Wednesday, October 29, 2003

LUPA SKRIP, LUPA LOKASI... - SIRI 15

HARI ini hari ke tiga Ramadan. Dua hari Ramadan berlalu dengan jayanya. Kami bangun pagi dengan ceria untuk bersahur. Sekurangnya tanggungjawabku ringan sedikit. Dia membantu setakat yang boleh. Tidaklah kupaksa dia memasak. Menolong mengemas meja pun dah memadai.

Namun hari ketiga Ramadan ini sebaliknya berlaku. Rupanya lakonannya hanya tiga hari. Wataknya sudah kembali ke asal. Dia sudah lupa skrip. Dia dah tak ingat akan kontinuiti. Malah lokasi pengambaran pun dia dah lupa…

Apa yang membuatkan dia letih sangat? Jika terawihnya 10 rakaat di masjid, aku pun buat setakat itu juga. Kami pergi dan pulang bersama dari masjid. Lepas itu dia terus sahaja di rumah. Tidak keluar lagi.

Ya… pc itu telah meletihkan dia hingga enggan bangun sahur! Dia tidur lewat. Dia mengadap dan mengulit pc itu bagaikan itu isterinya. Kataku jika tak mahu makan, jamah milo dan kurma sebiji pun dah cukup. Tetapi jenuhlah aku mengejutnya, dia sayang nak tinggalkan bantal dan tilam.

Puas mengejutnya kusuruh anak kami pula mengejut. Tetapi budak itu ditengkingnya. Itu pantang bagiku...!

Anak adalah hartaku. Kami sudah kompromi, kalau kesilapan bukan kerana anak-anak, jangan ditengking herdik mereka. Tapi nampaknya dia dah langgar janji.

Kebosanan mula meraja dalam hatiku. Pagi ini aku ke pejabat dengan dada yang sakit.

Posted by: sri / 8:02 AM

Tuesday, October 28, 2003

PENGARAH YANG KECUNDANG … - SIRI 14

Sebenarnya aku ingin menjadi seorang pengarah. Setelah kecundang menjadi pengarah di pejabat, aku berhasrat untuk menjadi pengarah di rumah sahaja. Mengarah sebuah drama swasta keluarga bahagia. Untung-untung jika ada anugerah bapa mithali atau suami mithali, maka aku adalah salah seorang daripada calon-calonnya. Namun oleh kerana pelakon-pelakonku semuanya demand dan berlakon mengikut skrip sendiri sahaja saban hari, jadi mengapa tidak aku pula berlakon sendiri dalam skrip yang aku tulis dalam drama yang aku arahkan sendiri.

Sebenar Saerah, orang gaji kami dibersarakan lima tahun lalu secara kebetulan dia ingin berkahwin dan kami sekeluarga pula ingin ke UK selama setahun kerana dia dianugerahkan biasiswa oleh British Council untuk membuat sarjana dalam bidang penulisan di University of Leeds. Sementara anak-anak dapat merasa bersekolah di sana, aku pula mengambil cuti tanpa gaji untuk menjadi ‘sura’ rumah tangga sepenuh masa. Jadi boleh dikatakan asas-asas lakonan ini telah aku pelajari selama setahun menetap di bumi orang putih itu.

Aku sebenarnya amat terkilan dengan JPA yang tidak mahu meluluskan pinjaman pelajaranku walaupun aku juga telah mendapat tempat untuk belajar di sana. Aku bukannya memohon biasiswa, cuma pinjaman yang akan dibayar balik kemudiannya. Alasan kukuh JPA ialah umurku telah melebihi dari syarat kelayakan. Walhal untuk dikirakan logik akal, aku masih mampu untuk melunaskan segala pinjaman tersebut sebelum usia bersara.

Kembali kepada dunia lakonan, setakat berlakon sebagai suami yang penyayang, suami yang romantik, bapa yang alim dan yang sewaktu dengannya sememangnya tidak menjadi persoalan kerana ia sememangnya lumrah dan naluri aku sendiri. Anak yang dibesarkan oleh datuk dan nenek di zaman kecilnya sememangnya begini. Jadi sempena dengan hari pertama Ramadhan ini, awal-awal lagi aku ke dapur menyiapkan juadah bersahur untuk kami sekeluarga. Cuma nasi goreng resepi Mak Siti beserta sup perencah adabi. Itulah makanan kegemaran anak-anak kami sewaktu bersahur. Yalah pada jam 4-5 pagi, makanpun sambil memejam mata. Jika masakan lain tentu mereka akan meminum air sahaja untuk bersahur. Setelah selesai semuanya, menggerakkan dia untuk bersahur dahulu berdua dan dalam agak terpinga-pinga dan mamai, dia nonong saja ke dapur dan kami bersahur bersama dalam keadaan yang begitu romantik. Romantik kerana kami hanya makan tanpa banyak berkata-kata, cuma sesekali jeling-jeling dan tersipu sendiri.n Oh nampaknya lakonan pertama ini hampir berjaya dan bolehlah aku memasukkan jarum selanjutnya. Mudah-mudahan berjaya …

posted by mba san 4:53 AM

Monday, October 27, 2003

DIAKAH PELAKON HARAPAN TERBAIK? - SIRI 13

KINI tiada lagi orang gaji di rumah kami. Sudah lima tahun kami 'bersarakan' dia. Di suatu malam, dia kami hantar ke Pelabuhan Melaka dan dia berangkat menaiki feri malam itu juga balik ke kampung halamannya di Pekan Baru. Alasannya mahu menikah. Ialah sejak lima tahun dia kami ambil, waktu itu usianya 25 tahun dan wajarlah alasannya mahu menikah apabila menginjak 30.

Kini akulah orang gaji di rumah ini. Siang malam aku 'dikerjain'. Siang dikerjakan di pejabat dengan bermacam tanggungjawab. Balik ke rumah dikerjakan dengan pelbagai rutin. Memasak, membasuh, melipat, menyapu, ah... bermacam lagi hingga pada tugas hakiki yang wajib kupenuhi pada waktu-waktu tertentu.

Akulah orang gaji yang ada degree, kelulusan bidang profesional dan pernah mendapat anugerah pelajar terbaik semasa di universiti. Anehnya bukanlah degree house keeping! Sedangkah itulah tugas terbesar aku sekarang.

Bagaimanapun dengan anak-anak yang sudah menginjak remaja rasanya tugas tidaklah terlalu teruk. Masing-masing sudah boleh berdikari. Berdikari? Ah, itu kata-kata klise bagi dia!

Jika tidak diambilkan air dia akan kehausan di sofa. Jika tidak dihidangkan makan, dia akan mati kelaparan mengadap pc. Jika tidak diangkat pakaian kotornya yang bersepah di lantai, dia akan dibelit dek tuala yang bertukar jadi ular... meminjam kata-kata emakku.

Namun pagi semalam sesuatu yang aneh telah terjadi. Aku dikejutkan untuk bangun bersahur bukan dengan dering jam loceng tapi dengan riuh bunyi sudip, sudu dan pinggan mangkuk (maaf tomohiko!).

"Eh sayang... sorry kalau I ganggu tidur you." Katanya, tersengih bila aku ke dapur.
"It's okay bang, apa mimpi ni?" Soalku, menggesek mata yang kelat.
"Sekarang semua dah siap. Mari duduk." Tangannya sudahpun menyenduk nasi dan menghidangkan dalam pingganku. Gulai ikan dicubitnya dan diletakkan dalam pingganku.
"Kita makan berdua dulu, sekejap lagi baru kejutkan anak-anak..." Katanya lagi.

Oh Tuhan... aku terus menadah tangan, membaca doa makan!
Semoga Ramadan tahun ini memberiku lebih kekuatan.

Posted by: sri / 4:08 PM

Sunday, October 26, 2003

PASANGAN BAHAGIA TOKKI DAN TOKWAN - SIRI 12

Malam tadi rupanya aku pulang ke kampung mengimbau semula zaman kanak-kanakku bersama Tokki dan Tokwan. Kedua-dua mereka mempunyai kejaya sendiri, namun tanggungjawab utama tidak pernah diabaikan. Tokwan sibuk dengan sekandang lembu pawahnya serta huma di hujung kampung. Tokki pula dengan sawah dan tiga buah kolam ikan ternaknya. Pagi-pagi lagi Tokwan akan keluar untuk melepaskan lembu-lembu dari kandang, kemudian terus ke huma untuk melihat-lihat apa yang patut. Kadang-kadang hanya tapak-tapak ‘lembu pendik’ sahaja yang kelihatan. Hampir tengahari baru dia pulang ke rumah untuk bertanak nasi. Walau bagaimanapun Tokwan tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan nenek. Jam berapapun aku terjaga dari tidur, pergi saja ke dapur akan terhidanglah air rawa, ubi rebus dengan ikan masin ataupun lempeng bercicah nyior untuk mengalas perut. Tokki cukup bahagia mempunyai Tokwan sebagai teman hidupnya. Dia selalu berpesan, bila kamu dewasa nanti, jika nak berkahwin dengan orang yang bekerja, tidak ada apa-apa masalah, asalkan makan pakai kamu sekeluarga dapat diuruskan sepenuhnya. Jangan serahkan kepada orang gaji. Oh… itu semuanya nostalgia dan telah menjadi sejarah.

Sedang khusyuk bersembahyang Subuh, aku terdengar dehemnya yang memberi isyarat untuk menjadi makmun. Alhamdulillah, syukurlah kepadaNya. Akan mudahlah segala urusanku selepas ini. Selepas berdoa panjang, kuhulurkan tangan untuk bersalaman dan sebagai suami tiada salahnya memohon ampun maaf dari isteri. Untuk mendengar ucapan maaf darinya terlebih dahulu, tunggulah sehingga kucing bertanduk. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar tanpa bersusah payah. Tiada siapa yang perlu mengemis dalam kesejukan subuh ini, kami sememangnya saling memerlukan dan terlerailah rindu dendam selama beberapa hari ini.

Selesai mandi, tugas pertama di pagi minggu ini ialah ke pasar. Membeli apa-apa yang patut sebagai persediaan untuk bersahur. Ya, hanya untuk bersahur sahaja, kerana sudah menjadi kelaziman bertahun-tahun, juadah berbuka semuanya dengan resepi telunjuk di warung sahaja. Namun, ada kelainannya kali ini apabila dia ingin ikut ke pasar. Dalam hati berkata, cemburu ke dia bila aku ke pasar atau ah lupakan saja, ini ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. “sayang bawa kereta, biar abang di sebelah. Nak dengar kalau-kalau kereta ni ada bunyi di mana-mana”. Yalah kereta ni, jika orang perempuan yang bawa, selagi boleh jalan, dihenyaknya saja. Apa dia tahu pasal absorber, bearing, alignment dan sebagainya. Malahan angin tayarpun tidak tahu berapa sukatannya.

posted by mba san 10:59 PM

TATKALA TANGANNYA KUSENTUH... - SIRI 11

BUKAN sengaja! Aku tak bermaksud membuat dia berdosa apabila dia gagal menunaikan Maghrib. Tapi melihat dia keletihan di katil, mendorong aku jatuh kasihan. Dia kepenatan. Agaknya dia terlalu sibuk di pejabat siang tadi. Jadi kubiarkan dia terlena seketika....

Pagi ini kulontarkan egoku jauh-jauh. Perlahan-lahan aku berdiri di belakangnya, mengikutnya bersembahyang subuh. Aku harap dia mengerti makna dehemku di belakangnya.

Di pagi nan bening, kucampak rasa kecewa ke luar dari dada. Harapnya dia begitu juga. Sempena Ramadan al mubarak yang bakal tiba aku harap kami sama-sama dapat menunaikan puasa di siang hari dan malamnya berjemaah terawikh di masjid. Semoga bulan berkat ini akan menyambung kembali tali kasih kami yang hampir reput.

Subuh itu, selepas mengaminkan doanya dan tatkala kami bersalaman, kutatap mata beningnya dan melihat bibirnya berkata perlahan, "abang mintak maaf..." dan tanpa sedar bibirku juga melafazkan, "saya juga bang..."

Dan pagi itu kami ke pasar bersama, seolah tiada duka yang singgah dalam hidup kami sebelum ini. Namun yang tak sedapnya, dia menyuruh aku memandu sementara dia di sebelah, asyik membaca akhbar!

Posted by: sri / 12:13 AM

Wednesday, October 22, 2003

SIRI 10

Bila mata terbuka kulihat hitam delita disekeliling. Diri termanggu-manggu kebingungan. Entah apa yang telah berlaku, entah di mana diri berada. Hampir seminit aku begitu. Mencapai PDA di tepi meja dan oh jam 3:00 pagi rupanya. Masyaallah dari siang aku tertidur!. Aku telah terlepas satu temujanji dan kewajipan paling besar. Ya Allah aku telah tidak menemuiMu maghrib tadi. Kepala mula berdenyut-denyut. Adakah aku stress atau tension?. Masakan!… ini jam 3 pagi, baru bangkit dari tidurpun. Rasa-rasanya aku tidak bergaduh, bertengkar atau dikejar harimaupun dalam tidur tadi. Tetapi begitulah jasadku ini, kepala aku akan berdenyut pagaikan ditikam-tikam andainya jiwa tersiksa. Ya, jiwaku sedang tersiksa amat sekarang kerana telah terlepas dari mengerjakan suruhanNya. Mengapalah dia langsung tidak mengindahkan aku, malahan tidak bersamaku di sini. Mungkin dia sedang dibuai mimpi di bilik anak kami. Mungkin juga inilah balasannya kerana menolak suapan bingka ubinya siang tadi. Jika hanya kerana itu, akan ku campakkan ego ini jauh-jauh dan akan memujuknya semahunya seperti biasa nanti.

Ah apa-apapun terpaksalah Isya dahulu dan qadha maghrib yang telah tertinggal… Untuk menyedapkan hati dan meringankan jiwa dari rasa berdosa, aku pujuk hati dengan hadis yang lebih kurang bermaksud ‘sembahyang itu diwajibkan kepada yang sedar’. Jika tertidur, telah masuk dalam bab lupa dan wajiblah sembahyang setelah jaga. Mudah-mudahan Allah menerima taubat hambaNya.

posted by mba san 4:28 AM

Tuesday, October 21, 2003

APA ERTI KEMURUNGANNYA ITU? - SIRI 9

Dia banyak tidur akhir-akhir ini. Ya, sejak dua tahun kebelakangan. Malah migrainenya makin menjadi-jadi. Tidak dinafikan dia seperti lebih tua daripada usia sebenarnya.

Banyak artikel telah kubaca mengenai lelaki. Hari ini fikiranku mula menerawang satu persatu mengingat kembali apa yang telah kubaca.... Faktor usia dan masalah banyak mendorong pada berlakunya kemurungan dikalangan lelaki. Ramai lelaki yang memasuki fasa usia sebegini akan menghadapi sindrom kemurungan.

Itu yang kuperolehi daripada Doktor Ismail Thambi. Beliau ialah Specialist Reproductive Human Research Center at the National Population and Family Development Board in Malaysia

Apakah suamiku sedang bermasalah? Apakah ini menunjukkan tahap androgen dan testosteronnya mulai menurun? Seperti suatu perkhabaran duka, kukaitkan segala yang terjadi ini dengan simptom di depan mata; dia mudah tersinggung, suka menyendiri, selalu gelisah dan sukar untuk tidur.

Ah... aku masih muda. Dia juga harus ikut sama muda seperti aku. Tetapi dia selalu mengelak bila diajak berjogging bersama. Dia tak suka aktiviti luar. Terutama waktu panas. Dia tak suka badminton, tennis apalagi golf. Sebaliknya pc itulah yang dihadapnya. Sampai tengah malam atau kalau hujung minggu hingga subuh. Kemudian bila keletihan dia akan tidur... itu sahaja rutinnya.

Siang berganti malam, dan malam berganti siang... masa berlalu dengan pantas. Dan aku tak mahu menanti atau menoleh ke belakang. Ternyata, hadiah harijadiku untuknya tak bermakna langsung. Aku kembali sibuk dengan urusan kerja. Dan dia juga makin sibuk dengan intipan-intipannya terhadap segala aktiviti seharianku. Aku tahu itu, sengaja kubuat tak tahu...

Posted by: sri / 9:44 PM

Saturday, October 18, 2003

SIRI 8

Seharian di Melaka cukup menyeronokkan. Kadang-kadang jika dapat Dato’ Pengerusi yang sepadan begini, berbulan keluar jadi panel temudugapun tak mengapa. Berbagai perkara lucu dan banyak pengajaran yang ditimba dari Dato’ Razak ni. Kami berdua jadi serbasalah untuk tidak memilih calon-calon ke jawatan PSM ini oleh kerana semua yang datang temuduga adalah yang terbaik. Dari 70 senarai yang perlu ditemuduga, kuota kami ialah 4 orang sahaja yang boleh dipilih dan 4 lagi calon simpanan. Memang sengit persaingannya. Kami juga kurang mengerti apabila PSM dari sektor swasta yang bergaji US$5K dan DBA bank asing juga datang memohon jawatan ini dan sanggup menerima gaji yang ditawarkan. Mereka ini juga ini telah melepasi tahap kecemerlangan sesi temuduga. Namun keputusan Dato’ pengerusi ada logiknya dan ia suatu pelajaran baru buatku.

Sampai ke rumah ingatkan nak bersantai dengan membaca dan menjawab e-mel, mengintai blog dan ke eSastera. Namun kulihat Mercedes mata belalang milik syarikat tersadai di garaj. Setahu aku dia ke Genting, bersukaria dalam tugas di sana. Oh mungkin dia menaiki kereta ofis agaknya. Tetapi terkejut beruk aku apabila dapati dia berada di rumah dan tanpa bertanya apa-apa lantas menyuakan sesuatu ke mulutku. Apa lagi bertempiklah aku. Entah-entah dia ni dah buang tebiat, entah-entah ini sebenarnya bukan dia, tetapi sesuatu yang menyamar. Pelbagai perasangka buruk terlintas sepantas pemproses pentium xion dalam kotak fikiranku. Entah-entah dia nak bomohkan aku supaya.. ah entah apa-apalah aku ni.

Aku bungkam apabila dia berada di rumah bukan pada waktunya. Waktu-waktu begini aku perlukan sedikit privacy. Aku perlu membaca dan membalas mel yang barangkali banyak diterima hari ini. Juga komen dan catatan di blog perlu diteliti dan dijawab jika perlu. Ya aku sememangnya memerlukan sedikit privacy. Sebenarnya terlalu jarang suami seperti aku ini. Aku tetap pulang dan bermalam di rumah walau apapun terjadi. Di samping menjimatkan duit kerajaan yang tidak perlu membayar sewa hotel untukku di Melaka, aku juga menjimatkan rasa curiga isteriku, begitulah harapanku. Jika diikutkan hati, ingin saja aku beli beju berjenama atau sepatu baru ataupun PDA Treo 600 yang lengkap dengan kamera, telefon dan Palm untuk dihadiahkan kepada diriku sendiri sempena ulangtahun kelahiran bertuah ini. Akan kukatakan ada secret admire yang menghadiahkannya padaku. Tetapi aku masih lagi waras dan tidak perlu menyakitkan hati sesiapa walaupun Treo tu sangat-sangat kuidamkan.

Oleh kerana privacy agak terganggu, aku memilih untuk tidur sahaja untuk mententeramkan jiwa.

posted by mba san 6:58 PM

SAYANG SAYANG BUAH KEPAYANG - SIRI 7

"Eh, apa awak ni? Dah buang tebiat ya?"
Aku terperanjat. Tergamak dia kata aku dah buang tebiat! Apa maknaya bila dia kata sudah buang tebiat? Bukankah maknanya aku dah hendak mati? Dah nak mampuskah aku?

Hendaknya bila kusuapkan dia bingka ubi, alangkah gembiranya kalau dia kata begini sahaja... "eh, apa mimpi sayang ni? Teringat masa bulan madu dulu ke? Sayang mimpi apa malam tadi? Berjumpa putera raja dari kayangan ya? Sayang... sayang..."

Ah, suara kemanisan dan godaan asmara itu sudah tiada lagi. Itu belum lagi kupicit-picit kepalanya yang selalu migraine atau kuurut belikatnya yang selalu lenguh-lenguh. Kalau kulakukan itu, mesti dia yakin memang sah aku dah buat tebiat!

Sebenarnya telah kukotakan janjiku. Aku ambil cuti seminggu. Handphone kumatikan. Aku juga tidak memview blogku. Kumatikan talian faks di rumah. Kututup mataku daripada menyelak novel-novel kegemaranku. Ya, telah kulupakan Arenawati dan Samad Said. Kubuang ingatanku pada haiku, tanka, senyru dan rensaku. Kututup terus ingatanku pada damahum, pada tomohiko, cikgu hasimah, prof irwan, pak latip, madzaked, gravesdigger, nakhoda, effa dan semua rakan-rakan di komuniti esastera.

Sebenarnya itulah hadiah harijadi paling mahal untuknya.
Tetapi pengorbanan itu tidak bernilai di matanya.

Tiba-tiba ingatanku singgah pada Rudy... sihatkah si cahaya biru itu?
Ya. Aku terkenangkan Rudy. Paling akhir kami bertemu di Hotel Istana dalam majlis anjuran JICA. Dia yang suka ketawa. Ada satu e-mailnya yang belum kubalas.

Posted by: sri / 12:09 AM

Friday, October 17, 2003

LAGU ITU LAGU SENDU... - SIRI 6

Esok adalah hari yang paling bermakna bagiku. Tepat jam 12 malam ini, genaplah usiaku setengah abad. Syukur kepada Tuhan kerana memanjangkan usiaku dengan penuh kesejahteraan dan sihat walalafiat. Sesungguhnya aku terlalu jarang diserang sakit, selain daripada migren yang sekali-sekala menyerang. Rindu juga aku untuk bertemu doktor Daud yang menjadi doktor famili kami semenjak sekian lama. Bukan untuk mengambil ubat, tapi peluang bagiku berbual dan bertukar fikiran dengannya menganai PDA kami.

Aku terpacak di depan notebook ini menanti detik 12 malam bagaikan anak kecil menunggu kepulangan ibunya. Kejab-kejab menoleh ke sana, kejab lagi ke sini. Mungkin dia akan menyapa dan mengucapkan “selamat ulang tahun kelahiran yang ke ..� buatku. Bagiku biarlah dia orang yang pertama mengucapkannya. Namun penantian aku pada tahun ini adalah sama sahaja dengan tahun-tahun yang sebelumnya. Mungkin aku ini tidak ikhlas. Setiap kali aku memberikan hadiah pada ulangtahun kelahirannya, aku berharap dalam hati agar mendapat balasan sewajarnya pada hari kelahiranku pula. Namun hari yang bersejarah bagi hidupku ini tidak pernah diingati oleh keluarga sendiri. Oh… inilah balasannya sumbangan aku yang tidak ikhlas itu.

Sejam telah berlalu aku menyambut usia ke-50 dengan meriah sekali dengan segenap rakan-rakanku dari seluruh dunia. Ya, pada saat ini semua rakan-rakanku turut hadir secara maya untuk menyambut ulangtahun kelahiranku. Ingatan mengimbau ke Okinawa 10 tahun lalu, di mana sambutan secara besar-besaran diadakan untukku sempena ulangtahun kelahiranku yang pertama. Ya pertama! Kerana kata orang hidup lelaki bermula di usia empat puluh. Sebagai class leader, aku diraikan semahunya oleh semua ahli dan juga sensei. Namun aku bataskan supaya parti itu hanya dalam kelas sahaja dan tidak terbawa-bawa ke bilik hostel, shukudo atau club di sebelah malam nanti. Lebih baik berhati-hati sebelum terlanjur. Maklumlah di negara metahari terbit ini tiada pantang larangnya.
Di depan notebook ini, ucapan selamat ulangtahun kelahiran dan salam rindu bertalu-talu datangnya dari Lidia dari Chile, Adrian dari Argentina dan Jose dari Peru. Mereka sedang rehat makan tengahari di pejabat masing-masing rupa-rupanya. Si Yamamoto dari Tokyo, Julio dari Manila, Fang dari Beijing dan Opan dari Jakarta juga tidak ketinggalan. Seperti biasa aku jangka esok atau lusa sampailah kad ucapan dari Iqbal dari Pakistan dan Masele dari Tunisia yang masih tidak mempunyai hubungan Internet. Rakan-rakan dari Malaysia pula bertalu-talu mengucapkan selamat melalui SMS. Meriah juga begini dan masih ramai juga insan yang mengingati tarikh keramat ini, kecuali dari keluarga sendiri. Mungkin mereka sengaja ingin mendera aku begini. Alhamdulillah. Namun di tahun hadapan sekiranya masih ada umur, akan kuhadiahkan lagi sesuatu pada hari kelahirannya. Mungkin kali ini, apa yang kuharapkan hanyalah dia tidak lupa untuk menghadiahkan aku al-Fatihah setelah aku tiada lagi di dunia ini. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini aku selalu mengingati mati.


Besok pagi-pagi selepas subuh, akau akan terus memecut ke Melaka untuk proses temuduga pengambilan jawatan pegawai sistem maklumat. Kerja ini walaupun tidak dibayar sebarang imbuhan, namun ia membawa banyak faedahnya untuk perkembangan kerjaya skim ini. Walau bagaimanapun kata putus pengambilan adalah tertakluk kepada pengerusi yang merupakan ahli SPA. Untung juga tidak ke pejabat pada hari keramat ini, jika tidak sudah tentu pelbagai usikan yang menikam kalbu datang bertalu-talu dari anak buah di pejabat.

Entah berapa kali lagi aku berpeluang mendengar dan mendendangkan lagu sendu ini...

posted by mba san 12:23 AM

Thursday, October 16, 2003

JANGAN NYANYIKAN LAGU ITU ... - SIRI 5

ENTAHLAH apa silapnya malam tadi. Aku yang terlelap atau dia yang memang tak mengharap apa-apa daripadaku. Dia kata migraine. Tapi hairannya dia masih boleh duduk berjam-jam mengadap komputer.

Sampai aku masuk bilik tidur, aku lihat bilik kerja kami masih terang benderang. Alat hawa dingin masih terpasang. Entah ke hujung dunia mana dia rayau. Aku berani bertaruh. Dia mesti ke site negara matahari terbit itu. Dia mesti sedang berseronok-seronok dengan kawan-kawannya. Kala itu apakah aku masih berada dalam sanubarinya?

GENTING Highlands – Awal pagi tadi, aku menggesek mata. Kutoleh ke kanan. Dia sudah tiada. Malam tadi dia tidur agak lewat tapi pagi ini awal-awal lagi sudah hilang. Bukan dia tak tahu aku akan mendaki jalan berliku lebih 200km pagi ini. Dia sudah kuberitahu sejak tiga hari lepas. Sudahkah dia meninggalkan ciuman sayangnya ke pipiku?

Tatkala ingin mengenakan tudung, sekeping kertas A4 jatuh dari meja solek. Oh... kubaca talian hayatnya itu. Nampaknya dia masih lagi sarat dengan perasaan. Dia masih lagi membisikkan kata-kata pesimis. Ah, dia benar-benar sedang mengemis. Mengemis secebis hatiku. Tetapi sedarkan dia malam tadi akulah si pengemis yang kedinginan. Akulah si pengemis yang mengharapkan kunjungannya.

Kalau betullah dia cemburu pada kerjayaku. Atau dia jaki dengan kesibukanku... esok akan kuhantar borang cuti. Akan kumohon cuti seminggu.

Aku akan mengadap dia seorang. Aku akan hantar dia ke pejabat dan mengambil dia pulang. Aku akan suapkan makanan ke mulutnya. Aku akan mandikan dia. Aku akan picit dan urut kepalanya. Aku akan berkepit sahaja dengannya, terutama menemaninya menekan-nekan papan kekunci komputer, menerjah ke negara mana dia pergi berjumpa kawan-kawannya.

Meluat. Biar dia meluat. Dan semoga dia tahu, aku juga meluat hendak melakukan semua itu. Tetapi lagu itulah yang selalu dia dendangkan di telingaku....

Posted by: sri / 9:34 PM

JANGANLAH TIDUR SENDIRIAN - SIRI 4

Sayangku,
Abang tahu yang sayang ialah anak seorang ustaz sedangkan abang ini dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang pincang dan serba kekurangan. Namun latarbelakang masa silam tidak usah kita ungkitkan. Jadi usahlah diungkitkan pasal arwah nenekku yang hobinya mencabut uban di tangga itu. Dia juga wanita berkerjaya sebenarfnya, seorang petani yang gigih menggunakan tulang empat keratnya untuk membesarkan orangtuaku.

Abang mahu biarlah kita sehidup semati dan sama-sama ke syurga nanti. Memang sayang adalah superwoman, memang abang sangat bertuah memiliki sayang. Namun dalam banyak hal, abang merasakan yang sayang lebih mementingkan kerjaya berbanding dari rumah tangga. Abang tidak perlu bersyarah panjang kerana migren abang ini sudah sampai ke puncaknya agaknya. Sebelum apa-apa terjadi kepada abang, abang hanya ingin mengingatkan sayang hanya dua buah hadis sahaja yang abang ingat-ingat lupa.

Pertama, tidak akan diampunkan dosa seseorang isteri yang membiarkan suaminya tidur dalam kemurkaannya sepanjang malam dan yang kedua adalah haram bagi seseorang Muslim memutuskan tali persaudaraan dengan saudaranya yang Muslim lebih daripada tiga hari. Cukuplah sekadar itu sayang. Semoga rasa amarah sayang tidak akan menakluki intelektual sayang yang tinggi itu.

Oh ya, sebelum abang terlena lagi, abang teringatkan satu lagi hadis. Jika si suami berhajatkan isterinya hatta ketika berada di belakang kuda sekalipun, maka adalah wajar bagi si isteri untuk memenuhinya. Abang bukan memerlukan sayang di kandang kuda!, Di sini sayang, ditepian tilam empuk ini. Abang Cuma mahukan sayang memicit kepala abang yang sakit dan hati abang yang bengkak ini. Selamat malam sayang. Abang tidur dulu dan semoga dapat berjumpa bidadari dalam mimpi yang boleh melegakan penyakit abang ini. Assalamualaikum.

posted by mba san 12:15 AM

Wednesday, October 15, 2003

AKU RELA TIDUR SENDIRI... - SIRI 3

Sudah banyak kali kami berkompromi. Aku bukanlah seorang isteri tipikal seperti zaman neneknya Aku bukan seperti kakak dia atau makcik dia. Aku juga bukan seperti emak saudaranya Pah Bedah, yang saban hari asyik mengulit huma. Dan waktu petangnya pula ajak ipar duai duduk di beranda. Berderet di tangga mencari kutu.

Aku wanita kerjaya. Aku ada tanggungjawab atas segala amanah yang dipertanggungajwabkan ke pundakku. Aku dibayar gaji tinggi untuk berkhidmat dengan cemerlang. Aku dituntut mengawasi kepentingan syarikat. Aku wajib mengenalpasti potensi diri staf bawahan. Setiap masa. Setiap ketika.

Siang sama ada di pejabat atau bertugas di luar pejabat ataupun bertugas di luar daerah, hatta ke luar negara, panggilan telefon untuknya tidak pernah kuabai. Sebelum itu kupastikan akan keluar dari rumah dengan segala keperluan dirinya dan anak-anak tidak terabai.

Atas dasar inilah dia mengahwiniku dulu. Sejak hari pertama berdating dan setahun kemudian kami mula tidur sekatil… dia sudah tahu aku bukan dikahwini untuk duduk di rumah sahaja, melayan suami, menjaga rumah dan membesarkan anak-anak. Dia akur…. Dia terima ketetapan itu. Noktah!

Jika dulu dia akur, kenapa sekarang mula rasa tak senang? Jika dulu dia boleh berdikari, kenapa sekarang tidak boleh berdikari lagi? Aku masih tidak berubah, aku tetap aku yang dulu. Dia yang berubah… dia yang mula mengira semuanya sehalus-halusnya. Kita kian berusia, sepatutnya kita makin memahami satu sama lain. Tapi rupanya dia semakin kurang memahami hati isterinya ini.

Jika dia ingin dimanja, aku pun ingin dimanja. Tetapi pernahkah dia memanjakan aku? Dia tak pernah tanya pening letihku. Dia tak pernah tanya pasal perkara-perkara asas keperluan rumah. Semua itu kuurus sendiri. Hinggakan kepala paip longgar pun aku yang betulkan. Jika lampu rosakpun, aku yang panjat tangga, tukarkan. Hinggakan menukar bola dalam tangki air pun aku yang kerjakan.

Memang dia sengaja mengambil kesempatan!
Ya, akulah superwomen. Dia harus rasa bertuah kerana memilih aku menjadi isterinya. Biarlah… biarlah seminggu dua ini kami make dono. Biar dia muhasabah dirinya… biar dia melayan migrainenya dan aku rela tidur sendirian… masuk malam ini sudah tiga hari aku tidur ditemani bantal peluk!

Posted by: sri / 11:16 PM

SIRI 2

JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI

Ini adalah jawapan spontan kepada petikan novel Sri Diah. Ia dari kacamata lelaki pulak ... :-).
Tiada kena mengena dengan sesiapa, samada masih hidup atau sudah tiada ... :-(

Jika diteruskan perang, rasanya yang kalah jadi abu yang menang jadi arang. Lebih baik diadakan gencatan senjata saja.

Sebenarnya aku cukup juak untuk pulang ke rumah. Sikapnya sejak akhir-akhir ini membuatkan seolah-olah aku bukanlah CEO di rumah. Kepulangan aku ke rumah sepatutnya disambut dan dihormati sebagai seorang suami, seorang sahabat, seorang teman. Namun dia yang sudah lama bertindak sebagai CFO di rumah nampaknya lebih mengutamakan pejabat dan orang-orang pejabat berbanding dengan rumah dan orang-orang dalam rumah ini.

Sebagai isteri yang bekerja, suami tidaklah mengharapkan makanan terhidang-saji. Suami boleh mengaut sendiri dari periuk di dapur jika ianya sudah bermasak. Jika sesibuk ini di rumah hinggakan tidak mahulagi memasak, apalah gunanya dibeli beras dan dapur yang mahal jika sekadar untuk makan nasi bungkus.

Sesekali pulang dengan keletihan dan migren yang menyerang, perlukan belas ihsan. Jika kita minta dipicit dan diurut, bukanlah alasan sibuk, tidak pandai memicit, takut tangan kasar atau telan saja panadol yang mahu didengar suami. Ini menambahkan lagi sengsara yang ada.

Dah tahu kita berpenyakit darah tinggi, hendak dihidangkan pula dengan ikan masin?. Agaknya dia memang ingin sangat menyuruh aku pergi cepat. Sudah ada bakal bapa kepada anak-anakku kah?.

Suami sekarang tidak perlu dimanjakan hinggakan perlu dimadikan oleh isteri. Usahlah terpengaruh dengan filem Jepun atau Korea yang menjadi teman setiamu setiap petang hingga melupkan tugas sebenar di alam nyata.

Suamimu ini bukanlah robot bernyawa yang bisa kau programkan dengan menekan papan kekunci yang sering kau lakukan hingga menjelang subuh dengan alasan terlalu sibuk. Dan suami ini tidurlah sendirian saban malam bertemankan alasan isteri yang keletihan, sibuk, sakit perut, tiada mood dan tidak mahu membasahkan rambut.

Jadi wajarlah rasanya gencatan senjata kita ini dikuatkuasakan segera.

Saturday, October 11, 2003

SIRI 1

PERANG dingin ini bilakah akan berakhir? Suami pergi kerja macam orang hilang akal. Dia balik ke rumah pun macam orang hilang akal!
"Saya penat. Saya letih...!"
"Bang, mari saya picitkan"
"Ah, tak payahlah. Awak picit kuat sangat, sakit-sakit badan saya...!"
"Habis tu, abang nak kopi"
"Ah, tak mahu, kopi awak pahit!"
Kalau kopi pahit... mintalah milo atau teh... Tapi kenapa tak mahu minta apa-apa?
"Abang nak makan? Saya siapkan..."
"Makan? tak payahlah. Saya belum nak makan."
"Saya goreng ikan masin, nak?"
"Ikan masin? Ikan masin awak masin!"
"Abang nak mandi? Saya siapkan air suam"
"Dah. Saya dah mandi!"
Oh Tuhan... ke manakan kemanisan yang selama ini menjadi milikku?

* Ini adalah antara sedutan dalam novel JANGAN ADA DUSTA. Masih dalam peringkat editing. Ramai bertanya kenapa saya membuat novel tentang orang perempuan sahaja?.... jawapannya, sebab saya perempuan :-)

Posted by: sri / 11:39 AM

Friday, October 10, 2003

PENGENALAN

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum wbt...

Sebuah novel biasanya ditulis oleh seorang pengarang sahaja. Semua watak yang terdapat dalam sesebuah novel adalah hasil kreativiti pengarang tersebut. Pengarang boleh menggunakan orang ketiga sebagai pencerita watak ataupun bertindak sebagai pemegang watak sendiri. Namun dalam JAD ia adalah suatu kelainan. Setiap watak dikarang oleh penulis yang berlainan dan menceritakan mengenai watak sendiri dalam certia atau situasi tersebut.

Pada asalnya MBA secara suka-suka mengacah Sri Diah untuk berduet dalam menghasilkan sebuah novel. Pelawaan ini boleh menjadi jika MBA bersungguh-sungguh ataupun memang ada satu plot cerita yang menarik. Namun tanpa dirancang, Sri Diah telah menulis petikan satu babak dari novel terbarunya "Jangan Ada Dusta" dalam blognya. Ia menceritakan bagi pihak wanita. Lantas MBA pula menulis dalam blognya "Jangan Ada Dusta Versi Lelaki" yang menceritakan dari perspektif lelaki pula. Semenjak dari itu kami saling balas-membalas versi.

Akhirnya satu blog khusus untuk JAD diwujudkan. Secara tidak sengaja MBA memberitahu JAD bermakna Jangan Ada Dendam kepada teman komuniti Haiku dan dari situ bermulalah nama JAD menjadi Jangan Ada Dendam.

Rudy pula datang untuk menulis sebagai Along, aida sebagai eyes dan Souraya dan Ibnu Ariff sebagai Angah.

Bagaimana penyelarasan dibuat?. Biasanya setiap penulis menulis apa sahaja watak mereka atau menjawab persoalan terdahulu yang dikemukakan oleh penulis sebelumnya. Cuma kadang-kadang seorang berdua dari kami ada juga berunding melalui Internet bagi mencari kata sepakat ataupun ingin mengagah penulis lain.

Sekian adanya.


| penyumbang |


Sri Diah
mba
Rudy Bluehikari

Kami Member GEJU


Bantuan Teknikal: cnma
JAD Versi Palm oleh: Ibnu Arif


Download Palm Reader(versi Palm, PPC, PC, Mac)
Download JAD dlm format pdf


kemaskini blog

eNOVEL Jangan Ada Dendam
Berapa Kerap JAD Perlu Dikemaskini?

Setiap Hari
2-3 kali seminggu
seminggu sekali
sekali-sekala

 | arkib |


Pengenalan

Siri 1   -   Siri 2   
Siri 3   -   Siri 4   
Siri 5   -   Siri 6   
Siri 7   -   Siri 8   
Siri 9   -   Siri 10  

Siri 11  -   Siri 12  
Siri 13  -   Siri 14  
Siri 15  -   Siri 16  
Siri 17  -   Siri 18  
Siri 19  -   Siri 20  

Siri 21  -   Siri 22  
Siri 23  -   Siri 24  
Siri 25  -   Siri 26  
Siri 27  -   Siri 28  
Siri 29  -   Siri 30  

Siri 31  -   Siri 32  
Siri 33  -   Siri 34  
Siri 35  -   Siri 36  
Siri 37  -   Siri 38  
Siri 39  -   Siri 40  

Siri 41  -   Siri 42  
Siri 43  -   Siri 44  
Siri 45  -   Siri 46  
Siri 47  -   Siri 48  
Siri 49  -   Siri 50  

Siri 51  -   Siri 52  
Siri 53  -   Siri 54  
Siri 55  -   Siri 56  
Siri 57  -   Siri 58  
Siri 59  -   Siri 60  

Siri 61  -   Siri 62  
Siri 63  -   Siri 64  
Siri 65  -   Siri 66  
Siri 67  -   Siri 68  
Siri 69  -   Siri 70  

Siri 71  -   Siri 72  
Siri 73  -   Siri 74  
Siri 75  -   Siri 76  
Siri 77  -   Siri 78  
Siri 79  -   Siri 80  

Siri 81  -   Siri 82  
Siri 83  -   Siri 84  
Siri 85  -   Siri 86  
Siri 87  -   Siri 88  
Siri 89  -   Siri 90  

October 2003
November 2003
December 2003
January 2004
February 2004
March 2004
April 2004
May 2004
August 2004
October 2004
April 2005
May 2005
August 2006

| buku tetamu |

Visit my Guestbook!

| penafian |

semua tulisan di sini adalah rekaan penulis semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa, samada masih hidup atau telah meninggal. Jika ada persamaan ia hanyalah kebetulan sahaja.

| tagboard |

Powered by TagBoard
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Your E-mail: