Saturday, January 31, 2004

SELAMAT HARI RAYA

Selamat Hari Raya Dari Tim JAD....


..... angah & acik

Thursday, January 29, 2004

HOKKAIDO DALAM INGATAN - SIRI 74



Aku lihat ada bahagia terlukis di wajah seorang wanita dan anak kecilnya yang iras aku di situ. Gelak tawa ketika menuruni bukit salji dengan alat luncur cukup mengasyikkan. Di bawah bukit seorang lelaki yang kukira Abah menunggu luncuran mereka berdua. Aku tahu itu Abah kerana wajah ketika zaman mudanya tidak jauh beza dengan sekarang meskipun umurnya sudah menginjak lima puluhan.

Luncuran tak terkawal itu merempuh Abah hingga mereka tergolek jatuh. Mereka saling mentertawakan diri masing-masing. Wajah mereka dilitupi salji yang memutih. Ketawa mereka bertiga memecah hening Pusat Ski yang dipenuhi manusia yang leka bermain ski dan snow board.

Aku tidak pasti siapakah orang-orang yang muncul dalam lenaku. Lena yang aku rasa sangat panjang. Dalam. Berulang-ulang hingga rimas dibuatnya. Siapakah wanita itu, yang mesra disamping Abah dan seorang anak kecil yang iras diriku? Aku tidak pasti sama ada anak kecil itu aku. Kalaupun anak kecil itu aku, mengapa wanita itu bukan Mak seperti yang aku harapkan?

Aku sendiri bingung memikirkan di mana peristiwa itu berlaku. Seingat aku ia seakan-akan Pusat Ski Kiroro Snow World >yang terletak kira-kira 23 kilometer dari Bandar Otaru. Aku masih ingat kenangan bermain snow board dengan Nahoko dan Kenichi ketika kami menghabiskan cuti Musim Sejuk semasa aku berada dalam tahun dua pengajian di Okinawa. Tiada istilah main snow board di Okinawa. Okinawa panas dan lembap sepanjang tahun. Okinawa tidak jauh bezanya dengan Malaysia. Bunga raya yang menjadi bunga kebangsaan Malaysia sudah sinonim dengan Okinawa.

Kami menaiki Nissan Skyline kepunyaan Nahoko ke Pelabuhan Niigata yang terletak menghadap ke Laut Jepun. Dari situ kami menaiki feri dengan membawa sama kenderaan ke dalam feri selama 18 jam ke Pelabuhan Otaru, Hokkaido. Kemudahan pengangkutan feri yang boleh membawa sama kenderaan sendiri amat memudahkan. Aku teringat zaman-zaman Jambatan Pulau Pinang masih belum terbina. Feri menjadi nadi utama pengangkutan yang menghubungkan Tanah Besar Semenanjung ke Pulau Mutiara itu. Meski tiada jambatan penghubung, kegiatan ekonomi masyarakat Pulau Pinang tetap rancak.

Dari Otaru kami memandu terus ke Pusat Ski Kiroro Snow World yang terletak kira-kira 30 minit dari Bandar Otaru. Pusat Ski Kiroro Snow World memang terkenal dan menjadi tumpuan warganya setiap kali musim dingin menjelang.

KALAU DAH JODOH, TAK KE MANA ...... SIRI 73

SELEPAS meninggalkan perkarangan mahkamah, aku menghantar Roslan pulang sebab mungkin masih sempat lagi baginya untuk ke balai raya bagi menuntut wang ehsan. Kurang-kurangnya RM300 yang dah terbang tadi dapat kembali. Kemudian aku memecut ke Jabatan Kimia di Jalan Cerun Lanjut untuk menemui Hj. Zawawi. Hasrat utama ialah untuk mengembalikan pita video yang dipinjam dari Tuan Mail semasa di Tokyo setahun yang lalu. Sesudah lebih dua puluh tahun tidak bersua, pertemuan kami agak hambar sahaja. Ah orang lelaki, biasalah... kalau bertanyapun "kau berapa sekarang?". Jangan tersalah tafsir, bukan bilangan anak, tetapi bilangan isteri yang dikira. Wah.... tercabar aku kalau macam ni!

Hj. Zawawi memulakan syarahannya "Ubat batuk ni, berat juga kesnya. Ini Kodein saja, tapi lebih ringanlah dari Heroin. Ada kes kat Kota Bharu dulu, mahkamah hukum penjara, tak boleh bayar denda kes Kodein ni" "Alamak penjara ... berat tu, tak boleh tolong ke?" ujarku. Setelah lama membatu, kesimpulan yang aku ambil ialah, biarlah terjadi apa yang akan terjadi dan usahlah masuk campur dalam urusan kerajaan. Aku juga kakitangan kerajaan sepertinya, bukan orang politik, bukan orang besar yang boleh mempengaruhi segala keputusan.

Pagi-pagi lagi sesudah mencium tangan emak, aku terus meninggalkan rumah untuk pulang ke KL. Malam ini aku dan isteri telah dijadualkan untuk ke Okinawa atas biaya Wisma Putra untuk "menemui" Along. Singgah di Kuantan untuk bertemu sekali lagi dengan Firdaus, iatu kawan rapat Angah. Kami minum-minum di Alif Cafe di Kuantan. Bincang serba sedikit pasal masa depan dia orang, tunjukkan Treo 600 dengan kamera, MP3 dan videonya hinggakan bateri hampir kering dibuatnya.

Tiba di rumah hari dah petang dan Angah memaklumkan yang emaknya sudah ke KLIA untuk ke Okinawa. "Barang-barang abah, paspot, tiket semuanya ada dengan mak". Tanpa berlengah lagi, aku terus mengambil teksi untuk ke KL Sentral untuk menaiki ERL ke KLIA. Moga-moga semuanya selamat, sempat dan jika dah jodoh akan bertemu jua...




Wednesday, January 28, 2004

ANAKKU MALANG, SUAMIKU HILANG...! - SIRI 72

SUDAH lima kali aku menelefon tetapi kelima-lima panggilan gagal menghubungkan aku dengan suami. Kukirim sms, pun tidak ada jawapan. Talian putus terus. Tiada langsung signal yang membolehkan aku menghubungi dia. Di hutan banat mana dia sekarang?

Mengikut rancangan yang sama-sama dipersetujui malam tadi, setelah selesai kes mahkamah tentang Roslan semalam, pagi ini dari Kuala Terengganu dia jangan balik ke rumah. Tetapi dia mestilah teruskan perjalanan ke KLIA kerana aku menantinya di sini. Dari KLIA ini aku sudah uruskan dua orang saudara kami untuk membawa balik kereta-kereta kami.

Aku sudahpun mendaftarkan bagasi. Dua beg pakaian kami sudahpun masuk ke kargo. Di dalam dua beg pakaian itu, semua keperluan selama di Jepun sudah kusediakan. Beberapa persalinan pakaiannya juga sudah kusediakan.

Di dalam genggamanku kini pasportnya dan pasport aku serta dua tiket penerbangan. Paling tidak kulupa ubat-ubatannya, semuanya sudah dimasukkan dalam satu beg jinjit yang khas. Migraine? Aku harap dia tidak migraine dalam situasi kalut begini.

Dia hanya perlu membawa dirinya sahaja. Penerbangan malam nanti menggunakan Japan Airlines akan membawa kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa NAHA. Dari situ kami akan mendapat tahu status Along. Oh... mengenang Along, aku tiba-tiba menangis hiba. Macamana keadaan Along sekarang? Setakat ini tiada langsung perkembangan terkini dari Wisma Putra. Hilang di laut? Hidup? Atau Along sudah tiada? Tak tahu! Kami hanya diarah ke Jepun, semua perbelanjaan seperti tiket, tempat tinggal, urusan makan minum, ditanggung oleh pihak kedutaan.

Sepuluh minit tadi kuhubungi mak mentua di kampung dan dia memberitahu suamiku sudah bertolak sejak lepas subuh. Maknanya sudah lebih 10 jam perjalanan, seharusnya dia sudahpun sampai di KLIA ini. Dia sudah semestinya berada di sisiku untuk urusan check-in. Tak mungkin Treo 600 nya tidak berfungsi. Alat komunikasi canggih itu baru saja dibeli. Atau tertinggal di kampung dan kehabisan bateri? Tak mungkin... alat itu sentiasa dikeleknya hingga senget-senget belikat!

Manusia mundar mandir membinggitkan. Aku rimas dan sungguh tak selesa dengan kesibukan KLIA. Di tempat solat tadi pun penuh dengan manusia, macam-macam perangai. Bosan, sakit hati, ralat dan keliru membuatkan aku stres.

Tiba-tiba bahuku disentuh. "Assalamualaikum kak... saya Siti Nor Eyes," kata satu suara. Aku menoleh sepontan. Ya! Dialah perempuan yang menyuap suamiku makan ketika di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Dialah perempuan yang menyudukan suamiku minuman. Kenapa dia berada di KLIA ini sekarang? Ke mana suamiku?

Perempuan itu menghulurkan tangan. Aku tak sanggup. Aku tak mahu menyentuh tangan itu. Tangan itulah yang sedang bercadang menarik suamiku dari sisiku. Tangan itulah yang nanti akan merangkul suamiku ke dalam pelukannya! Tangan itulah...!

Cik Siti Nor Eyes diam. Matanya kutatap dalam-dalam.
Dendamku kesumat dalam dada.

Dan tatkala pengumuman meminta penumpang ke Jepun masuk ke bilik berlepas diumumkan, kutinggalkan perempuan itu terpinga-pinga!



Tuesday, January 27, 2004

DITELAN MATI EMAK DILUAH MATI ANAK - SIRI 71

SEBAIK sahaja handphone dibuka setelah menjejakkan kali di KLIA, satu pesanan suara dari mak telah menunggu. "esok ialah hari perbicaraan Roslan, mak tidak ada sapa-sapa nak bergantung, harap balik". Ringkas dan padat pesanan dari mak, macam telegram sahaja layaknya. Along dalam kecemasan entah bagaimana nasibnya. Emak pula tiada sesiapa nak menemaninya ke mahkamah untuk perbicaraan adikku Roslan. Lebih-lebih lagi jika kena denda beribu-ribu ringgit, siapa yang nak bayar denda?. Sebusuk-busuk daging dicecah-cecah dimasak, dimakan juga. Masakan ingin membiarkan adik sendiri merengkok dalam penjara. Ah anak sendiri yang sedang menyabung nyawa bagaimana pula?. Inilah yang dikatakan ditelan mati emak, diluah mati anak, dikemam sendiri yang mati.

Aku nekad untuk pulang semula ke kampung menemui emak. Aku akan memandu sendiri bagi perjalanan sembilan jam ini untuk ke kampung. "Kalau abang nak balik, abang baliklah seorang, saya tak mahu ikut. Jika abang dah ada buah hati di kampung tu, pergilah, jumpalah intan payung abang tu, anak sendiri biarlah nasibnya. Untung sabut timbul, untung bantu tenggelam". bentak isteri ku. "Sayang.... abang terpaksa balik, emak dah tak larat nak pergi ke mahkamah sorang-sorang, nanti dia jatuh pitam pulak. Kalau sayang tak mahu ikut tak apa, jangan marah-marah begini. Yang dulu kita dulukanlah. Nasib Along belum tentu lagi, apa-apapun tunggulah sebarang perkhabaran dari Wisma Putra. Abang akan pulang walaupun terpaksa memandu sendiri". "Abang..... taraf dan usia abang tu bukan lagi sesuai memandu jauh-jauh, kapalterbang kan ada. Janganlah kedekut sangat, naik flight saja....". "Memandu lebih selesa, nanti senang untuk ke sana-sini. Abang terpaksa ke mahkamah, balai polis dan mungkin Jabatan Kimia juga".

Dalam perjalanan ke kampung aku singgah ke Rantau Petronas berjumpa kawan lama, Nik Rahimah yang sudah tujuh tahun bertugas di situ. Sudah acap kali dia mengajak ke tempatnya, namun tiada kesempatan kerana biasanya kami pulang sekeluarga dan mengambil jalan pintas Jerangau-Jabor. Tidak susah mencari tempat yang dijanjikan walaupun pertama kali sampai di tempat itu. Dari pejabatnya kami ke sebuah restoran di tepi jalan. Nik menjamuku dengan pelbagai soalan, berita, gosip dan entah apa-apa lagi. Hinggakan menu utama satar yang dihidang, makanan santai kegemaran di daerah Kemaman ini tidak ku sentuh. Dari kisah semasa kami sama-sama di KL hinggalah kepada cerita anak-anak dan suaminya yang sibuk 24 jam. Aku menghantar Nik pulang pejabat setelah waktu pejabat hampir ke penghujungnya. Kemudian aku bergegas pulang menuju destinasi.

Sedang berkira-kira untuk melalui jalan pantai atau kembali ke jalan Jerangau-Jabor, aku terus sahaja membelok ke kiri setelah membaca papan tanda Bandar Seri Bandi. Jika ikut jalan pantai sudah tentu terpaksa menambah dua jam lagi kepada tempoh perjalanan untuk tiba ke rumah. Lagipun dah berpuluh tahun tidak memandu menyusuri jalan pantai ini. Disangkakan dari Bandar Seri Bandi itu akan lebih cepat tibanya. Namun apabila sudah jauh ke pendalaman dan bertemu persimpangan Ijok dan Kuala Kubu aku dah naik buntu, ke mana arah hendak dituju. Pada masa inilah teringatkan Doc. Azmi dengan kelengkapan GPS pada Palmnya. Jangankan GPS, peta kertaspun aku tidak bawa, kompaspun tidak pernah ada. Oh aku sudah tersesat di tengah-tengah belantara KETENGAH ini rupanya ......

Tiba di rumah emak, hari sudah remang senja. Emak memberitahu yang dia tidak boleh ke mahkamah esok kerana ingin ke balai raya untuk menerima Wang Ehsan. "Kalau tak pergi esok, memang tak dapat dah, walaupun RM300 saja itu pitih jugak, kerajaan nak bagi". Aku terkedu bila mak cakap begitu, selalunya aku agak culas juga untuk menyumbang kepada mak, yang mengharapkan pencen terbitan dari arwah ayah saja selama ini. Akhirnya aku terlelap dalam keletihan sembilan jam memandu bersendirian. Dalam tidurku Along melambai-lambai mesra, entah dari mana.

"Lan bicara pukul berapa?".
"lapan setengah"
"pukul berapa nak bertolak?"
"lapan suku sempat lagi"
Alamak budak ni, perjalanan 30Km dalam masa 15 minit sahaja? Bentak hatiku. Ah tak mengapalah, bukan aku yang nak dibicarakan.
"Apa Lan nak cakap pada tuan hakim nanti?"
"Nak cakap apa, nak mengaku salah sajalah"
"Kata barang tu bukan Lan punya, tapi taukeh punya, mengapa nak mengaku pulak?".
"Ah kalau tak mengakupun, polis tak percaya, tak ada siapapun percaya. Lebih baik mengaku saja, kalau kena denda, taukeh bayarkan"
"Abis tu kalau kena penjara macamana?, ataupun kena buang daerah?"
"Kesalahan kali pertama kena denda saja, kalau buat lagi baru buang daerah"
"Oh pandainya baca undang-undang sekarang ya?. Siapa taukeh tu sebenarnya?. Boleh abang jumpa dia?".
"Taukeh tu orang besar, tinggal di KL. Kaki dia ramai di sini. Polis pun semua kenal dia"
"Maksud Lan polispun terlibat sama?"
"Tak tahulah, kalau silap-silap cakap kan, kena tangkap pulak. Serik dah masuk lokap ni. Lebih baik ikut saja apa dia orang suruh. Lagipun taukeh tu kenal abang, dia juga kenal kakak dan anak-anak abang semuanya. Kalau abang nak kenal, yang bawa kereta BMW hitamtu nanti itulah dia, abang mesti kenal".

Tepat jam 8:30 pagi kami sampai di perkarangan mahkamah. Entah bagaimana aku memecut kereta selaju itu akupun tak tahu. Roslan tersengih. Agaknya baru dia tahu yang aku juga cekap memandu laju. Sementara menunggu kehadiran tuan hakim, mataku melilau mencari wajah-wajah yang mungkin kukenali. Di celah-celah peguam, pegawai mahkamah, penguakuasa JPJ, anggota polis, warder penjara, orang kena tuduh, saksi-saksi dan pelbagai jenis manusia di persekitaran mahkamah ini tidak seorangpun kukenali. Walhal ini ialah daerah kelahiranku setengah abad yang lalu.

Roslan dijatuhkan hukuman denda RM300 atau enam hari penjara kerana menjual dan memiliki bahan letupan dipercayai bunga api dan mercun. Lega rasa di hati. Namun bagi kesalahan kedua, perbicaraan ditangguhkan kerana pihak pendakwa masih belum menerima laporan dari jabatan Kimia. Setelah membayar denda, aku berkira-kira untuk ke jabatan Kimia menemui Hj. Zawawi yang bertugas di situ semenjak dua puluh tahun yang lalu. Dia adalah rakan karibku semasa di universiti dulu. Mudah-mudahan aku boleh mendapat sedikit klu daripadanya, seorang chemist.

Setelah berkira-kira untuk meninggalkan kawasan mahkamah, aku dapati sebuah BMW hitam dan bersandar seseorang yang amat kukenali. Aku menunjuknya dengan bibir mulut dan Roslan mengangguk. Cis celaka engkau Irwan. Isteri aku engkau goda, adik aku engkau racuni dengan ubat batuk dan daun ketung. Entah-entah anak aku juga kau apa-apakan. Memang celaka engkau..... ya aku memang berdendam, memang ada dendam. Aku mendendamimu Irwan .....




Wednesday, January 21, 2004

PERTEMBUNGAN DUA ADAT - SIRI 69

Musim Luruh antara dua musim, selain Musim Bunga yang menjadi pilihan pasangan muda mudi Jepun melangsungkan perkahwinan. Entah mengapa Nahoko memilih Musim Luruh sebagai hari bersejarahnya. Luruh menjadi begitu nostalgik bagi seorang aku. Luruhan dedaunan maple menjadi saksi cinta aku dan Nahoko pernah termetri. Aku masih ingat, Shurijo Castle Park yang terletak tidak jauh dari Bandaraya Naha menjadi saksi cinta kami. Sangat manis. Apatahlagi jingga daun maple menjadi saksi pertemuan itu.

Pernikahan Nahoko dan Azlan Shah dibuat di Masjid Yoyogi, Tokyo sehari sebelum majlis perkahwinan mereka dibuat mengikut adat Shinto. Aku tidak sanggup melihat tangan Azlan menggegar tangan Imam Besar yang berbangsa Arab itu, melafazkan akad. Tapi, aku kuatkan semangat memenuhi undangan ke majlis resepsi perkahwinan mereka di sebuah hotel di tengah-tengah kesibukan bandar kelahiran Nahoko, Fukushima. Ah! Kami berpisah secara baik. Malah masih bersahabat. Cuma aku sahaja yang perlu mengawal semua perasaan yang bertandang.



Majlis perkahwinan mengikut adat Shinto dimulakan dengan perarakan masuk Nahoko dan Azlan ke dalam dewan bersama keluarga mereka. Nahoko sungguh ayu mengenakan shiromuku, kimono berwarna putih. Manakala Azlan pula segak dengan hakama hitam putih yang labuh. Kemudian, mereka berdua berhenti dan berdiri di belakang sebuah meja kecil di tengah-tengah dewan. Keluarga Nahoko dan Azlan pula berdiri setentang menghadap pengantin di kiri dan kanan dewan. Apa yang menarik, keluarga Azlan yang diwakili ayah dan ibunya segak berbaju melayu hitam lengkap dan kebaya merah dengan selendang putih. Ayah dan ibu Nahoko pula mengenakan suit dan kimono berwarna hitam. Pertembungan budaya dapat dilihat jelas. Alangkah indahnya jika Abah dan Mak yang berpakaian itu!



Menunganku tergugah apabila pengacara majlis memulakan pengumuman upacara perkahwinan. Seorang tokoh adat Shinto yang berdiri di hadapan pengantin mengambil sehelai kertas yang berlipat seperti kipas dari dalam lengan hakama-nya yang sangat besar dan labuh. Beliau memakai seakan-akan songkok tinggi di kepala tetapi mempunyai tali yang dikat di bawah dagu. Kemudian, beliau membuka lipatan kertas itu sambil membaca mentera perkahwinan yang tercatat dalam kertas tersebut. Sebutannya nyaring dan berlagu. Aku tahan ketawa kerana melodinya sungguh asing dan bahasa Jepun yang digunakan adalah bahasa persuratan Jepun kuno. Sesekali dia melipat kertas tersebut dan menyimpannya semula di dalam lengan hakama-nya. Kemudian dia bertepuk tangan sebanyak tiga kali. Begitulah, ia diulang beberapa kali hinggalah pembacaannya selesai. Aku sempat berbisik kepada sahabatku Kenichi yang turut hadir tentang maksud mentera itu. Kenichi menjelaskan ianya seperti doa agar perkahwinan mereka kekal hingga ke akhir hayat.

Kemudian, Nahoko dan Azlan membaca beberapa perenggan ayat dari sebuah kertas yang diterima daripada tokoh adat Shinto tersebut. Ia adalah pernyataan tentang kesetiaan dan janji mereka yang akan hidup sepanjang hayat bersama sebagai suami isteri. Aku lihat Nahoko menitiskan air mata setelah selesai membaca ayat-ayat tersebut.




Majlis diteruskan dengan adat minum selamat. Kebiasaannya, mereka akan dihidangkan dengan 'sake' (arak Jepun yang manis). Tetapi, majlis tersebut telah menghidangkan teh sebagai ganti dan menghormati Islam sebagai agama yang dianuti oleh Azlan, Nahoko dan keluarga Azlan yang turut serta. Pembantu majlis seterusnya menuangkan air teh ke piring leper yang dipanggil 'cawan'.




Acara ini dimulakan dengan Azlan. Dia memusingkan piring berisi teh sebanyak tiga kali sebelum meminumnya. Ini diikuti Nahoko dan keluarga kedua-dua belah pihak. Malah, aku terkejut kerana Ayah dan Ibu Azlan tidak kekok melakukan upacara itu. Aku agak mereka telah membuat latihan sebelum majlis dijalankan.

Majlis perkahwinan adat itu diakhiri dengan upacara menyarungkan cincin. Aku lihat kegembiraan terbayang di wajah mereka. Aku jadi tidak tentu arah tatkala melihat Azlan menyarungkan cincin perkahwinan ke jari manis Nahoko. Cemburu aku meluap-luap. Alangkah manisnya jika aku menjadi Azlan ketika ini.



Majlis perkahwinan besar-besaran itu diteruskan dengan majlis resepsi dan jamuan doa selamat di dewan bersebelahan. Nahoko dan Azlan berarak masuk dengan gaun putih dan tuxedo serba hitam. Majlis resepsi itu mengikut tradisi barat dipenuhi dengan majlis ucap selamat dan memotong kek perkahwinan. Sudah menjadi trend muda mudi Jepun untuk mengadakan majlis perkahwinan ala barat dalam perkahwinan mereka. Bagi aku ia tidak salah kalau tidak dimasukkan dengan unsur-unsur yang boleh menggugat Akidah Islam.

Sehabis majlis aku segera bertemu Nahoko dan Azlan. Aku jabat tangan Azlan dan Nahoko.

"Tahniah, Azlan, Nahoko!", ujarku menutup rasa cemburu.
"Oh! Terima kasih! Kau bila lagi?", tanya Azlan. Soalan yang hampir menyentap jantungku.

Azlan tidak tahu kisah tragis kami berdua. Dia tidak boleh dipersalahkan dengan soalannya itu. Aku lihat Nahoko tertunduk bungkam. Tidak menduga soalan itu lancar keluar dari mulut Azlan. Ah! Persetankan. Aku datang dengan niat ihlas memenuhi jemptan seorang sahabat. Untuk apa aku cemburu sedangkan Nahoko sudah sah dimiliki Azlan.

Monday, January 19, 2004

GEMPAR !!!

Paparazi telah memaklumkan bahawa Mak dan Siti Nor Eyes kelihatan makan di sebuah restoran makanan laut di ibu kota. Kelihatannya mereka berdua begitu mesra sekali.... Mungkin kerana Along, mungkin kerana Abah, kedua-dua wanita berseteru ini akhirnya begitu intim sekali.

Tunggukan pengakuan dari mereka......


[terima kasih paparazi ....]

Sunday, January 18, 2004

PERGERAKAN AKU DIINTIP -- SIRI 68

SETELAH dibenarkan keluar dari hospital, WakDon, pemandu jabatan telah sedia menunggu untuk membawa ku ke lapanganterbang Kuantan. Menurut Wak, urusan check-out dari hotel telah diuruskan oleh Eyes dan beg yang dibawa dari rumah dibawa pulang semula tanpa berusik. Setelah mengucapkan terima kasih kepada WakDon, aku minta beliau meninggalkan aku bersendirian di balai berlepas, kerana beliau masih banyak urusan yang perlu dibereskan sebelum pulang ke Kuala Lumpur

Lapangan terbang Kuantan ini kecil sahaja dan kapalterbang paling besar boleh mendarat di sini hanyalah Boeng 737 sahaja. Jika hendak diukur, lapangan terbang Naha di Okinawa adalah lebih besar walaupun hanyalah sebuah pulau sahaja. Ia samalah seperti lapanganterbang Changi, yang tidak mempunyai penerbangan domestik. Memerhatikan gelagat pekerja dari seberang yang sedikit kurang santunnya terhadap pengunjung lapanganterbang, aku sedikit geram. Pertamanya mungkin rakyat Malaysia sudah kaya raya belaka hinggakan tidak ada lagi yang sanggup untuk bekerja di tempat begini. Kedua mungkin juga upah yang diberikan adalah terlalu murah yang tidak menarik minat pekerja tempatan. Hasilnya ialah kita dapati lapanganterbang kita tidak mesra pengguna, kurang bersih dan keselamatannya juga turut dipersoalkan, khususnya terhadap keselamatan bagasi. Jika dibandingkan dengan lapanganterbang Naha, sudah tentu ia bagaikan langit dengan bumi. Di sana para pekerjanya terlalu tekun melakukan tugas seolah-olah robot lagaknya yang sentiasa patuh kepada tugas tanpa sebarang rungutan dan bantahan. Mereka tidak akan duduk-duk lepak sambil bertukar-tukar gosip melainkan di waktu off duty. Sungguh terpesona aku dengan sikap pekerja Jepun yang begitu bersungguh bekerja tetapi tetap menghormati tetamu. Jika yang kerjanya membersihkan kawasan, bukan setakat menyapu dan mob secara melepas batuk di tangga sahaja, malahan dilakukan dengan begitu bersungguh-sungguh bagaikan membersih harta sendiri. Tiap-tiap kepingan lantai lapanganterbang dilap sesempurna mungkin hinggakan tidak ada satu segipun yang berdaki. Di manakah di dunia ini ada pekerja yang membersih dan mengelap daun-daun pokok hiasan sehelai demi sehelai jika bukan di Jepun?.



di lapangan Naha, OKinawa


Walau seindah manapun budaya Jepun, apa yang berlaku kepada Along sebenarnya masih menjadi tandatanya. Entah apa yang telah terjadi kepadanya di saat ini hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sebenarnya sebelum berpergian dia telah menunjukkan beberapa kelakuan yang aneh. Beberapa keping gambar keluarga kami dicetak dan tidak kurang juga yang disynnc ke PDA. Agak aneh kerana Along tidak begitu biasanya. Satu lagi dia nampaknya terlalu cemburukan Angah. Ia seolah-olah ingin mengawal segala tingkah laku Angah. Semua panggilan kepada Angah mesti ditapis terlebih dahulu.

Kedatangan pramugari dengan segelas oren kegemaranku benar-benar mengganggu hayalanku, namun ia membawa semula kepada realiti yang aku kini telah berada di angkasa dan penerbangan 45 minit ini akan mendarat di KLIA tidak berapa lama lagi. Perjalanan singkat ini aku rasakan terlalu lama bila terpandangkan Irwan berada di tempat duduk belakang. Kedatangan dia seolah-olah ingin mengintip segala gerak geri aku. Adakah dia diupah?. Siapa pula yang mengupahnya?.



Tuesday, January 13, 2004

NAHOKO



WAJAH NAHOKO

Nantikan Along dengan Kisah seterusnya......

Monday, January 12, 2004

DIA ADA DI SAAT KUPERLUKANNYA - SIRI 67

DI SUBUH yang hening ini, aku bersendiri di sejadah.

Dadaku berdebar tak sudah-sudah. Berita yang kuterima sebentar tadi membuatkan nafasku turun naik tidak menentu. Sebentar tadi di sisiku Angah, yang sama-sama menadah tangan memohon iradatNya agar Along selamat. Kemudian dia yang masih tersedu sedan kusuruh segera bersiap, berkemas pakaian kami. Mana tahu kalau-kalau ada wakil kedutaan atau wakil Wisma Putera yang akan tiba memberi laporan terkini tentang Along. Atau kami mungkin akan dibawa ke tempat tragedi...

Oh Tuhan, di saat ini aku amat memerlukan kehadiran seorang suami di sisi. Di pagi nan hening ini, kuperlukan kekuatan daripada seorang lelaki, seorang lelaki yang selama berpuluh tahun berada di sisiku. Namun kini dalam peta hidup yang rencam, dia berada nun jauh di sisi seorang wanita lain... dalam degup nafas wanita muda yang langsung tak kukenali. Perjudian ini baru bermula... tapi ia bermula di saat aku sudah kelelahan diburu usia. Di ketika aku terlalu letih memburu setia.

Kiriman smsku berjawab akhirnya. Dia terkejut. Dia tak sangka. Dia kata Along tak patut dirampas dengan cara tiba-tiba begitu daripada keluarga kami. Dia kata Along masih lagi diperlukan keluarga. Katanya lagi proses mencari Along yang hilang di perairan Taiwan apabila pesawat yang dinaikinya meletup pasti akan menemui Along dalam keadaan selamat.

Tetapi itu hanyalah harapan. Takdir Tuhan siapa tahu? Tangisanku tak berhenti-henti sejak malam tadi. Mataku sudah perit, pedih dan bengkak. Katanya dia akan segera balik dalam penerbangan awal pagi dari Kuantan. Dia meminta supaya aku jangan ke mana-mana, tunggu sahaja panggilan daripada pihak-pihak yang berwajib sambil dia menelefon kawan-kawan lain sama ada di Malaysia atau di Jepun, memohon bantuan.

Apa yang kubuat serba tak kena. Kutelefon saudara mara kami. Aku juga menelefon balai polis terdekat. Aku turut menelefon hospital terdekat. Aku juga menelefon rakan-rakan pejabat memberitahu bencana yang menimpa keluarga kami.

Along, mak tetap sayangkan Along dan tak mahu kehilangan Along. Di saat ini mak ingin sangat memeluk tubuh Along walau bagaimana sekalipun keadaan Along. Sebentar lagi Acik dan Tok Ki akan sampai dari kampung. Dan sebentar lagi di rumah kita ini, akan berhimpun ramai saudara mara yang jauh dan dekat yang sama-sama mendoakan kesejahteraan Along.

Ah... terasa lambatnya detik berlalu. Aku tak sabar menanti kepulangan dia. Aku tak sabar ingin menangis di dadanya, dalam pelukan seorang suami. Biarlah. Biarlah buat seketika ini kulupakan segala sengketa demi Along. Biar kubalut erat-erat segala dendam dan curiga demi kesejahteraan Along.

Telefon yang berdering-dering di sudut ruang tamu kuangkat penuh curiga. Apakah ada berita terkini tentang Along? Apakah panggilan ini berupa panggilan duka dan membawa berita yang akan menghancurkan jiwaku? Sekali lagi jantung berdegup kencang membuatkan dadaku sakit.

"Oh my GOD... are you okay my dear?" Kata suara itu, membawa semangat yang aneh ke dalam diriku. "I baru dapat tahu daripada Marlia. Sabarlah my dear, sekejap lagi I sampai!"

Ya Tuhanku, dia selalu hadir di saat dia kuperlukan!


OKINAWA MENGUSIK JIWA - SIRI 66

BEREHAT dalam suasana gelap, dingin dan sunyi begini selepas menelan pil penahan sakit adalah terapi biasa untuk menghilangkan sementara penyakit migrain ini. Pada ketika begini, seluruh ahli keluarga telah maklum yang aku tidak mahu diganggu sehinggalah aku pulih sepenuhnya. Ya pulih sepenuhnya sebelum serangan berikutnya datang semula. Sememangnya kini aku bersendirian walaupun mungkin tidak keseorangan. Wajah-wajah semalam sudah tiada lagi di sini. Eyes yang kusangka Nahoko itu sedang berbengkel barangkali. Isteriku dan Angah belum datang kerana belum masa melawat barangkali, harap-harapnya begitulah. Along masih tanpa khabar berita semenjak ke Okinawa menghadiri perkahwinan bekas koibitonya.

Okinawa ...... sebuah pulau kecil yang indah di selatan Jepun. Along belajar di salah sebuah dari lima universiti di siti, iaitu universiti Ryukyu. Sengaja aku syorkan dia memilih untuk belajar di Jepun dan seterusnya di Okinawa. Bukan untuk menyahut program Pandang Ke Timur sahaja, malahan lebih dari itu. Sebenarnya suasana di Okinawa ini tidak jauh bezanya dengan Malaysia. Tidak banyak ciri-ciri Jepun di tanah besar yang boleh dipelajari di sini. Namun Okinawa tetap menjadi pilihanku untuk Along. Ketika ini aku terkenangkan bandar Naha, kota Koza, kem foster, perkampungan nelayan Ittoman dan tidak lupa bukit Urasoe di daerah Maeda di mana terletaknya Okinawa International Center (OIC). Lebih dua puluh tahun yang lalu, aku adalah peserta kursus bahasa Jepun di OIC. Kursus setahun di bawah biayaan monbusho ini adalah lebih berbentuk pertukaran pelajar sebenarnya. Kenangan sebagai pelajar antarabangsa sungguh indah. Maklumlah inilah peluang pertama terbang dan menginap sendirian di luar negara. Di sebuah negara yang terlalu asing serba serbinya. Nostalgia kembali kepada Higa-san di shukudo yang begitu perihatin terhadap makanan halal kami. Staf Front-A dan Front-B yang terlalu mengambil berat tentang hal ehwal setiap peserta kursus dan Pakcik Tomo dari Ittoman yang tiap hujung minggu datang berkunjung dengan pelbagai masakan ikan gorengnya.

Selama beberapa bulan aku berulang alik setiap hari dari OIC yang menjadi tempat penginapan ke universiti Ryukyu yang menjadi tempat belajar utama. Kemudian berpindah ke rumah keluarga angkat di Ishimine Shuri. Perpindahan ini adalah sebahagian dari proses pembelajaran untuk memantapkan lagi Nihongo yang kupelajari. Di sinilah bermula segala-galanya yang menjadi sejarah dalam hidupku.

Sempat aku mengarang beberapa rangkap haiku mengenai Okinawa ini:


KOMPILASI OKINAWA

Okinawa ku
Pulau kecil yang indah
Cantik menawan

Cuaca nyaman
Libur di Naha, Koza
Okinawa-ken

Angin menderu
Taufan yang menggerunkan
Oh Okinawa

Laut berombak
Di kampung nelayan
Pekan itoman

Bazar penjual
Tawaran paling murah
Kokusai dori

Jalan sendiri
Satu pagi di Naha
Tiada bimbang

Kaktus gergasi
Di taman Himeyuri
Tiada lagi

Bayu yang tenang
Okinawa nan satu
Seribu pulau

Pulau yang kecil
Okinawa yang damai
Seribu rasa

Gadis petani
Ladang tebu tebentang
Manis senyuman

Okinawa ku
Sedasawarsa waktu
Masih begitu


Rupa-rupanya nostalgia Okinawa ini akan menjadi kenyataan setelah aku tersedar rupa-rupanya di Treo600 ku terdapat pesanan SMS dari isteriku mengenai perkara tersebut. Aku jadi kaget, serba salah namun terpaksa juga menerima kenyataan demi Along demi semua. Aku terpaksa terus pulang ke Kuala Lumpur untuk ke Okinawa. Alhamdulillah, kesihatanpun nampaknya sudah pulih dan insyaallah dapat discharge petang nanti.

nota:
koibito = buah hati/ kekasih
monbusho = Kem. Pendidikan Jepun
Nihongo = bahasa Jepun

Wednesday, January 07, 2004

DI KALA DEGUP JANTUNGNYA DAPAT KURASA- SIRI 65

Karya ini nukilan Ibnu Ariff dan diedit oleh Sri Diah

"ALONG!"

Tiba-tiba sahaja terpacul nama itu dari mulutku. Gemanya bertebaran di seluruh bilik yang pengap itu. Aku terus terjaga dari lena, bangkit terpisat-pisat dan terus sahaja duduk menjuntai kaki di tubir katil. Kuurut dada yang berdebar kencang. Along... seperti sesuatu yang buruk telah terjadi pada Along.

Kupejamkan kembali mataku. Bagai terngiang-ngiang dengup jantung Along di telingaku. Tapi kurasa ritmanya perlahan. Walau perlahan tapi
sekata seperti mana pertama kali kudengar dengus nafas Along semasa dia terlantar di hospital beberapa tahun lalu. Ketika Along lena, sengaja kutekup telingaku ke dadanya.

Tiba-tiba terasa ada cahaya menerjah masuk menerangi kegelapan bilik bujang
Abah ini. Tok Ki rupanya, tentu sekali dia terdengar jeritanku tadi.
Aku rasa bersalah pula membuatkan Tok Ki terjaga, tapi aku bukan sengaja.

"Kenapa Achik?"
"Tiada apa Tok Ki, mimpi biasa sahaja."
"Mimpi biasa? Kenapa habis berpeluh muka ni?" soal Tok Ki sambil
menyentuh mukaku, sentuhan yang amat menenangkan, sentuhan kasih sayang. Namun hatiku masih tidak tenang lagi, jantungku berdebar-debar.
"Achik bimbang, sesuatu terjadi pada Along. Achik tak tahu Along pergi
mana, dia tak pesan apa-apa pun."
"Jangan bimbang, InsyaAllah tiada apa-apa terjadi pada Along. Tok Ki
sentiasa doakan dia dan kita semua selamat, Achik pun kena begitu juga.
Tidurlah, esok kan nak balik KL semula?"

Aku sekadar mengangguk, mengiyakan. Tok Ki menutup kembali selimut ke
tubuhku dan dia menuju semula ke biliknya. Kemudian sayup-sayup
kudengar suaranya membaca Al-Quran.

Aku cuba melelapkan mata tetapi sukar rasanya. Kutak tahu Along di mana sekarang. Dalam beberapa jam ini kurasakan Along makin jauh dan jauh daripadaku. Selama aku duduk di kampung langsung tak teringat aku hendak
bertanya khabarnya. Selalunya Along sendiri yang menelefon. Kemudian aku
teringatkan mak, dia tentu tahu ke mana Along pergi. Tak pernah
Along berpergian tanpa memberitahu Mak.

Kudapat dengar lagi degupan jantung Along di benakku, masih perlahan,
sekata. Sedangkan ketika itu jantungku berdebar-debar, bukan kerana akan memasuki sekolah menengah tetapi kerana Along. Along yang sungguh istimewa bagiku. Hatinya sendiri pun sedang tercalar, mana mungkin dia mahu mendengar masalahku yang remeh-temeh ini!

Aku hampir terlelap apabila telefon antik Tok Ki tiba-tiba sahaja
berdering. Kakiku bagai ditarik-tarik untuk menjawabnya, segera aku bergegas
mengangkat gagang. Panggilan itu dari Mak, dan panggilan itu menjawab
segala resah gelisahku tadi...

MENEMUI ABAH, MAK DAN ANGAH - SIRI 64

Aku menziarahi Abah yang terbaring di katil hospital. Nampak Abah terbaring lemah. Di sisinya seorang wanita yang aku tidak kenali. Mungkin Abah dihinggapi migrain lagi. Bukan aku tidak tahu sifat workaholic Abah kalau sudah menghadap kerjanya. Makan dan minum boleh dilupa sewenang-wenangnya. Nah! Inilah bahananya, terlantar di hospital. Aku pegang tangan Abah. Aku genggam erat-erat. Hangat. Abah seperti tidak melayan kehadiran aku. Mengapa ya?

"Abah, Along datang tengok abah ni", bisik aku ke telinganya

Abah diam. Dia rancak berbual dengan wanita muda disebelahnya. Aku jengkel. Mengapa Abah seperti tidak memperdulikan aku. Akukan anaknya!

Aku tinggalkan Abah dengan gelak tawa yang dibuat-buat oleh wanita muda itu. Meluat. Ketika menuju ke pintu aku bagai melihat kelibat Mak dan Angah menuju ke pintu keluar bangunan putih itu. Aku bergegas mengejar mereka. Panggilan aku tak bersahut. Aku tidak pasti sama ada Mak dan Angah baru sahaja menziarahi Abah. Ada segugus mendung di wajah Mak, seperti baru lepas menangis. Takkan Abah melukakan hati Mak lagi? Mak dan Angah tidak sempat aku jumpa. Mereka memecut laju meninggalkan perkarangan hospital. Hujan renyai-renyai yang turun sejak tadi semakin lebat. Aku berdiri basah. Mengapa mereka seperti tidak memperdulikan aku. Aku bukan berbisik, tetapi menjerit nyaring nama mereka.

Angin bertiup kencang. Aku bagai melayah terbang. Aku ternampak Nahoko sedang ketawa riang bersama suami yang baru dikahwininya. Azlan Shah! Khabarnya, mereka berdua sedang berbulan madu di Malaysia. Aku cemburu. Mengapa aku tak ditakdirkan untuk bersamanya. Mengapa? Apa kurangnya aku? Aku menderita mengejar bayang-bayangnya.

"Dia bukan jodoh untukmu. Mungkin kau anggap ia terbaik untuk dirimu. Sedangkan Allah lebih berhak mengetahui mana yang lebih baik untuk dirimu", terngiang-ngiang suara yang entah dari mana datangnya.

Aku pekupkan telinga. Airmata tak terbendung. Kecewakah aku?

"Along ni lemaula. Mana ada lelaki nangis?", Suara Angah menusuk gegendang telinga.

Tidak adikku. Aku tidak menangis kalau sebegini tebal rasa sedihku.

Monday, January 05, 2004

WAJAH-WAJAH YANG SAMAR - SIRI 63

SELEPAS bersama semasa di Sogo, aku terlalu sibuk membereskan kerja akhir tahun, menyiapkan SKT tahun baru dan menyelia pelajar diploma IT. Persembahan projek akhir pelajar IT di INTAN secara maraton mengambil masa selaqma empat belas jam sungguh memenatkan. Oleh kerana jadual makan yang tidak menentu, urat-urat halus di kepala mula membesar petanda migren akan menyerang. Untuk mententeramkan diri, dua biji ponston 500mg menjadi teman bersama makan pagi.

Selesai acara maraton tersebut, kami sekeluarga berkereta ke pantai timur kerana terdapat satu lagi atucara akhir tahun. Aku akan menghabiskan masa di hujung tahun dengan menghadiri bengkel produktiviti di kuantan. Isteri ku pula akan ke Kemaman untuk mengendalikan bengkel penulisannya.

Isteriku meneruskan perjalanannya ke Kemaman bersendirian sementara aku mendaftar di hotel ditemani Angah. Selesai pendaftaran aku mengambil peluang meninjau ke bilik bengkel untuk mempastikan upacara perasmian akan berjalan lancar. Apabila melihatkan bilik belum terurus sempurna, susunatur masih berterabur dan paling penting dokumen bengkel masih belum tiba, kepala yang dah sekian lama menahan perit kian kencang denyutannya. Lama rasanya aku di bilik air ini, mata berpinar-pinar, kepala semakin berdenyut walaupun segala isi perut telah habis keluar dimuntahkan. Sudah tiga kali aku mengalami migrain yang terus sehingga muntah-muntah pada bulan ini sahaja. Aku harap ianya sekadar migrain sahaja dan tidak lebih dari itu. Aku pernah menjalani diagnosis dengan doktor pakar di universiti hospital St. James di Leeds dan juga Hospital Kuala Lumpur. Mengikut doktor pada masa tersebut, tidak ada apa-apa yang dapat dikesan dan ia Cuma migrain biasa sahaja. Oh sungguh penderitaan ini…

Sayup-sayup kedengaran suara orang bercakap-cakap yang kurang dapat difahami buah butirnya. Samar-samar kelihatan gadis seperti Nahoko berada di sebelah ku. Ya Allah, di mana aku kini?. Adakah aku sudah mati?. Encik di hospital dan semuanya selamat. Sapa seorang yang aku agak adalah jururawat. Encik pengsan tadi dan rakan-rakan encik membawa encik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan ni. Aku cuba tersenyum mendengar penjelasan panjang lebar itu dan bersyukur yang aku masih lagi hidup, ya hidup di dunia ini, di katil hospital.

Apabila ku buka mata kembali, hari sudah malam agaknya. Seorang doktor perempuan barangkali, berwajah bujur sirih iras-iras Nahoko, menghampiri dan menyuapkan aku sesuatu ke mulut ku. Oh Angah juga ada tidak jauh dari sini. Belum sempat lagi suapan yang aku agak ubat penahan muntah itu ku telan, wajah isteri ku tetiba muncul dan sepantas kilat pula hilang dari pandangan. Entah dia entahkan siapa. Kemudian angahpun hilang dari pandangan juga. Akhirnya semua keadaan menjadi gelap gelita…..


Friday, January 02, 2004

ADA DURI DALAM DADAKU - SIRI 62

PERJALANAN balik dari Kuantan ke Kuala Lumpur terasa amat jauh sekali. Ia bagai suatu perjalanan yang penuh dengan onak dan duri. Di Paya Bungor aku hampir melanggar seorang penunggang motosikal. Mujur aku berjaya mengelaknya. Ketika di Bentong pula, kereta yang kupandu hampir-hampir terbabas, mujur tidak melanggar pembahagi jalan. Dan tatkala menghampiri Karak, aku memang berhenti rapat betul-betul di belakang sebuah Perdana V6.

Angah di tempat duduk sebelah berkali-kali mengucap di sepanjang 5 jam perjalanan itu. Dia tak putus-putus bercakap apa sahaja yang termampu olehnya. Dia menasihatiku mengikut fikiran usia 17 tahunnya. Dia membelaku kerana katanya aku emaknya. Dia kecil hati dengan sikap abahnya kerana 'menyimpan' Cik Siti Nor Eyes dalam diam. Dia kata dia tidak berkomplot dengan abahnya. Dia bersumpah berkali-kali.

Oh anakku... mak sudah tidak ada air mata untuk menangis, anakku. Agaknya mak terlalu baik sampai abah kamu bersikap main belakang dengan dua tiga orang perempuan... Agaknya mak kamu ini terlalu bodoh melayan suami hinggakan abah kamu mencurahkan api kasih dan rindunya kepada Cik Siti Nor Eyes, dengan Souraya... dengan Nori dan entah mana-mana perempuan lagi!

Apabila difikirkan semula, maka adalah wajar aku terus tinggalkan dia dengan perempuan itu di katil Wad Orkid di Hospital Tengku Ampuan Afzan itu. Apabila perempuan itu mahu menghulurkan tangannya mahu berjabat denganku, aku tenung mata angah. Angah mengerutkan dahi. Tanpa berkata apa-apa kami terus melangkah meninggalkan wad yang bagaikan neraka itu, Kami balik ke hotel dan berkemas. Tidak sampai 15 minit kami sudahpun keluar dari bandar Kuantan.

"Habis abah macamana?" Angah menyoal sewaktu kami berhenti mengisi minyak kereta. "Kalau kita balik dulu, nanti abah nak balik dengan siapa? Siapa yang nak ...."
"Siapa nak jaga abah? Begitu maksud angah? Biarlah angah..abah bukan tak biasa diserang migraine hingga masuk wad. Biar perempuan tu yang jaga hal ehwal abah. Pandailah dia menjaga abah setelah abah tak pandai menjaga hati kita." Kataku sambil menjeling sekilas ke muka anak daraku itu.
"Tapi mak..." Angah masih lagi tidak puas hati.
"Angah... kita balik dulu. Nanti abah balik dengan perempuan tu!" Kataku tegas.
Angah menggumam. Sesekali terdengar dia menarik nafas panjang, tersekat-sekat dan melepaskannya perlahan-lahan. Dan akhir sekali kudengar ada bunyi esakan yang panjang dan perlahan... Angah menangis! Tetapi aku sendiri sudah tidak punya air mata untuk menangis!

Kami sampai di rumah hampir pukul 12 tengah malam. Itupun setelah lebih enam kali aku berhenti di tepi jalan kerana hati sebak dan fikiran yang berkecamuk, tidak tenteram. Sampai sahaja, angah terus masuk ke bilik. Berdentum bunyi pintu bilik dihempasnya. Aku bimbang jiwa remaja angah terdera... aku tak mahu anak daraku tersentuh hati dengan insiden yang berlaku di hadapan matanya tadi... tetapi apalah dayaku. Dan rasanya hati angah memang pun sudah tercalar.

Dua hingga tiga jam selepas itu aku masih lagi termenung di atas katil. Hatiku masih lagi bengkak, hampir menanah. Suamiku baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya, dia bukan muda lagi. Tetapi kenapa lagaknya bagai orang berumur 40-an, yang memang galak mencari pucuk muda? Tepat pukul empat pagi, telefon menjerit-jerit di sudut katil. Aku tak mahu mengangkatnya. Jika dia tenat pun di katil hospital, biarlah perempuan muda itu yang membantunya!

Tetapi deringan telefon yang berdering buat kali ketiganya itu terdengar begitu aneh. Getarannya lain daripada biasa. Dalam terpisat-pisat aku bingkas mencampakkan gebar dan menyambut ganggang berwarna krim itu.

Ya ALLAH... Along... Along anak mak...!
Lidahku kelu. Dadaku terasa perit mencucuk-cucuk.


TRAGEDI - SIRI 61

Penerbangan balik selama 7 jam itu bagai neraka buatku. Cuaca agak tidak mengizinkan. Aku berada di ruang udara Taiwan pada ketika ini. Air Pocket buat aku kecut perut. Inilah satu-satunya perkara yang paling aku tidak suka bila menaiki pesawat udara. Sudah ada kedengaran suara kanak-kanak menangis ketakutan. Sang Pramugari sibuk mententeramkan penumpang yang mula cemas. Aku menekapkan bantal di dada. Gerun pun ada. Tawakkal sajalah, bisikku menyedapkan hati.

Lampu merah supaya penumpang mengenakan tali pinggang kaledar menyala sejak tadi. Selang sepuluh minit juruterbang memberitahu supaya bersabar. Tiada apa-apa katanya. Hanya gegaran-gegaran biasa kerana awan tebal yang dilalui burung gergasi. Masa itu makan tengahari baru sahaja dihidangkan. Anak-anak kapal sedang sibuk melayan penumpang menghadap hidangan. Aku hilang selera.

Ingatan terhadap Nahoko menebal. Dia sudah menjadi milik orang. Sudah sah bergelar isteri kepada seorang jurutera Malaysia yang bekerja di kampung halamannya! Aku terkesima bila diperkenalkan dengan suaminya. Ir. Azlan Shah itulah namanya. Aku tidak kisah kalau suaminya berbangsa Jepun seperti dia. Tetapi....! Aku baru sahaja diberitahu yang Nahoko sudah memeluk Islam tidak lama selepas aku pulang ke tanahair.

Cintanya kepada Islam menemukannya dengan Azlan di Pusat Islam Sendai, kira-kira satu jam dari kampung halamannya di Fukushima. Mereka bertemu dalam satu majlis menyambut hari raya bagi komuniti Islam di sana. Azlan asalnya seorang bekas pelajar di Tohoku University yang terletak di Sendai City. Kemudiannya bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Pelabuhan Sendai, pelabuhan terbesar di Utara Jepun. Kisah cinta pertemuan mereka buat aku cemburu. Dalam diam hatiku menangis. Ya, aku kecewa kerana tidak dapat memenangi hatinya!

Tiba-tiba aku terdengar suara jeritan nyaring. Seorang pramugari tercampak ke bumbung pesawat. Dia jatuh tertiarap bersama sehidang makanan yang sedang dibawa. Pengsan. Pesawat bergegar dan terhuyung-hayang tanpa haluan. Suara jeritan bergema menusuk gegendang telinga. Aku jadi panik. Juruterbang mengarahkan semua anak-anak kapal dan penumpang duduk di tempat masing-masing. Ketua Pramugara meminta semua penumpang memakai jaket keselamatan. Serentak dengan itu, masker oksigen berjatuhan automatik dari kotak di atas kepala. Cemas. Lampu dalam pesawat terpadam. Aku rasa kapal terbang sudah mula menjunam. Sudah ada barang-barang terkeluar dari tempat penyimpanan barang di atas kepala penumpang.

Aku segera mengenakan jaket keselamatan. Sambil menarik masker oksigen ke mulut dan hidung. Penumpang di sebelahku sudah tidak bergerak. Dahinya berlumuran darah. Pengsan atau sudah mati aku tidak pasti. Aku mengucap dan selawat banyak kali. Tak terhitung jumlahnya bersama ketakutan yang mencengkam dada. Ya Allah! Permudahkan kematianku.

Lailllaha illah! BUM! Pesawat menghentam sesuatu.

Aku sudah tidak ingat apa-apa lagi selepas itu.

TEST

test

| penyumbang |


Sri Diah
mba
Rudy Bluehikari

Kami Member GEJU


Bantuan Teknikal: cnma
JAD Versi Palm oleh: Ibnu Arif


Download Palm Reader(versi Palm, PPC, PC, Mac)
Download JAD dlm format pdf


kemaskini blog

eNOVEL Jangan Ada Dendam
Berapa Kerap JAD Perlu Dikemaskini?

Setiap Hari
2-3 kali seminggu
seminggu sekali
sekali-sekala

 | arkib |


Pengenalan

Siri 1   -   Siri 2   
Siri 3   -   Siri 4   
Siri 5   -   Siri 6   
Siri 7   -   Siri 8   
Siri 9   -   Siri 10  

Siri 11  -   Siri 12  
Siri 13  -   Siri 14  
Siri 15  -   Siri 16  
Siri 17  -   Siri 18  
Siri 19  -   Siri 20  

Siri 21  -   Siri 22  
Siri 23  -   Siri 24  
Siri 25  -   Siri 26  
Siri 27  -   Siri 28  
Siri 29  -   Siri 30  

Siri 31  -   Siri 32  
Siri 33  -   Siri 34  
Siri 35  -   Siri 36  
Siri 37  -   Siri 38  
Siri 39  -   Siri 40  

Siri 41  -   Siri 42  
Siri 43  -   Siri 44  
Siri 45  -   Siri 46  
Siri 47  -   Siri 48  
Siri 49  -   Siri 50  

Siri 51  -   Siri 52  
Siri 53  -   Siri 54  
Siri 55  -   Siri 56  
Siri 57  -   Siri 58  
Siri 59  -   Siri 60  

Siri 61  -   Siri 62  
Siri 63  -   Siri 64  
Siri 65  -   Siri 66  
Siri 67  -   Siri 68  
Siri 69  -   Siri 70  

Siri 71  -   Siri 72  
Siri 73  -   Siri 74  
Siri 75  -   Siri 76  
Siri 77  -   Siri 78  
Siri 79  -   Siri 80  

Siri 81  -   Siri 82  
Siri 83  -   Siri 84  
Siri 85  -   Siri 86  
Siri 87  -   Siri 88  
Siri 89  -   Siri 90  

November 2003
December 2003
January 2004
February 2004
March 2004
April 2004
May 2004
August 2004
October 2004
April 2005
May 2005
August 2006

| buku tetamu |

Visit my Guestbook!

| penafian |

semua tulisan di sini adalah rekaan penulis semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa, samada masih hidup atau telah meninggal. Jika ada persamaan ia hanyalah kebetulan sahaja.

| tagboard |

Powered by TagBoard
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Your E-mail: