"Nothing special bang, saja nak ubah selera." Kataku.
"Sayang dah tak berselera dengan dengan yang lama?" Soalnya.
Aku terkeliru dan tersedar, mujurlah fikiran rasionalku segera bertindak.
"Abang..." Kataku sambil menarik nafas. Aku ingin menerangkan lebih lanjut tetapi dia sudah angkat punggung.
"Eh, dahlah, abang nak mengadap pc. Nak jumpa girlfriend." Katanya berkias.

Aku melihat perisian yang baru diprogramkan. Aku tersenyum. Aku pun berharap seni memahami hati pasangan itu akan lebih mengeratkan kami. Ternyata dia makin cemburu akhir-akhir ini. Ya ini juga pernah kuketahui melalui pembacaan... umur bertambah, moodpun saling bertukar-tukar.

Perlahan-lahan aku menghampiri dia. Bahunya kupicit perlahan-lahan penuh kasih seorang isteri kepada suaminya. Picitan itu sampai ke tengkuk. Dia cuba mengelak tapi akhirnya dia tak dapat menahan simbahan kasih yang sekian lama menjadi darah daging kami.


KEHADIRAN PIHAK KETIGA - SIRI 26

Dalam bulan puasa ini sudah lima atau enam jemputan untuk berbuka puasa telah ku tolak. Tidak betah rasanya untuk berbuka di hotel-hotel ternama yang kemudiannya melalut dengan sembang-sembang ala-ala memancing hinggakan trelepas sembahyang terawih. Aku lebih selesa untuk berbuka di rumah bersama keluarga, walaupun hanya dengan juadah dari pasar Ramadan yang biasanya dibeli oleh anak-anakku.

Pulang ke rumah hari ini masih tidak mempunyai mood yang baik. Hinggakan apabila along membuat lawakpun terasa malas untuk gelak, memang tidak lawakpun. Kesiankan budak tu yang baru nak berdikari dalam kehidupan.

Mulai hari ini aku telah mula menggunakan perisian memahami pasangan anda dalam Palm untuk lebih memahami pasangan sendiri. Perisian ini terbahagi kepada dua, iaitu untuk lelaki sahaja dan perempuan sahaja. Ini adalah salah satu perisian Palm yang paling laris. Sememangnya si suami merasakan sudah cukup mengenali isterinya, begitu juga sebaliknya. Namun kerapkali perbalahan dan pertengkaran berlaku semata-mata kerana perkara-perkara kecil yang remeh temeh ataupun salah tanggapan, salah sangka (sedikit cemburu) dan miss communication. Semoga dengan adanya perisian ini aku dan dia lebih saling faham memahami di antara satu sama lain. Aku telah hotsync perisian ini dan aku juga ingin memasangnya dalam Palm 505 nya supaya dia juga boleh memahamiku jika dia mahu. Moga-moga dengan adanya pihak ketiga ini, kami suami isteri akan lebih bersefahaman.

“Yang, minta palm kejap” sapaku
“Nak buat apa, dah beri nak minta balik?. Ambil ajelah dalam bag tu” sahutnya yang bagiku macam mencabar.
“Ni nak install softwer yang baru dibeli tadi”

Palm dicapai dan proses hotsync dilakukan. Alangkah terperanjatnya aku apabila Palm yang aku hadiahkan ini telah diberi nama IRONE untuk hotsync. CPU otakku terus kepada irwan, apa dan siapa lagi irone atau ir-1 jika bukan irwan?. Jika beginilah jadinya tak tahulah aku apa yang akan terjadi seterusnya. Irwan telah menjadi satu fobia bagiku.


Tuesday, November 11, 2003

LOMPAT TIKAM l - SIRI 25

Dua tiga hari ini aku lihat Mak dan Abah tidak banyak bercakap. Aku rasa sunyi. Selalunya bila pulang ke rumah, tidak sah kalau tidak mendengar tawa mereka berdua. Aku jenis suka mengusik. Pasti salah seorang akan cuba mengaitkan satu sama lain bila aku mula mencucuk jarum usikan. Petang tadi bila aku cuba buat lawak seperti biasa, Mak diam seribu bahasa. Abah pula seperti tiada reaksi. Senyum pun tidak. Masam pun tidak. Apa lelucon aku tidak laku lagikah? Aku sedikit musyhkil.

Sebelum melalut baik aku padamkan semua perasaan itu. Bersangka baik adalah yang terbaik. Mungkin Abah penat dengan beban kerja di pejabat. Begitu juga dengan Mak.Masing-masing ada masalah sendiri di pejabat. Tapi hati kecil aku seperti berbisik. Bagai ada yang tidak kena dengan pasangan bahagia ini. Tidak seronok kalau Abah dan Mak seperti itu. Nak kata bergaduh tidak juga. Masing-masing seperti menyimpan berbuku-buku perasaan. Bahaya memendam perasaan. Takut ia memuntahkan lahar dendam. Mahu bergegar keharmonian rumahtangga. Adakah wujud orang ketiga di antara mereka? Oh! Minta dijauhkan!

Ureka! Aku ada idea. Petang itu aku bawa Angah dan Achik membeli kuih di Bazar Ramadhan. Aku ada idea untuk menyemarakkan semula keheningan rumah kami. Aku mahu beli kuih lompat tikam. Aku tersenyum sendiri.

"Apasal Along senyum-senyum ni? Gila ke?", Achik petah mencelah.

"Aduh! Kan dah kena smash Achik!" jawab aku menutup malu.

Aku harap idea membeli kuih lompat tikam ini menjadi. Ada rahsia disebalik kuih Lompat Tikam ini. Satu insiden dimana Mak bertemu cinta sejatinya. Aku gelak sakit perut bila Abah buka rahsia itu sewaktu aku tanya bagaimana cinta mereka bermula!

Monday, November 10, 2003

MISTERI SURAYA II - SIRI 24

PELAYARAN sebuah bahtera bernama rumahtangga selalunya naik turun dan beralun mengikut pusingan ombak. Ada kalanya setenang air di tasi ada ketikanya pula berkocak bagaikan dilambung badai dan gelora. Yang pasti bahtera perlu terus berlayar, jangan terhenti di tengah samudera dan setiap penghuninya perlu tahu tugas masing-masing dan di mana batasannya. Sama seperti rumahtangga lain juga, kami tidak terlepas dari itu semua. Ada kalanya terlalu damai dan romantis dan ada kalanya suasana menjadi tegang dan bergelora. Apa yang perlu dikhuatirkan sangat, memang ada dalam berumah tangga. Bagaikan bermain layang-layang, kita ikut sahajalah alunan angin dan tali tidak perlu disentap jika mahukan layang-layang terus terbang.

Semenjak petang semalam dia asyik muncung saja, ini sudah tentu ada perkara yang tidak betul ni. Sewaktu begini usahlah ditegur atau diajak bergurau, nanti angin sepoi-sepoi bahasa tu akan bertukar menjadi taufan dan tentu layang-layang akan putus talinya. Biasanya ia perlu dibiarkan dengan dunianya untuk sehari dua jika demikian halnya.

Dalam masa senggang semasa di kampus dan anak-anak ke sekolah, aku duduklah melepak buat-buat sibuk di kedai alhalal atau jalan-jalan menyusur pekan kecil Harehill. Suatu hari aku bertemu dengan seseorang yang saling tak tumpah seperti sasterawan negara, A.Samad Said dari segi putih dan panjangnya rambut serta janggutnya. Dalam hati terdetik, adakah ini Pak Samad atau kembarnya?. “Dari Malaysia?. Apa Khabar?” ucapnya. Oh… pandai cakap Melayu rupa-rupanya dia!. “Ya dari Malaysia, khabar baik” balas ku. “Uncle dari Malaysia juga?”… Sejak hari itu hampir setiap hari aku berjumpa dan bersembang dengannya. Uncle Sim nama yang diberikan pernah tinggal di Malaya suatu masa dulu dan kini telah berhijrah ke UK beberapa bulan sebelum Malaya mencapai kemerdekaan. Ada yang mengatakan Uncle Sim ini tidak betul orangnya. Ada yang mengatakan dia adalah bekas anggota PKM yang melarikan diri ke UK dan macam-macam lagi mengenainya. Kehidupan Uncle Sim sekeluarga terlalu privacy. Dia tidak akan memberitahu di mana rumahnya dan cukup pantang jika fotonya dirakam. Namun dari cakap-cakapnya menampakkan yang dia adalah seorang yang berpengetahuan dan banyak membaca. Seperti biasa aku menjadi pendengar setia kepada setiap hujah dan pidato berfalsafahnya dalam pelbagai topik dunia.

Hayalanku terhenti sejenak apabila teringatkan sekeping surat dari Leeds yang belum habis kubaca. Pengirimnya ialah Suraya, yang katanya ialah anak kepada Uncle Sim. Oh rupa-rupanya Uncle Sim ini mempunyai anak yang bernama Suraya. Beliau menulis surat untuk memberitahu sesuatu mengenai ayahnya dan beliau memperolehi alamatku daripada buku nota bapanya. Hanya itu yang beliau ada dan bukan telefon, faks ataupun alamat e-mel ku. Suraya…. Cantik nama itu, Suraya Sim barangkali.

Sunday, November 09, 2003

PADA IRWAN KUGANTUNG HARAPAN - SIRI 23

SURAYA... siapakah dirimu yang akhir-akhir ini bermain dalam benakku? Suraya... nama itu melambangkan kelembutan. Sama seperti hatiku, lembut dan ranum. Dan lembut ranum inilah yang kupelihara, bertahun-tahun kebelakangan ini.

Kutoleh wajah suami yang sedang terbaring di sisi. Ada misteri pada wajah itu. Kutatap sekujur tubuhnya, ya ada rahsia yang tersimpan. Kejap dan kukuh. Dengus nafasnya naik turun satu persatu, teratur dan damai. Namun ia amat kontras dengan apa yang sedang bergelumang dalam dadaku. Ombak hatiku makin ganas!

"Tolonglah saya, saya mesti selesaikan hal ini segera," kataku, mengharap belas.
"Tapi, saya tak ada sumber... saya tak tahu," jawabnya, jujur.
Kuperhatikan raut lelaki di hadapan mataku. Siang tadi kupanggil dia ke pejabat. Takut-takut berani dia datang mengetuk pintu bilikku.
"Masuklah, jangan takut. Ini pejabat, bukan bilik hotel."
"Tapi... tapi... apa hal ni?"
"Tolong ekori dia lagi. Tolong laporkan pada saya ke mana dia pergi, dengan siapa dia pergi. Jangan lalai. Jangan cuai... tolonglah!"
"Saya takut, saya tak berani. Ini kerja gila ni. Cukuplah sekali dulu saya ekori dia, rasanya dia tahu dia diperhati," katanya jujur. Aku serba salah.
"Perasaan awak saja kot..."
"Tapi saya tahu dia menyiasat siapa saya. Nombor telefon dia pernah tertera pada telefon saya."
"Awak lelaki, hal main kayu tiga ni, lelaki saja yang tahu. Saya bukanlah nak kata awak ada pengalaman, tapi saya rasa awak lebih mahir..."
"Eh, tak baik prejudis. Saya tak macam orang lain. Okey, saya tolong, tapi kali ni saja."
"Alhamdulillah..." kataku perlahan sambil mengurut dada. "Jika ada maklumat telefon saya. Atau kalau payah biar saya yang telefon awak." Aku memberi jaminan.

Kata-katanya itu benar-benar memberiku nafas baru. Aku yakin dia akan memberiku maklumat yang detail, maklumat yang amat kuperlukan. Maklumat yang akan menentukan jatuh bangun kebahagiaan rumahtanggaku.

Irwan hanyalah drebarku. Tetapi pada dialah kusandarkan harapan. Aku harap dia dapat melaksanakan amanat ini. Dia baru sahaja diarah bertugas untukku. Sebelum ini aku memang tak mempunyai pemandu khas. Alhamdulillah, setelah mencapai skim baru ini aku berhak mendapat seorang pemandu.

"Eh, bila nak kahwin?" Soalku tiba-tiba bila dia mahu meninggalkan bilik.
"Kahwin? Rasanya biarlah saya puas menduda dulu!" Katanya pantas.
Kemudian kami sama-sama tergelak.

Abah Geleng Kerut Dahi, Bil. Telefon Tinggi? - SIRI 22

Pulang dari kerja petang itu, aku lihat Abah kerut kepala menatap Kertas putih berkepala biru. Aku tahu sudah tentu kertas itu surat minta bayar hutang dari telekom. Dalam keluarga akulah satu-satunya anak Abah dan Mak yang sudah bekerja. Angah dan Acik masih sekolah. Kalau nak dikira, aku anak paling manja dalam keluarga. Kalah Achik yang di sekolah rendah itu. Apa tidaknya jarak umur aku dan Angah adalah 8 tahun! 8 tahun aku bermanja dengan Mak sebelum Angah merebut tempat aku.

Walaupun umur aku sudah mencecah dua puluhan, Mak tetap anggap aku bagai anak remajanya. Sampai kad prepaid telefon akupun masih Mak belikan. Tapi bukan kerana aku tak mampu. Aku mampu sebenarnya pakai telefon bimbit yang bayarnya akhir bulan. Tetapi, Mak ini tau sahajalah bebelnya. Mahu aku berjimat sementalah aku masih baru memulakan alam kerjaya. Malah kami sekeluarga memang pakai telefon bimbit pra-bayar. Mak bijak bila mendaftarkan diri dalam satu skim kad pra-bayar dimana Mak akan beli secara borong kad prepaid tersebut dengan harga yang jauh lebih murah. Aku kagum dengan Mak. Dia bukan sahaja pandai mengurus rumah tetapi juga pandai mengurus bajet keluarga kami.

Pernah sekali aku suarakan untuk berpindah ke rumah sewa selepas aku bekerja. Mak bantah awal-awal. Katanya buat apa membazir, sedangkan ada 5 buah bilik di rumah ini. Mak suruh aku berdikari dengan cara lain. Tak semestinya aku tidak boleh berdikari jika tinggal di sekeluarga dengan Abah dan Mak. Akupun tak tahu apa yang terlindung di sebalik hati Mak. Mungkin sejak anak-anak Mak meningkat besar ini, dia berasa semakin sunyi. Lihat sahaja semasa aku dapat tawaran sekolah berasrama penuh di tingkatan satu. Mak tak izinkan aku pergi sampai menangis dan merayu. Aku akur dengan nasihatnya dan nekad ke asrama penuh selepas peperiksaan PMR nanti. Sejak masuk tingkatan 4 hinggalah aku tamat ijazah pertama di Rykukyus Universiti, Okinawa Jepun, aku berjauhan dengan Ummi. Mungkin sebelum berkahwin ini, Mak mahu suburkan kembali keakraban kami. Jadi aku senang menerima pelawaannya. Walaupun begitu, aku tak mahu makan duit tanggungan Abah dan Mak lagi. Setiap bulan aku peruntukkan sejumlah wang untuk duit dapur Mak. Memang Mak menolak asalnya, tetapi aku minta Mak terima kerana aku sudah bekerja. Itupun duit itu dia tak guna katanya. Terpulanglah dia nak gunakan duit itu untuk apa.

Aku menghenyakkan punggung ke sofa sambil melonggarkan tali leher. Abah disebelah pula sedang mengerutkan dahi. Aku tanya bil telefon melambung lagi ke? Abah berdehem kecil. Ini mesti gara-gara Angah yang mula kenal makna cinta monyetnya. Takpun talian Streamyx yang kami sekeluarga guna. Nak kata aku bergayut tidak juga. Malah aku sendiri jarang online di rumah. Kemudahan Internet di pejabat jauh lebih baik. Papa bingkas bangun menuju meja telefon. Entah siapa yang didailnya. Aku segera berlalu ke bilik. Mahu rehat kerana letih dihambat kerja seharian.

IGAU MARAH ABAH - SIRI 21

Mak kejut aku bangun sahur sekitar jam 5 pagi. Aku mamai kantuk mungkin kerana keletihan diulit beban kerja pejabat seharian dan solat terawih 24 rakaat lepas Isyak tadi. Basuh muka dan lihat bihun sup jadi hidangan kami bersahur Ramadhan ketiga. Inilah kelebihan Mak. Sahur kami sekeluarga jarang nasi sejuk. Macam-macam menu. Dari nasi goreng smapailah ke lempeng dadar putih bercicah kuah kari.

Aku lihat adik-adik tak bangun lagi. Mengengsot menggerakkan mereka sebelum Mak minta kejutkan Abah di ranjang tidur. Katanya Abah tidur mati. Dengkurnya bagai enjin keretapi. Mak kata Abah berjaga sampai dinihari depan komputer. Entah apa yang digodeknya Mak sendiri pun tidak tahu. Aku tahu, Abah leka dengan komuniti internetnya. Sejak berkenalan dengan dunia e-sastera, pulangnya selalu awal dari pejabat. Berjam-jam depan komputer mengetuk papan kekunci seperti mengarang sesuatu. Pernah juga aku mencuri lihat. Abah seperti menulis pantun-pantun tetapi dengan tiga rangkap. Apalah agaknya yang dia tulis. Nantilah bila berkemsepatan aku cuba cari di history Windows, laman web apa yang Abah jengah.

Kadang-kadang syak juga. Takut Abah layari laman web yang tak sepatutnya. Tapi aku tahu, Abah bukan manusia jenis itu. Aku percaya Abah. Mungkin Abah mahu kembali ke dunia mudanya dulu. Dunia dimana dia pernah bergelumang dengan pena, kertas-kertas putih dan mesin taip buruknya. Menaip bait-bait puisi atau kadangkala cerpen untuk dihantar ke media cetak. Pernah Abah tunjukkan keratan puisinya yang tersiar di akhbar tempatan suatu waktu dulu. Tapi itu sudah lama. Masa aku di alam sekolah rendah. Sudah lebih sepuluh tahun berlalu. Selepas itu Abah seperti mogok dengan dunia sastera. Malas alasannya. Tapi aku tahu aku pernah terdengar Abah berbicara dengan Mak. Dunia Sastera Nasional bagaikan tidak adil untuk orang sepertinya. Abah kata puisinya banyak dicedok ciplak, lalu jadi puisi baru orang yang mahu cepat menempa nama.

Aku gerakkan Abah. Ajak dia ke meja makan. Ummi dan adik-adik sudah tunggu. Selalunya Abah yang mulakan bacaan doa sebelum kami sekeluarga menjamah hidangan. Abah hanya berdehem. Aku pegang lengannya. Menggoncang beberapa kali. Tiba-tiba terdengar suara tempikan! Aku diherdiknya. Mengacau orang tidur katanya. Aku terpetir dengan kata-katanya. Seingat aku, Abah tak pernah mahu segarang itu dengan kami anak-anaknya. Aku sedikit terluka. Tapi aku tahu, itu mungkin di luar kesedarannya. Mungkin Abah dalam mamai. Aku berlalu ke meja makan dengan perasaan seribu duka. Seboleh mungkin aku cuba sembunyikan luka itu. Aku buat muka macam biasa. Aku cuma kata, Abah tak mahu sahur. Aku tak mahu mengadu perkara sebenar kepada Mak. Aku takut Mak dan Abah bergaduh kerana anak-anaknya. Lagi-lagi kes terpencil seperti itu.

Aku duduk kembali menghadap meja makan. Bihun Sup Ummi aku jamah bagai hendak tak hendak. Selera aku mati. Tetapi mengenangkan aku perlu tenaga untuk ke pejabat esok pagi, aku telan semua kepahitan yang ada dengan keenakan Bihun Sup buatan tangan sakti Mak! Sayang Mak!

Friday, November 07, 2003

IRWAN, GENTING DAN ISTERIKU - SIRI 20

ANAK-anak adalah permata ibu bapa. Walau apapun pandangan orang lain, namun ia tetap cantik di mata ibu-bapanya. Namun anak-anak hari ini terlalu tinggi demandnya. Semasa tiada PC, kerap ke rumah kawan kerana bermain games. Bila telah dibeli PC, bukan 1, tetapi 5! Hinggakan rumah ini telah boleh menjadi kafe siber, mereka ke cc pula, iaitu kod yang mereka gunakan kepada kafe siber. Kononnya sebab talian Internet di rumah adalah perlahan kerana menggunakan dial-up sahaja. Tidak mengapalah, korbankanlan RM111 sebulan untuk memasang talian streamyx, dengan harapan mereka tidak lagi hilang dari rumah semata-mata untuk ke cc. Sebenarnya bukan wang ringgit yang dikira, tetapi banyak faktor lain yang amat membimbangkan ibu-bapa bila anak-anak mereka ke cc. Manalah tahu tetiba cc itu dirompak atrau diserbu pihak berkuasa kerana ada games yang tidak dibenarkan atau perjudian. Kita juga yang susah jadinya. Namun hanya seminggu sahaja mereka lekat di rumah setelah adanya streamyx, kini menghilang ke cc lagi katanya kerana games di rumah tidak interaktif dan tidak ada kesan streo. Hai macam-macam karenah budak-budak sekarang.

Kini demand terbaru ialah mahukan telefon bimbit pula. Bagi su abang dan kakak yang sudah remaja, penggunaan telefon bimbit ini sesudah semestinya. Jadi kepada mereka berdua diberikanlah kad prabayar dan pandai-pandailah mereka menggunakannya dalam suatu tempoh tertentu. Dengan harapan bila telefon bimbit telah ada, tidaklah lagi bergayut pada telefon rumah. Tetapi tidak juga rupanya, telefon bimbit ii hajnya untuk SMS sahaja. Untuk membuat panggilan masih menggunakan telefon di rumah. Padanlah beratus ringgit bilnya setiap bulan. Aduhai anak-anak remajaku.

Melihatkan Along dan Angah mempunyai telefin, ini si Acik pula yang merengek mahukan telefon. Yang merungsingkan, si Acik ni masih lagi di sekolah rendah, tetapi alasan dan justifikasi keperluan telefon bimbitnya boleh mengalahkan orang dewasa yang ingin keluar memburu. Agaknya budak ini bila besar nanti boleh diharap untuk membuat apa-apa kertas kerja. Serba salah jadinya samada ingin diberi ataupun tidak. Bagi si ibu 'beri sajalah bang, bukannya mahal sangat. Ini untuk kemudahan kita juga untuk contact mereka'. Kata-kata ini rasanya macam ada sesuatu yang tak kena saja bunyinya.

Sebenarnya aku baru menyemak bil terperinci telefon bimbitnya di Internet, di mana aku adalah pemegang induknya. Banyak kelainan dalam bil pada bulan ini. Bukan sahaja bilnya lebih tinggi dari biasa, namun terdapat satu nombor yang terlalu kerap dipanggil. Siapakah tuanpunya nombor itu?. Apakah hubungan isteriku ?. Mengapa dia membuat panggilan yang terlalu kerap?. Dan kebanyakan daripada panggilan itu adalah di sebelah malam, pada setiap hari dan aku pasti pada tarikh itu isteriku bekerja luar, ya di Genting Highlang. Akhirnya aku nekad untuk menjadi PI tidak bertauliah. Nombor itu kupanggil ala-ala PI adanya.

+Hello, boleh saya cakap dengan Encik Hamid?
-Hamid?. Tak ada nama tu, silap nombor agaknya

+Oh sorry, saya Cuma mengembalikan pesanan dari kotak mel saya ni, nombor inilah yang tinggalkan pesanan dan kalau tak silap, namanya Hamid. Boleh saya tahu siapa di sana?

-Saya Irwan emm dan
+Oh OK En. Irwan, maaf kerana mengganggu, mungkin silap nombor. Terima kasih+

Aduhai siapa pulak Irwan ni?. Apa hubungannya dengan isteriku?. OK! Satu lagi kaedah PI ialah dengan melihat pada buku alamat pada telefon bimbit isteri ku. Ya Allah, apa sudah jadi ni, terpampang Sayang Zzz pada nombor tersebut!. Masyaallah apa yang aku buat sekarang?. Ayat apa yang harus aku bancuh untuk memulakan pertanyaan?. Haruskah aku diamkan saja?. Irwan siapa dikau?.

| penyumbang |


Sri Diah
mba
Rudy Bluehikari

Kami Member GEJU


Bantuan Teknikal: cnma
JAD Versi Palm oleh: Ibnu Arif


Download Palm Reader(versi Palm, PPC, PC, Mac)
Download JAD dlm format pdf


kemaskini blog

eNOVEL Jangan Ada Dendam
Berapa Kerap JAD Perlu Dikemaskini?

Setiap Hari
2-3 kali seminggu
seminggu sekali
sekali-sekala

 | arkib |


Pengenalan

Siri 1   -   Siri 2   
Siri 3   -   Siri 4   
Siri 5   -   Siri 6   
Siri 7   -   Siri 8   
Siri 9   -   Siri 10  

Siri 11  -   Siri 12  
Siri 13  -   Siri 14  
Siri 15  -   Siri 16  
Siri 17  -   Siri 18  
Siri 19  -   Siri 20  

Siri 21  -   Siri 22  
Siri 23  -   Siri 24  
Siri 25  -   Siri 26  
Siri 27  -   Siri 28  
Siri 29  -   Siri 30  

Siri 31  -   Siri 32  
Siri 33  -   Siri 34  
Siri 35  -   Siri 36  
Siri 37  -   Siri 38  
Siri 39  -   Siri 40  

Siri 41  -   Siri 42  
Siri 43  -   Siri 44  
Siri 45  -   Siri 46  
Siri 47  -   Siri 48  
Siri 49  -   Siri 50  

Siri 51  -   Siri 52  
Siri 53  -   Siri 54  
Siri 55  -   Siri 56  
Siri 57  -   Siri 58  
Siri 59  -   Siri 60  

Siri 61  -   Siri 62  
Siri 63  -   Siri 64  
Siri 65  -   Siri 66  
Siri 67  -   Siri 68  
Siri 69  -   Siri 70  

Siri 71  -   Siri 72  
Siri 73  -   Siri 74  
Siri 75  -   Siri 76  
Siri 77  -   Siri 78  
Siri 79  -   Siri 80  

Siri 81  -   Siri 82  
Siri 83  -   Siri 84  
Siri 85  -   Siri 86  
Siri 87  -   Siri 88  
Siri 89  -   Siri 90  

November 2003
December 2003
January 2004
February 2004
March 2004
April 2004
May 2004
August 2004
October 2004
April 2005
May 2005
August 2006

| buku tetamu |

Visit my Guestbook!

| penafian |

semua tulisan di sini adalah rekaan penulis semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa, samada masih hidup atau telah meninggal. Jika ada persamaan ia hanyalah kebetulan sahaja.

| tagboard |

Powered by TagBoard
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Your E-mail: