Wednesday, December 31, 2003

WAJAH DUA WANITA - SIRI 60

Siri ini hasil nukilan Ibnu Ariff dan telah diedit oleh Sri Diah

ALONG masih lagi belum balik dari Jepun. Aku tidak mendapat sebarang petunjuk kenapa dia begitu lama berpergian. Achik pula duduk bersama Tok Ki dan Tok Wan di kampung bersama sepupu-sepupuku yang lain.

Bosan bersendirian di rumah aku mengambil keputusan mengikut abah yang kebetulan dihantar berkursus di Kuantan. Di masa yang sama emak pula ditugaskan mengendalikan satu bengkel anjuran tempatnya bekerja di Kemaman, Terengganu. Oleh itu kami bertiga berkereta ke pantai timur. Selepas daftar masuk di hotel, emak meneruskan perjalanan ke Kemaman. Aku pula mengambil kesempatan itu untuk bersantai sahaja di bilik hotel.

Tanpa disangka, petaka itu datang tiba-tiba. Suara perempuan yang menerobos ke telingaku terdengar asing sekali. Siapa? Dia memperkenalkan dirinya sebagai Cik Siti Noor Eyes, kawan satu kursus dengan abah. Katanya abah diserang migrain yang teruk ketika di bilik persidangan dan ketika itu abah terlantar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

MasyaALLAH! Aku mahu segera berada di sisi abah... tetapi Cik Siti Noor Eyes pula tidak boleh mengambilku di hotel. Katanya dia harus menguruskan hal abah dulu. Malangnya bandar Kuantan asing bagiku dan sukar untukku mencari jalan ke hospital. Kucapai telefon dan meminta bantuan rakan blogku yang memang tahu aku berada di Kuantan ketika itu.

"Assalamualaikum Firdaus, aku perlu ke HTAA. Abah aku masuk wad, macam
mana aku nak ke sana?" Terus sahaja aku menyatakan kesulitan yang sedang membelengu diri. Wajah abah yang berpeluh-peluh terbayang-bayang di mata.

"Waalakumussalam. Bertenang dulu, hang jangan dok kalut. Kau di hotel
mana ni?"

"Aku di Vistana, Jalan Teluk Sisek."

"Macam ni, aku telefonkan teksi Hj. Ngah. Dia kawan baik ayah aku.
Tunggu sahaja di lobi hotel."

"Terima kasih banyak, aku tak tahu apa nak buat kalau kau tak tolong."

"Hal kecil je ni. Oh, aku memang ada di hospital. Kita jumpa sekejap lagi.
Wassalam."

Talian dimatikan, aku bergegas turun ke lobi. Sempat juga aku menyambar charger Treo 600 abah, manalah tahu diperlukan nanti. Tak sampai 10 minit teksi yang dimaksudkan sampai. Pemandunya agak berumur, melebihi setengah abad tetapi dia nampaknya boleh dipercayai, tidak seperti sesetengah pemandu teksi yang liar sahaja matanya. Tapi aku masih
sangsi, betulkah ini orangnya

"Anak ni kawan Firdaus?"

Aku sekadar mengangguk mengiyakan.

"Kalau gitu cepat naik teksi pokcik. Gi hospital kan?"

"Ha'ah. Abah masuk wad." Aku mengikut sahaja dia ke teksinya. Kuperhati sekilas platnya - CAW 8088, sama dengan nombor plat yang dihantar Firdaus melalui SMS. Jadi aku tak perlu risau lagi. Hj. Ngah bertanya aku macam-macam sepanjang perjalanan ke hospital. Tapi satu pun aku tak jawab. Manakan tidak, aku langsung tak faham loghat Terengganu yang digunakannya.

Sampai sahaja di hospital, aku membuka dompet untuk membayar tambang tetapi dia menolak. Dia mahu aku segera melawat abah. Sampai sahaja di
lobi lif, aku terkejut melihat betapa ramai orang membanjiri lobi lif itu. Aku lihat jam di tangan, 4:30 petang. Patutlah sesak, waktu melawat baru bermula.

Dalam kekalutan itu kuterima SMS dari Cik Siti Noor Eyes, katanya wad Abah di tingkat 8, Wad Orkid. Segera aku forwardkan SMS itu pada Firdaus. Kemudian tiba-tiba kurasa namaku dipanggil. Kutoleh, Firdaus rupanya, dia berdiri di hadapan pintu Jabatan Pengimejaan Diagnostik (X-Ray). "Ikut sini, shortcut ke wad." Aku yang cemas mengikut sahaja dia memasuki pintu tadi. Notis 'Kakitangan Sahaja' terpampang di luar pintu.

Ah, peduli apa aku. Buka sahaja pintu itu, angin sejuk segera membaluti tubuhku. Kulihat termometer di dinding, 18 darjah celsius! Katanya, air-cond dipasang sekuat mungkin untuk memastikan mesin-mesin pengimejaan berfungsi dengan baik. Patutlah dia memakai jaket. Tentu sekali dia dah sedia maklum, bukankah emaknya ketua jabatan itu. Kami cepat-cepat sahaja melalui jabatan itu dan keluar melalui pintu belakang. Rupa-rupanya ada lif kakitangan di belakang.

Kami masuk dalam lif bersama-sama beberapa atendan dan jururawat.
Mereka hairan melihatkan kami, tapi tidak pula mereka bertanya apa-apa. Aku
terus sahaja menekan aras lapan. Atendan dan jururawat itu pula keluar
di aras empat dan lima. Keluar sahaja dari lif, selamba sahaja dia
membawa aku melalui koridor Wad di-Raja terus sahaja ke lobi lif. Kemudian
terus ke wad abah ditempatkan.

Aku menjenguk-jenguk mencari di mana katil abah. Puas mencari, akhirnya
ketemu juga. Tapi aku tergamam melihat seorang wanita tengah sibuk menyuapkan abah minum petang. Siapakah wanita itu? Masa abah migrain di rumah, mak nak tolong bagi ubat pun dia tak mahu. Dengan wanita lain boleh pula! Hatiku berbunga curiga.

Akhirnya kuketahui dialah Cik Siti Nor Eyes. Dia kelihatan ramah tetapi aku melayannya agak dingin. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi tapak kaki; bunyi tapak kaki yang biasa kudengar. Kupasti siapa gerangannya tapi kuharap sangkaanku salah. Aku berdoa itu bukan orangnya. Jantungku berdegup kencang. Aku tak mahu konflik meletus.

Aku terpempan! Memang mak yang datang! Segera kupergi ke sisi mak yang berdiri mencekak pinggang. Dan aku dapat melihat api amarah dalam mata mak. Muka mak berona merah. Abah tergaman. Cik Siti Noor Eyes terkesima hingga terlepas sudu dari jari-jemarinya.

Firdaus pula terpinga-pinga, tak tahu apa dah berlaku. Dalam tergamam itu aku ternampak si dia di sudut sana, dia yang pernah mengecewakan hatiku. Juga melawat abahnya. Kenapa dia juga harus berada di sini? Oh Tuhan, teguhkan hati hambaMu ini!


Tuesday, December 30, 2003

CEMBURU TANDA SAYANG - SIRI 59

LINANGAN air mata dan esakan Nori melembutkan hatiku untuk terus bersimpati dengan staf wanita yang aku hormati ini. "Saya sudah nekad untuk meminta cerai encik", ujarnya menahan sebak. "Saya cukup kecewa bila nasi yang saya masak tida disentuhnya, air yang saya bancuh tidak teguk dan seolah-olah saya tidak wujud saja di rumah. Inilah saya datang untuk meminta nasihat encik, kerana saya tahu encik memang kenal dengan suami saya. Mungkin encik dapat membantu".

"Beginilah Nori, awak seorang yang bertuah dalam banyak perkara, mempunyai keluarga yanb bahagia. Saya anggap segala permasalahan adalah bersifat sementara sahaja. Ubat yang paling mujarab ialah bersabar. Jangan terlintas langsung pasal cerai. Ia adalah seburuk-buruk perkara halal di sisi Allah. Lagipun talak adalah di tangan suami, jangan meminta. Jangan cabar ego suami. Buatlah seperti biasa sahaja. Saya kenal benar dengan suami awak, dia tidak mempunyai apa-apa masalah, dia tidak ada wanita lain, cuma dia sedikit tertekan sekarang. Sebagai seorang guru, dia hanya di sekolah di sebelah pagi, sedangkan awak seharian di pejabat. Dia sudah jadi serba salah sebenarnya, samada dia patut memasak dan menguruskan rumah atau menjadi bos sahaja sekembalinya dari sekolah. Saya yakin ia hanya bersifat sementara dan akan pulih nanti. Atau mungkin juga elok bagi dia untuk bertukar tempat kerja, di kementerian misalnya".

Tiba-tiba Nori yang sebelumnya membahasakan diri ku dengan encik, telah memanggil ku dengan abang.

"Lepas ni saya nak abang pegang tangan saya bila berjalan. Saya juga nak abang selalu call atau sms ataupun kita online bila saya di pejabat. Barulah saya rasa disayangi, barulah saya rasa yang saya dihargai...."

"Nori !... "
"Abang, siapa Nori?, siapa bang!?"

Sergahan ini benar-benar memeranjatkan dan menyedarkan aku dari lamunan, apatah lagi bila memandang isteri di sisi. Oh aku di Sogo rupa-rupanya, bertemankan mi sup dan air tembikai yang berkongsi.

Demi untuk mengembalikan keyakinan diri, aku lantas teringat akan Irwan sebagai senjata untuk berselindung "Abang cemburu Ayang dengan Irwan".

Selepas itu antara dengar dengan tidak sahaja dialog-dialog yang dilontarkan hinggalah kami meninggalkan kompleks Sogo dengan perasaan masing-masing.

Friday, December 26, 2003

CEMBURU MENGHANTUI - SIRI 58

MEMULAKAN kerja dalam keadaan pejabat agak lengang membuatkan suasana amat sunyi. Tidak ada riuh suara pegawai. Bunyi telefon sahaja yang memekik di sana sini memecah keheningan. Suasana berjalan agak lembab. Aku pula amat membenci kesunyian. Kesunyian bagiku bagai membunuh daya kreativitiku.

Maklumlah hujung tahun begini, ramai yang mengambil cuti panjang. Termasuklah bosku. Khabarnya dia ke Tokyo membawa keluarga makan angin. Bersendiri di bilik ini aku menjadi sekerdil-kerdil bos. Pegawai kananku bercuti hampir 20 orang daripada 28 semuanya. Malah pegawai penyelidik, pegawai hrd, pegawai pemasaran hinggakan pemandu... kebanyakannya bercuti.

Dalam ketenangan ini aku membelek diri - apakah aku ketua yang baik atau aku ketua yang tidak pandai mengagih tugas... rasanya yang pertama itu adalah peribadiku yang sebenar. Kubenarkan mereka bercuti untuk bersama keluarga. Biar mereka memupuk kemesraan, mengeratkan silaturahim. Ini bermakna daripada rohani pegawai yang luhurlah akan kumiliki jiwa pegawai yang berinovasi.

Sedang aku? Kemesraan itu sudah lama kering tanpa disirami air kasih. Keintiman itu bak kelopak yang mulai layu menanti masa untuk kering... kebahagiaan itu, kian pudar dan menanti masa untuk terus malap. Apakah cahaya itu akan padam? Oh tidak! Aku tak akan biarkan ia sirna. Apalagi dalam meniti usia tua, terutama di saat anak-anak kian dewasa. Alasanku; walau aku tidak fikirkan perasaan dan diri sendiri, sekurangnya kufikirkan masa depan anak-anak.

"Abang, kita kena selalu begini. Duduk bersama, makan bersama, berdua-dua." Kataku perlahan apabila aku akhirnya berjaya mengajaknya mengambil cuti kecemasan setengah hari pada hari itu. Kami berduaan di ruang bawah kompleks Beli Belah Sogo, sambil menghirup mi sup dan berkongsi jus tembikai.
"Ya, macam dulu-dulu. Tapi Ayang selalu sibuk."
"Lepas ni saya nak abang pegang tangan saya bila berjalan. Saya juga nak abang selalu call atau sms ataupun kita online bila saya di pejabat. Barulah saya rasa disayangi, barulah saya rasa yang saya dihargai..." kataku, jujur.
Habis lepas segala yang terbuku di hati kuhuraikan bersamanya. Detik itu bak pertemuan sepasang kekasih yang terpisah lama dan tak ingin berpisah lagi... berakad untuk saling menghormati, menghargai dan berjanji hanya mati yang akan memisahkan kami.
"Abang cemburu Ayang dengan Irwan." Kata suamiku datar. Aku terkejut.
"Abang, kami rakan sekerja. Tak ada affair."
"Ayang macam utamakan dia daripada abang."
"Bohong. Itu fitnah!" Aku hampir menjerit. "Kalau saya utamakan dia, saya tak ada di sisi abang sekarang. Kalau tuduhan abang tu betul, mungkin saya juga jarang lekat di rumah. Tapi..." Aku cuba membela diri.
"Eh, abang bukan tuduh!" Terdengar suaranya akan tinggi.
"Oh, abang prejudis terhadap saya.... MasyaALLAH!"

Mi sup yang kutelan terasa pahit tiba-tiba.
Jus tembikai yang kuhirup juga terasa tawar tiba-tiba!



Wednesday, December 24, 2003

ALONG, ABAH, & MAK - SIRI 57

* (sepertimana yang diceritakan oleh ANGAH (Azra) kepada Ibnu Ariff)

Mungkin aku terlalu banyak masa terluang sekarang, maklumlah lepas SPM oleh
itu mudah sangat masalah Along, Abah dan Mak menerjah masuk dalam mindaku
ini. Sebenarnya aku tidak begitu mengenali hati budi Along, apa minatnya,
dan siapa pula yang istimewa di hatinya. Mana tidaknya, Along meninggalkan
rumah sejak aku mula menduduki bangku sekolah, waktu aku masih belum pandai
menilai seseorang. Belum mumaiyiz pun lagi.

Sejak Along memasuki SBP di Tingkatan Empat dan seterusnya menyambung
pelajaran ke Jepun, kami jarang bersua muka. Along balik sekali-sekala
sahaja dan ada masanya semasa dia balik sebentar aku pula tiada di rumah.
Maklumlah, pelajar teraktif di sekolah katakan dan aku diberikan penghargaan
sewajarnya. Jarak umur antara aku dengan Along yang terlalu jauh membuatkan
kami agak kekok untuk berbual mesra. Ada kawan-kawan aku yang bertanya, "Itu
abang kau ke pakcik kau?". Aku tak salahkan kawan-kawanku, Pak Usu pun tua
setahun dua sahaja dari Along.

Namun begitu aku bertuah sebab Along seorang yang baik hati dan amat
memahami serta mengambil berat. Biar pun kami nampak jauh tapi dekat di hati
sebenarnya. Pernah sekali aku kecewa dalam dunia cinta monyet, Along juga
yang mengubat hatiku dan buat aku bangkit semula. Ketika itu Abah & Mak
menunaikan haji, tanpa Along mungkin sasau aku jadinya dan tak mungkin aku
bersemangat menempuh SPM. Kini aku tiada teman istimewa, Abah pun tak berapa
suka aku bercinta. Cuma ada seorang yang lebih dekat di hatiku berbanding
lelaki yang lain.

Aku tak pernah meminta Along membeli itu ini di negara matahari terbit itu,
tetapi dia membelikan aku cd muzik Glay, barang-barang dari Studio Gibli,
hasil kraftangan dan komik manga. Aku menerima barang-barang itu melalui
pos, kadang-kadang sanggup dia menghantar mahal-mahal melalui FedEx agar
hadiah sampai di hari jadiku. Agaknya dia tahu adiknya ini sangat berminat
dengan apa-apa yang datang daripada Jepun melihatkan koleksi komik Manga aku
dan juga lukisan ala Manga yang kulukis sendiri. Aku juga mempunyai banyak
koleksi setem dari sana, sumbangan Along dan juga Kak Nahoko.

Sebut pasal Kak Nahoko, aku risau tentang Along sebenarnya. Mereka memang
padan, Kak Nahoko juga memang baik dan aku memang suka kalau dia menjadi
kakak ipar aku. Ah, ironinya aku begitu suka seorang wanita bangsa penjajah
yang pernah menghambat nenek moyangku menjadi ahli keluargaku! Tapi Along
patuh kata-kata ibu, aku ingat lagi kejadian beberapa tahun dahulu semasa
Kak Nahoko bertandang ke rumah. Ketika Along perkenalkan dia dengan Mak, Mak
terus tarik Along ke dapur. Mak kata dia tak suka kalau Along berniat untuk
menjadikan Wanita Asing itu sebagai menantunya!

Sejak peristiwa itu, kulihat Along dalam keresahan. Akhirnya ku dapat tahu
juga dia memutuskan hubungan kasihnya dengan Kak Nahoko apabila Kak Nahoko
menghantar email padaku bertanya adakah Along ada sebarang masalah atau dia
sudah ada yang lain. Aku jawab aku tak tahu, takut tersalah susun kata nanti
buruk padahnya! Along patuh pada Mak dan Abah tapi dia degil juga
sebenarnya. Makan juga dia makanan pedas banyak-banyak walaupun ditegah
keras oleh doktor, mak pun geleng kepala dibuatnya. Teringat dulu-dulu,
Along acapkali sengaja menghabiskan simpanan gula-gula kegemaranku di dalam
peti walaupun sudah berulang kali diberi amaran oleh Mak.Yang paling aku
geram sekali, dia suka menutup lampu bilik air ketika aku berada dalam bilik
air. Bila keadaan tiba-tiba menjadi gelap, aku pun menjerit-jerit la.
Kemudian disebabkan pasal itu la, aku kena didenda sekali oleh Abah.

Kini Along di Jepun, menghadiri perkahwinan Nahoko. Banyak juga duit si
Along ni, agaknya dia suka menyimpan. Duduk bersama keluarga tentu sekali
tak banyak belanja. Harapnya Along mampu mengubat luka di hatinya, Abah kata
semasa Along menjemputnya di KLIA ada seorang wanita ikut bersama, Hasimah
namanya. Tapi masalah Along tidak membimbangkan aku sangat, Abah dan Mak
yang aku risaukan sangat! Akhir-akhir ini, Abah dan Mak nampak tidak semesra
dulu. Abah pulang awal terus menghadap PC sehingga larut malam. Berhentinya
hanya untuk solat dan makan. Aku tahu Abah online sehingga larut malam,
rakan blogku Firdaus katanya selalu berborak dengan Abahku tengah-tengah
malam.

Mungkin sebab itu Mak naik bosan, sehingga dia stress. Masa raya pun mak
terbaring pening di bilik bujang Abah dahulu. Aku kasihan dengan Mak, dia
penat dengan kesibukan kerjanya tapi Abah buat macam tak reti nak tolong.
Mungkin aku harus mula belajar memasak, sekurang-kurangnya ringan sikit
tugas Mak. Bagus juga, nanti tiadalah Abah membebel lagi anak daranya ini
tak reti masak!

Tuesday, December 23, 2003

LANGIT BERSINAR, HUJAN DI BUMI - SIRI 56

KUALA LUMPUR 22 Disember: Pihak berkuasa ugama telah menahan sepasang kekasih yang didapati berdua-duan di dalam sebuah bilik hotel di sebuah lokasi pelancongan terkenal di negara ini. Kejadian pada jam 1:30 pagi tersebut membabitkan seorang pengurus wanita dan seorang seorang duda yang dikatakan pemandu peribadinya. Adalah difahamkan pengurus tersebut adalah isteri seorang pegawai tinggi kerajaan. Ketika serbuan dibuat, mereka berdua kelihatan berpakaian kemas, namun hanya mereka berdua sahaja berada di bilik tersebut. Selepas soal siasat dan pernyataan mereka diambil, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan diri dan mereka akan didakwa kerana kesalahan berkhalwat.

Berita kecil dari akhbar hari ini benar-benar merungsingkan aku. Terlalu banyak kes khalwat berlaku di negara ini. Ya Allah, selamatkanlah aku dan keluarga ku daripada terjerumus ke arah itu. Fikiran berputar-putar sama seperti putaran roda keretaku untuk cepat-cepat sampai ke rumah.

SRI MAHLIGAI: 6:30pm

"Yang, cepat balik hari ni, biasanya maghrib baru sampai".
"Alah abang ni, cepat susah, lambat curiga... serba salah dibuatnya"
"Aik... itupun nak melenting?. YAng dah baca akhbar hari ni?"
"Baca gitu-gitu ajalah, apasal?"
"Nah... cuba tengok kisah khalwat ni"
"Sejak bila pulak abang berminat dengan cerita-cerita macam ni?. Ini kan cerita biasa aja".
"Berita tu memang biasa, tetapi yang kena tangkap tu pengurus wanita dan drebarnya, sebiji macam awak... jadi hati-hatilah lain kali. Kawan konon.... kalau drebar, cakaplah drebar, sejak bila pulak berkawan dengan drebar ni?. Abangpun nak jadi drebar jugaklah kalau macam ni.."
"Abang..... mengapa marah-marah ni?. Ayang tak memilih kawan, drebar ke, buruh ke, tak kisah, yang penting hati. Abang pun berkawan dengan Wak Don kan?. Dia tu pemandu superscale, bukan drebar jugak?"
"Ayang.... Wak Don tu lelaki, Abang ni lelaki, Kalau Ayang berkawan dengan drebar perempuan, abang tak kisah".
"Maksud abang?".
"Maksud abang ialah, pandai-pandailah pilih kawan, jangan cerita masuk berita pulak nanti. Hadkan pergaulan tu. Harap ayang faham dan abang nak mandi dan ke surau ni. Ada majlis bacaan Yassin di malam Jumaat ni".

Aku meninggalkan isteriku dengan akhbar tersebut dengan segala senang hari bila terbuku di hati telah dicurahkan. Biarlah hujan pada malam ini, biarlah banjir Sri Mahligai ini.

HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG - SIRI 55

PELBAGAI keributan berlaku di hujung tahun begini. Sasaran Kerja Tahunan (SKT) belum tercapai. Azam tahun baru sudah lebur. Suasana di pejabat sudah mula sunyi kerana ramainya staf yang masih bercuti dan di rumah pula agak sunyi bila Along ke Jepun. Aku bertekad untuk mendapat kepastian dari tuah haji Salim mengenai kedudukan Souraya. Tekad aku barangkali tidaklah senekad Souraya untuk datang ke Malaysia di musim cuti ini.

"Assalamualaikum aji. Masih dalam kereta lagi ke?. Boleh cakap ke ni?"
"Waalaikum salam, biasalah... ni tersangkut kat MRR2, apa hal yang boleh aku tolong pagi-pagi begini?"
"Itulah soal yang dulu tu.... semua dokumen dah diberi, ada apa-apa berita ke?. tak kiralah positif atau negatif. Sebagai pegawai kerajaan, aku tahu hang bukan boleh buat sewenang-wenangnya dan akupun tidak bermaksud begitu, cuma nak tahu kedudukannya saja".
"Entahlah.... aku rasa agak rumit sikitlah kes ini, tapi tak mustahil nak dapat keputusan. Walau bagaimanapun it takes time lah, tak boleh esok lusa terus dapat. kau tahulah aku bukan KSU... alah kalau KSU pun ini, kes ni kena rujuk ke Bukit Aman dulu tau, kalau menteri tu senanglah sikit. ha ha.."
"Alahai kau tak masuk bertanding, macamana nak jadi menteri, tapi aku yakin kalau kau bertanding mestu hilang wang pertaruhan punya ... "
"Ok ginilah, secara ringkasnya apa yang aku faham begini ya, betulkan aku jika silap.. si budak ni memang warga UK dan nak berhijrah ke US. Kerajaan US pula nak surat pelepasan bebas jenayah dari Malaysia sebab dia pernah kerja di Malaysia, dan merupakan tempat kerja terakhir dia. begitu kan?".
"ya begitulah adanya"
"Ikut prosedur, kena hantar passpot, visa, surat pengesahan majikan, surat tawaran bekerja dari Malaysia juga memadai dan surat sokongan majikan dia. Lepas tu rekod-rekod beliau akan dikenalpasti dan satu temuduga atau pertemuan perlu diatur. Itu saja, tidak kompleks sangat, prosedur biasa"
"so bagaimana sekarang, jawapannya?"
"oh.... banyak agensi yang terlibat, iaiatu KDN sendiri, imigresen, polis dan mungkin juga kastam dan LHDN. Jadinya ia akan mengambil masa".
"Apa agaknya jawapan yang harus aku berikan kepadanya nanti".
"Dalam proses... tapi jangan beri harapan yang tinggi sangat.. oopps.. aku dah dekat nak sampai ni, nanti kita sambunglah lepas aku sampai di ofis nanti. bye".

Susah juga untuk melayani kehendak Souraya ni dalam situasi sekarang dan dalam masa terdekat ini. Mengapalah ia beriaya-iya sangat nak datang ke Malaysia sebelum waktunya ini? Bila tiba nanti di aman dia akan bermalam?. Di rumah aku atau di hotel? Di rumah bolehlah dia menemani Angah agaknya semasa cuti begini.

Monday, December 22, 2003

ANTARA GOSIP DAN RASA SIMPATI - SIRI 54

"If you treat a man as he is, he will stay as he is, but if you treat him as if he were what he ought to be, and could be, he will become that bigger and better..."

- Penyair Gothe.

BERULANG-KALI aku memikirkan mungkinkah kerana situasi kerja di pejabat ini yang semuanya mahu pantas, cekap dan perfect, aku telah menjadi insan yang berfikiran tangkas dan bersikap bagai robot?

Aku benci menangguh-nangguh kerja. Jika seseorang pegawai bercuti, pegawai lain mesti ambil alih tugas; jangan tunggu pegawai berkenaan datang baru tugas itu berjalan semula. Jika ada masalah yang timbul mesti diselesaikan hari itu juga; maknanya kerja hari itu untuk hari itu. Esok lusa, banyak lagi tugas lain menanti.

Tetapi di pejabat lain, di rumah lain. Aku tak boleh bersikap bos di rumah. Suami tetap bos nombor satu. Aku akur dengan segala arahannya. Jika dia kata `no' maknanya 'no'. Jika `yes' maknanya `yes'. Pernah sesekali ingin memberontak, tetapi cepat-cepat aku mengucap panjang... Memanglah di pejabat lain, di rumah lain... di rumah suasana agak perlahan, itulah yang aku tak tahan.

"You kena hormat dia, dia suami." Kata Irwan di kafe hari itu. Aku diam sahaja, akur. Gelas minuman kugenggam perlahan.
"Jika berlaku sesuatu yang buruk, payah untuk you gilap semula maruah," tokoknya lagi. "Suami pantang dicabar...." Tokoknya lagi.
"Tapi Wan, isteri pun pantang dicabar. I tak suka kalau ada terlalu banyak rahsia. Tindak tanduknya selalu sahaja menimbulkan curiga. You ingat lagikah pasal kes yang I suruh you intip dia tu?" Soalku. Irwan mengangkat muka dan mata kami bertentangan.
"Dia masih lagi begitu. I tanya terus terang, siapa Souraya? Tetapi soalan itu tidak menemukan jawapan. Seingat I Souraya anak uncle Sim. Dia adik angkat kami, tapi itu dulu. I rasa hubungan tu dah lebih kepada hubungan sepasang kekasih!"
Irwan masih lagi memerhati ke wajahku. Aku melihat bola matanya, ada ketenteraman di situ. Ada pandangan yang jujur dan ikhlas. Seberapa boleh aku cuba tidak mahu emosi. Aku tidak mahu kalah di hadapan lelaki yang bukan mahramku.
"Selagi dia tak berterus-terang, selagi itu hati I tak tenang!"
Irwan menarik nafas dan dilepaskan perlahan. Kulihat jiwanya juga bagai tertekan, seperti ada sesuatu yang masih lagi berbuku dalam dadanya. Apakah dalam diam dia menyimpan kemelut gosip yang sedang dilemparkan oleh rakan-rakan pejabat?

Irwan tidak bersalah, dia tidak patut terheret sama dalam dilemaku. Tetapi faktor sekeliling turut menyumbang kepada kesahihan gosip-gosip itu. Kami saling berhubungan rapat, dialah juga yang akan membawaku ke mana-mana dengan kenderaan pejabat. Masaku lebih banyak bersama Irwan berbanding dengan pemandu pejabat yang lain...

Kasihan Irwan, tak semena-mena status dudanya jadi tiang masalah. Dan rasa simpatiku terhadap Irwan memuncak menggunung tinggi. Kerana aku dia difitnah. Percaturan ini bukan calang-calang, aku takut Irwan goyah dan dia betul-betul ingin menjadikan gosip itu satu realiti.

Kafe lengang hari itu. Aku pun tidak berhasrat untuk berlama-lama di situ, bimbang pandangan serong staf bawahan. "Okeylah Wan, ini cerita antara kita, jangan pula you hebohkan pada orang lain. Keep this as secret, okay... janji ya!"

Irwan angguk dan bangkit membayar harga minuman.
Sementara itu aku menghabiskan teh tarik yang masih bersisa.


Saturday, December 20, 2003

KEDAI KOPI --- SIRI 53

Nahoko ajak keluar. Mungkin ini kali terakhir aku keluar dengannya. Kami bersetuju untuk ke kisaten (kedai kopi) yang selalu kami pergi. Kedai ini hanya boleh memuatkan enam orang pelanggan sahaja pada satu-satu masa. Amat istimewa dan hanya mereka yang mendaftar menjadi ahli kelab kedai kopi itu sahaja yang boleh menikmati aroma kopi yang cukup membangkitkan selera itu. Aku masih ingat tarikh keramat itu. Tarikh dimana kami menyambut ulangtahun pertemuan yang ketiga. Tarikh keramat yang bakal memisahkan kami. Kami berbual tentang masa depan. Masing-masing keliru dengan perasaan yang bersarang di dada.

Sambil berbual, peniaga kedai yang memasuki usia 70an tetapi masih sihat itu menyampuk perbualan kami. Pakcik Tamaki yang sudah mesra dengan kami memberi banyak nasihat tentang cinta! Ya, kami berada dalam dilema yang besar, terutamanya selepas Mak menentang perhubungan kami. Aku keliru dan buntu. Masa terlalu singkat untuk membuat keputusan. Aku perlu pulang ke tanahair kerana pengajianku sudah tamat.

Akhirnya aku nekad memutuskan hubungan kasih yang sekian lama terbina itu. Dia menerima dengan hati terbuka. Tiada jodoh katanya. Tapi dia pinta aku terus kekal sebagai sahabat. Aku angguk meski berat untuk melepaskannya. Aku akur kehendak Mak. Perhubungan kami menuntut pengorbanan besar kedua-dua belah pihak. Aku pernah terbaca dalam sebuah artikel, cinta tidak semestinya berakhir di jinjang pelamin. Aku tahu dan faham itu.

Aku beritahu Pakcik Tamaki, mungkin ini kali terakhir kami mengunjungi kedainya. Aku akan pulang ke tanahair tiga hari lagi. Nahoko pula akan pulang ke kampung halamannya di Fukushima dan memulakan kerjayanya di sana. Kami bakal meninggalkan Bandar Naha. Wilayah Okinawa yang telah mempertemukan cinta kami. Sayangnya cinta itu tak kesampaian.

Sebelum keluar dari kedainya, Pakcik Tamaki yang pernah menjadi Tentera Merah Jepun di Tanah Melayu itu berkata,

"Mungkin sekarang cinta kamu menemui kesukaran. Tapi percayalah, satu hari nanti kamu berdua akan bahagia juga"
"Masa itu pasti kamu akan kata, 'bertuahnya dapat hidup'!", ujar Pakcik Tamaki dengan dialek Naha yang pekat.

Kami telan kata-kata Pakcik Tamaki biarpun ia pahit. Senyum kami kelat. Aku hadiahkan Pakcik Tamaki wang kertas satu ringgit Malaysia yang siap aku tandatangan sebagai tanda kenangan. Aku berpelukan dengan Pakcik Tamaki sambil mengucapkan terima kasih. Aku sebak memandangkan itulah pertemuan kami yang terakhir. Banyak nasihat berguna yang kami terima sepanjang menjadi pelanggan setia kedai kopinya.

Nahoko hadiahkan aku sebuah buku bertajuk Nari Agari (How to be big) karya Eikichi Yazawa. Dia mahu kami kuat mengharungi detik sukar itu. Katanya, buku itu menyuntik semangatnya untuk meneruskan hidup. Ada titis airmata di kelopak mata Nahoko yang ayu semasa menyerahkan buku itu ke tangan aku.

Aku pula hadiahkan Nahoko sebuah Al-Quran terjemahan yang aku beli di Masjid Yoyogi, Tokyo. Al-Quran terjemahan dalam bahasa Jepun itu aku sertakan sekali dengan sebuah buku mengenai Islam. Moga-moga dia menerima hidayah Allah suatu hari nanti. Tidak melalui aku, melalui orang lain pun tidak mengapa.

”Tuan, Sila tegakkan tempat duduk. Kita akan mendarat sekarang”, Suara Pramugari berpakaian seksi itu menghentikan lamunanku.

Lama juga aku mengelamun. MH088 akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo sebentar lagi. Sudah lebih setahun aku tak bersua muka dengan Nahoko. Bagaimana agaknya dia sekarang ini? Masih ayukah seperti dulu? Argh! Aku tak sepatutnya membangkitkan soal itu. Lebih-lebih lagi, aku akan menghadiri majlis bersejarahnya esok pagi.

"anata ni awanakereba, Ima no boku wa nai"

Thursday, December 18, 2003

AKU BENCI REALITI INI - SIRI 52

* Bab ini dihasilkan oleh Eyes dan telah diedit oleh Sri Diah.



Aku menyusur dari satu kedai ke kedai yang lain di sekitar White Rose, sebuah pusat beli belah yang terbesar di utara London. Apa yang mahu dibeli untuk dibawa sebagai cenderahati? Takkan nak ke Malaysia dengan tangan yang kosong. Akhirnya aku memilih sehelai skarf berwarna maroon dari jenama tie-rack.

Nampak sungguh cantik. Boleh dipakai sebagai tudung kepala atau diikat sahaja di leher. Rasanya ia sesuai untuk seorang penulis wanita yang karyanya amat kuminati. Aku akan meminta lelaki itu menemukan aku dengannya ketika aku di Kuala Lumpur nanti. Jika selama ini aku hanya membaca karyanya, kini aku ingin sangat bertemu dengan orangnya. Koleksi novel-novelnya sudah banyak kusimpan.

Untuk dia? Ya... untuk lelaki itu sudah pasti kubeli sesuatu yang istimewa. Sesuatu yang akan menyatakan isihatiku tanpa aku perlu berkata-kata.... sesuatu yang membuktikan bahawa antara aku dengan dia bukan hanya hubungan sebagai abang angkat... ia lebih daripada itu!

Aku terkenang isi kandungan email yang dikirim oleh lelaki itu. Menurutnya ada yang menyamar menjadi Souraya dari sebuah cybercafe di Malaysia. Siapa lagi yang mengenali aku di sana selain daripada mereka sekeluarga?

Jika ada pun mungkin seorang dua teman lama yang aku kenali semasa mereka menuntut di sini dahulu.Tapi rasa-rasanya tiada diantara mereka yang mengetahui hubungan aku dengan keluarga itu. Ah, aku tak mahu memeningkan kepala dengan masalah ini. Perlahan-lahan kucuba lupakan isu ini.

Banyak perkara yang perlu aku uruskan di sana nanti. Tak sabar lagi rasanya untuk bertemu dengan lelaki itu sedikit hari lagi. Kalau boleh saat ini juga aku ingin terbang dan menterjemahkan rindu ini dengan memeluknya. Aku mahu mendakapnya sepuas hati dan tak mahu berpisah jauh dengannya lagi!

Aku jemu berteman cebisan jigsaw puzzle untuk mengubat hati yang rindu. Jemu juga dengan hanya omelan di internet. Kalau boleh, aku mahu mengadap wajahnya setiap hari, bukan sekadar ikon-ikon smiley yang dipaparkan di kotak chatting. Moga-moga semua urusanku akan berjalan lancar dan lebih daripada itu, aku mengharapkan agar lelaki itu tidak akan mengecewakan aku.

Tapi dalam diam, sebenarnya aku memendam rasa. Aku seperti tidak dapat menerima hakikat bahawa lelaki itu adalah milik isteri dan anak-anaknya. Inilah hakikat yang selama ini amat menghantuiku. Aku cemburu melihat kemesraan dia dan isteri semasa di Leeds dulu. Aku cemburu apabila melihat dia melayan isterinya dengan baik dan tidak langsung mengendahkan aku...




MESTIKAH KITA SELALU BERSAMA? - SIRI 51

TATKALA menerima arahan daripada pejabat pentadbiran bahawa cuti untuk tahun 2003 hanya boleh dibawa 5 hari sahaja ke tahun 2004, aku termenung panjang. Aku menelefon ke pejabat pentadbiran dan bertanyakan berapa hari lagikah cuti tahunku masih berbaki.

"Okey Wani... ada berapa hari lagi?"
Eksekutif pentadbiran itu diam seketika dan menjawab, "Amboi akak... cuti akak ada 10 hari lagi. Kita cuba benarkan bawa 5 hari sahaja untuk ke tahun 2004. Akak kena habiskan yang 5 hari itu..."
"Okey Wani, thanks."
Aku meletak telefon sambil ligat berfikir... harap-harap cuti Krismas ini bolehlah kuhabiskan baki 5 hari itu.
Selebihnya untuk persediaan anak-anak ke sekolah. Sekurangnya hari pertama persekolahan aku mesti bercuti untuk membereskan hal yuran di sekolah kebangsaan dan di sekolah agama.
Suami ada apa-apa rancangan tak?

Ingatan itu terpadam apabila panggilan telefon berdering-dering di sudut meja.
"Puan, petang nanti jangan lupa. Meeting on. Esok pagi ada lawatan dari Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Bos tak dapat tunggu. Dia suruh puan bagi taklimat. Petangnya kita kena ke Petaling Jaya, ingat tak pasal pertandingan slogan tu?" Suara pegawai kanan terngiang-ngiang di telinga.
"Iyalah, saya ingat... thanks."
"Lagi satu... tengahari nanti, pasal tiga orang student dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya tu. Mereka tak mahu resume, mereka nak temubual tu dilakukan jugak sebab pensyarah nak bukti tape rekorder mereka."
"Ok. OK..." Aku dah tak larat nak berfikir.

Pagi tadi, tatkala Irwan balik dari airport selepas menghantar MD ke Singapura dia ada singgah ke bilik. Mukanya yang selalu tenang, kulihat agak gelisah. Dia kelihatan muram, lama dia terdiam, membelek-belek majalah di atas meja sebelum mula berkata-kata...

"Entahlah, saya tak suka dengan situasi sekarang. Mereka tuduh kita ada affair... Mereka mula pandang serong. Apakah kerana saya duda jadi hubungan saya dengan mana-mana wanita dianggap skandal?" Katanya perlahan.
Aku diam, membiarkan dia berkata-kata.
"Masa saya bawa you memberi ceramah di Genting, mereka persoalkan. Semasa kita ke Seremban kerana penyerahan cek, pun mereka persoalkan. Begitu juga bila saya kena bawa you ke Alor Gajah tempohari..."
"Iyalah Wan, silapnya kita ada ramai pemandu tetapi kenapa you saja yang dapat giliran bersama saya... tu yang jadi buah mulut."
"Tapi saya selesa dengan you. Dengan pegawai lain, payah."
"Apa selesanya? Apa payahnya dengan orang lain?" Aku cuba mengorek...
"You jenis tak kisah, selamba, tak cerewet, faham perasaan saya. Yang lain tu cerewet, cuka mengarah itu ini, suka mengumpat, macam mem besar, macamlah kereta syarikat kereta mereka... suruh ke pasar, ke sekolah anak!"
Aku sengih saja dengan rungutan Irwan.
"Wan... saya jenis macam tu, saya tak pandai berlakon."
"Yes. Sebab itulah saya boleh pergi ke mana saja you suruh. Saya selesa," katanya.
Banyak kali kutafsir kembali kata-kata `selesa' yang Irwan maksudkan itu. Jika aku ini selalu `menyelesakan' orang keliling, kenapakah suami sendiri kadang-kadang seperti rasa tak selesa apabila denganku?

Aku tahu, dia selalu mempertikai caraku mengurus rumah tangga dan caraku mendidik anak-anak... dia memang sudah tahu aku jenis yang `tak suka memberi muka'. Aku lebih suka pada prinsip `everybody doing everything' kita kena fleksibel, mesti all rounder ... termasuklah suami dan anak-anak.

Oklah, mungkin azam 2004, aku akan cuba tolerate. Aku akan jadi isteri yang romantik. Aku akan jadi isteri yang `take care' bukan `take advantage'. Aku akan jadi isteri yang jarang kata `no' tapi selalu kata `yes' bila dia ajak bermalas-malas dalam bilik.

Dalam mengelamun itu sedar-sedar Irwan sudah pun keluar dari bilikku. Ada mesej SMS yang kuterima.
"Saya tunggu di kafe." Tulis Irwan.
Aku termangu. Mahu jawab `yes' ataupun `no'?


Wednesday, December 17, 2003

REHAT SEKEJAP - IKLAN

Siri eNovel JAD ini bukan sahaja boleh dibaca dari blog, malahan menggunakan PDA juga. Tak kisahlah samada anda mempunyai Palm, Clie, PPC atau apa-apa eBook. Beginilah rupanya JAD Versi Palm:-



Terima kasih kepada Ibnu Arif yang mengusahakan JAD Versi PDA.

HUJAN DI TENGAHARI - SIRI 50

HARI pertama kerja setelah beberapa hari bercuti agak merimaskan. Pertamanya terlalu banyak dokumen yang perlu diteliti, diluluskan dan datandatangani di atas meja. Keduanya mood untuk terus bekerja dengan tekun sudah mula berkurangan di penghujung tahun begini. Selebihnya terasa kesian kepada anak-anak yang bercuti dari segala aktiviti rutin dan hanya lepak sahaja di rumah. Saban tahun apabila cuti sekolah sahaja, maka meraka akan lepaklah di rumah. Biasanya sebelah petang baru bangun dari tidurnya. Makan pagi, tengahari dan petang biasanya dijamak sekali sahaja. Si angah ni walaupun dah muda remaja, nak goreng telur pun tak boleh diharap. Nak minum, sanggup dia ke kedai. Nak makan dia akan menelefon piza, berbanding dengan ke dapur sekadar untuk memanaskan lauk-pauk yang masih berbaki. Jika tidak, tunggulah abah balik dengan membawa goreng pisang atau mee jawa untuk mereka. Alahai budak-budak sekarang.

Seperti biasa singgah sebentar di gerai Kak Piah untuk membeli beberapa jenis kuih untuk minum petang.
"Lama Encik tak singgah, dengar kata ke luar negeri. Mengapa tak bawak budak-budak sekali pergi melancong?".
"Saya pergi pun macvam kecemasan saja Kak, mereka suruh bentangkan kertas kerja, last minutes, tak sempat nak rancang".
"oo gitu... ingatkan saja tak mau anak-anak ikut. Cik Puan apa khabar?"
"Baik-baik saja"
"Kesian kat budak-budak kat rumah tu kalau encik tak ada"
"Eh mengapa pula kak?. emaknya kan ada."
"Akak ni serba salah sebenarnya. Nak beritahu salah, nak diamkan pula salah"
"Apa dia kak, beritahu sajalah, saya dengan akak bukan baru kenal, anak-anak sayapun besar dengan lauk-pauk akak juga".
"Begini encik.... anak akak ada beritahu yang dia jumpa dengan Cik Puan bersama kawannya dekat Genting itu hari. Entahlah saya kata silap orang kot, tapi entahlah... kalau bohong budak tu, bohonglah saya ni".
"Oh begitu... tak apalah kak, saya balik dulu. terimakasih ya".

Genting?. Bila ni?. Berita terkini ke baru ke surat khabar lama ni?. Mengapalah dia ni selalu sangat ke Genting dengan bukan mahram?. Kalau ya pun kawan sekerja, mengapa berdua-duaan?. Adakah hanya mereka berdua sahaja yang ada dalam pejabat itu?. Orang lain tak boleh buat kerja ke?. Cemburu ke aku ni atau memang hak aku untuk berbuat begitu. Bila aku ke luar negeri sekali-sekala, dia pula yang ambil kesempatan begini. Tetapi mengapa aku tidak pula menggunakan segala kesempatan yang ada semasa di sana?. Maksudnya membalas dendam? Oh.... itu bukan cara ku, tiada dendam dalam kamus hidupku. Namun, apa yang diceritakan oleh Kak Piah ni betul ke atau hanya rekaan semata-mata?. Inilah yang cukup sukar untuk dilerai, lebih sukar dari menarik rambut dalam tepung.


Tuesday, December 16, 2003

KENANGAN MANIS HANYA SEKETIKA -- SIRI 49

MUNDAR mandir di lapangan terbang Bangkok dari hujung ke hujung, mencari lounge bagi pemegang Diners Club. Akhirnya penat sahaja yang ditemui dan mengambil keputusan masuk sahaja ke balai berlepas untuk menghabiskan sisa novel di tangan. Sebaik sahaja kaki melangkah masuk (yang tidak memungkinkan untuk keluar lagi), skrin komputer menunjukkan pesawat MH785 ke Kuala Lumpur terlewat hampir 2 jam. Ingatkan dapatlah mengalas perut dalam pesawat nanti, rupa-rupanya terpaksa pula menahan lapar tambahan untuk dua jam lagi... Sudahlah makan pagi seawal jam 5 pagi gara-gara terlalu lapar kerana makan malam hanya bertemankan buah-buahan sahaja, oh nasib badan!.

Teringat ketika mula-mula sampai, Kolonel Wattana sudah menunggu di pintu pesawat, terus dibawa ke bilik VIP untuk bertemu dengan Pak Ardi yang sudah menunggu. Pak Ardi masih juga seperti dulu dengan segelas wain di tangan. Selepas memperkenalkan Pak Ardi, Kolonel meminta diri untuk menguruskan paspot aku dan menanti ketibaan Attorney Martines dari Filipina yang akan turut menyertai kami. Dalam hati berbisik, persidangan kali ini rupa-rupanya adalah sambungan dari persidangan terdahulu yang telah diadakan di Manila, ini tentu memudahkan segala bicara. Akhirnya setelah semuanya tiba kami dibawa ke hotel persidangan dengan iringan polis trafik sebagai tetamu negara yang dihormati meredah kesesakan lalulintas kota Bangkok. Begitu hormat mereka menyambut tetamu yang tidak mungkin dapat ku rasai di tanah air sendiri. Penghormatan begini barangkali memang kena pada tempatnya kerana mereka sebagai penganjur persidangan memerlukan aku sebagai pembentang kertas kerja. Namun apabila di rumah, barangkali aku sudah tidak diperlukan lagi, lantas jangankan penghormatan yang selayaknya sebagai seorang lelaki bernama suami, malahan segala-galanya adalah hambar dan dingin belaka. Sesekali terfikir, elok saja jika aku bersara awal dan pulang ke kampung untuk hidup bersama alam, kembali kepada fitrah dan mengerjakan tanah pusaka sambil menikmati damai di sana. Bolehlah juga aku mengawasi gerak langkah adik ku Roslan yang kekadang hanyut dalam dunia ubat batuk dan daun ketungnya.

Lamunan ku terhenti setelah diganggu oleh pramugari yang datang menegakkan tempat sandarku kerana kapalterbang akan mendarat sebentar lagi. Sengaja tidak aku memaklumkan kepada sesiapa tentang kelewatan ini . Setelah selamat mendarat, aku tidak bergegas ke Aerotrain, sebaliknya ke surau. Usai jama' qasar Zuhor dan Asar, aku bermalas-malas menuju ke beberapa kedai cenderamata untuk membeli coklat buat anak-anak di rumah. Di balai ketibaan, tanpa menoleh kiri-kanan, aku bergegas ke arah ERL untuk ke KL Sentral, namun langkah ku terhenti setelah melihat Along menunggu di situ.
"Apa khabar abah?" sambil tangannya menggenggam tanganku penuh hormat.
"baik, tetapi sedikit letih, mak mana?".
"Mak tak dapat datang, ada urusan penting dengan kelas masakannya. Oh ya ini teman sepejabat Along, Hasimah" Along memperkenalkan seorang gadis yang semenjak tadi berada di sisinya.
"Ayuhlah kita pulang, sebelum ke rumah kita singgah di restoran Senja Bistro, abah kelaparan. emak engkau apabila sibuk dengan kelas masakannya sudah tentu lupa untuk memasak untuk abah, lagipun restoran Senja tu adalah favourite abah".

Dalam kereta, aku tidak mempunyai mood untuk bersembang dan hanya tidur sepanjang perjalanan. Biarlah mereka berdua bersembang seadanya.



Monday, December 15, 2003

SMS ABAH --- SIRI 48

"Boleh ambil Abah kat airport? Arrived 3.00pm. Tunggu di Pintu 3"

Begitu SMS Abah yang masuk ke ruang Inbox telefon bimbitku. Tapi, bagaimana aku boleh ambil Abah sedangkan aku masih terbaring lemah? Aku mahu menolak, tetapi tak sampai hati rasanya. Rasa bersalah menginjak-injak dada. Sudahlah aku tidak dapat memenuhi permintaan Abah sebelum dia ke Bangkok tempoh hari. Abah minta bantuan aku menterjemah 3 rangkap haiku yang bakal dibacanya dalam Majlis Jamuan Perpisahan Seminar yang bakal dihadirinya. Kesibukan kerja di pejabat tidak memungkin aku menterjemah haiku tersebut ke bahasa Jepun seperti apa yang diminta. Aku rasa terkilan. Apatah lagi SMS kepada Abah sejurus sebelum dia terbang ke Kota Bangkok langsung tidak dibalasinya. Merajukkah Abah?

Aku cuba tanya Mak kalau-kalau dia free petang ini. Boleh ambil Abah di KLIA. Tapi hampa bila Mak kata dia sibuk petang ini dengan kelas masakannya. Aku nekad minta bantuan Hasimah sahabat akrab di pejabat untuk membantu aku. Aku masih lemah untuk memandu. Aku harus berterima kasih kepada Hasimah kerana bersedia mengambil aku di rumah sebelum mengambil Abah di KLIA. Moga-moga Abah tak terkejut nanti, apatahlagi ini pertemuan pertama Abah dengan Hasimah, sahabat akrab yang sudah aku anggap seperti saudara kandung sendiri.

"OK. Along tunggu di Pintu 3 jam 3"

Aku balas SMS Abah yang aku yakini dia boleh terima di Kota Bangkok. Tidak sia-sia aku langgani talian pelayan antarabangsa syarikat telekomunikasi gergasi negara.

KEDEGILAN ALONG --- SIRI 47

Pulang dari mengambil tiket kepal terbang di agensi penerbangan di Jalan Sultan Ismail, aku rasa macam tidak sihat. Kepala mula pening dan aku seperti loya. Habis balm hijau Cap Inaiba yang sememangnya tersedia dalam kereta aku lumur di tengkuk dan dahi. Sampai di rumah aku terus tidur. Kononnya mahu berehat dan beranggapan sakit itu akan hilang. Tapi ia jadi sebaliknya pula.

Empat tahun dulu, aku boleh makan apa saja yang aku mahu. Masakan pedas antara menu kegemaran aku. Setiap kali makan aku pastikan ada sambal tumis ikan bilis yang menjadi pembuka selera. Aku meninggalkan rumah sejak di Tingkatan Empat selepas kejayaan besar dalam SRP 1992. Jadi, setiap kali pulang bercuti di rumah Mak sudah sedia maklum tentang makanan yang menjadi kemestian itu.

Tetapi itu tidak terjadi selepas aku berhijrah ke Okinawa Jepun. Empat tahun mengaji ilmu itu, aku diasak makanan Jepun yang tiada langsung cili sebagai perencahnya. Bukan tiada jual cili di sana, tetapi mahu cari cili basah bukan ada terjual seperti di Pasar Chow Kit. Apa yang ada cili kering bekalan Mak dari Malaysia. Aku pula jenis malas untuk merendam dulu cili tersebut sebelum dikisar menjadi cili kisar basah. Aku tidak sedar tentang ini. Aku mula perasan perubahan ini selepas pulang bercuti Musim Sejuk ke Malaysia setahun selepas itu.

Yalah selepas setahun, baru dapat jumpa sambal tumis ikan bilis tangan sakti Mak. Aku makan berselera sekali. Hampir licin semangkuk sambal tumis itu aku kerjakan. Malam itu benar-benar jadi tragedi. Aku muntah-muntah, perut memulas perit dan cirit-birit hingga aku berguling-guling di lantai. Sedar-sedar aku sudah berpakaian serba putih di wad hospital. Tiub salur air berselirat di tangan. Abah kata aku keracunan makanan. Tahulah aku, perut aku sudah tidak tahan lasak lagi dengan makanan pedas seperti dahulu. Masakan pedas perlu dielakkan dan kalau mahu makan pun perlu diambil dengan kuantiti yang kecil. Aduh! Rasa mahu menangis bila mendengar nasihat dan tegahan Doktor.

Begitulah setiap kali pulang bercuti di Malaysia. Sehinggalah aku pulang dengan genggaman ijazah di tangan setahun yang lepas. Mak sering mengingatkan aku dengan nasihat Doktor. Tapi aku tetap degil menjamah makanan pedas mengikut kehendak sendiri. Akibatnya aku jadi pengunjung setia klinik dan hospital. Cucukan jarum drip entah berapa ratus kali aku rasa. Tinggal di wad juga sudah jadi biasa.

Dan itulah yang terjadi sebenarnya. Jemputan rumah terbuka sempena Syawal yang masih bersisa, menjadikan aku bernafsu menjamah juadah terhidang di rumah kawan-kawan semalam. Pelbagai makanan dicubit rasa. Bercampur-aduk antara satu rumah dengan rumah yang lain. Akhirnya kerana mengikut nafsu, diri sendiri terjerat. Mulanya mahu bertahan dengan Pil Chi Kit Ad Deen sahaja. Tetapi melihat keadaan tidak juga reda, Mak paksa aku ke klinik juga. Abah pula di luar negara. Kalut juga Mak melayan karenah sakit aku kerana selalunya Abah yang bawa aku berjumpa doktor.

Nah! Berjenis ubat terpaksa jadi santapan pagi, petang dan malam. Nasib baik tidak sampai dikejarkan Ambulan ke hospital. Cuma semalam, doktor beri drip aku seperti selalu. Hai! Bila sakit begini baru rasa jeran tak mahu makan pedas lagi. Tapi, bila sudah sembuh semua ketakutan itu hilang kembali!

"Degil juga Along ni ya!", sindir Angah.

Sunday, December 14, 2003

KENANGAN MANIS YANG TIADA INDAH -- SIRI 46

BANGKOK 12 Disember: Seminar terpaksa dihentikan jam enam petang walaupun tanpa resolusi yang khusus kerana jam tujuh malam jamuan perpisahan yang akanturut dihadiri oleh wakil-wakil kedutaan akan diadakan. Aku dan Ajib mewakili negara dalam seminar di peringkat ASEAN yang dihadiri oleh semua negara, kecuali Singapura dan Brunei.

"Jib, aku nak pakai kot saja malam ni sebab baju batik habis berkedur dan tak sempat nak gosok ni"
"Eh, tak bolehlah, pakai batiklah sebab setiap negara perlu buat persembahan kebudayaan, sempat lagi nak gosok ni. Wife aku siapkan beg aku dan baju batik tu dia gulung elok-elok, tak berkedut punya".
"OK lah aku cuba".

Walaupun isteri Ajib ini adalah orang besar di syarikat telekomunikasi, namun aku cukup kagum dengan khidmat baktinya terhadap suami. Segala kelengkapan untuk suaminya diatur kemas. Aku?... Oh akau adalah suami yang tabah, suami yang boleh berdikari sepenuhnya!. Baju apa nak pakai, seluar mana, apa warna tali leher, menggosok dan melipatnya tiadak ada siapa yang boleh diharapkan melainkan diri sendiri. Jadi manalah aku tahu mengenai teknik-teknik melipat baju sebegitu. Dulu semasa di Tokyo, aku juga begitu cemburu dengan Dr. Rahman kerana dia hanya tahu apa kandungan dalam begnya setelah sampai di Tokyo sahaja, kerana semuanya diuruskan oleh isterinya, yang juga bekerja makan gaji sepenuh masa. Dan aku seperti biasa, terpaksa menyiapkannya sendiri dan sudah tentu terlalu banyaklah cacat celanya. Aku agak para suami yang lain sudah tentu tidak berupaya untuk berdikari jika terus-terusan dimanjakan begini, namun aku tetap jeles dengan rakan sejenis aku ini.

Parti perpisahan ini, seperti biasa amat merimaskan aku. Tuan rumah beriya-ia benar memaklumkan bahawa semua masakan tidak mempunyai daging babi kerana menghormati rakan-rakan Islam, khususnya dari Malaysia. Setakat itu sahajalah makanan Islam yang mereka faham barangkali. Entah di mana silapnya dan entah bagaimana untuk membetulkannya aku terpaksa menyerahkannya kepada keadaan sahaja.

Lagu demi lagu dinyanyikan, tari demi tari dipersembahkan. Aku mundar-mandir dan begitu rimas, pertama kerana hanya dapat minum dan memakan buah-buahan sahaja dan keduanya takut kalau-kalau 'cabutan tidak bertuah' memaksa naik ke pentas untuk membuat persembahan. Walau bagaimanapun syukur kerana Ajib memang pakar membawa lagu dalam pelbagai bahasa. Akhirnya aku naik juga ke pentas dan mendeklamasikan tiga rangkap haiku mengenai Bangkok kepada khalayak yang aku kira tidak memperdulikan apa yang aku baca, ah peduli apa aku....



SELAMAT MALAM BANGKOK

The night in Bangkok
The green neon shines brightly
As soft as the silk

Malam di Bangkok
neon hijau bersinar
selembut sutra

SELAMAT PAGI BANGKOK

Good morning Bangkok
The tut-tut waits patiently
Ready to serve you

Pagi di Bangkok
tut-tut masih di situ
siap sedia


SENJA DI BANGKOK
The sombre light shines
Chao Phraya River Shivers
The warm memory


Kelam cahaya
dingin sungai Chao Phraya
hangat di hati



Haiku ini telah lama disediakan dan terjemahan Inggerisnya disiapkan oleh seorang sahabat Haijin sehari sebelum berangkat ke Bangkok. Turun dari pentas aku terpandang saudara Saroch, sahabat aku dari Universiti Chulalongkong dan tanpa berlengah, dia mengajak aku merayau ke kota Bangkok menaiki keretapi untuk membeli sedikit cenderahati untuk dibawa pulang pagi esok. Sempat menyambar sehelai sutera Thai dan beberapa kemeja T untuk isteri dan anak-anak.

Barangkali esok aku terpaksa menyemburui Ajib lagi kerana anak-isterinya menunggu di KLIA seangkan aku seperti biasa juga akan menaiki ERL ke KL Sentral dan kemudiannya LRT untuk ke rumah.


Saturday, December 13, 2003

KENANGAN ITU PAHIT - SIRI 45

MALAM itu Along sakit. Dia muntah-muntah. Apa yang dimakan habis dikeluarkan semuanya. Mula-mula dia rasa pening kepala, kemudian terasa pula perutnya memulas. Macam-macam cara kulakukan supaya dia rasa lega sedikit, tetapi gagal. Akhirnya kupujuk dia supaya ke klinik. Susah juga hendak menyakinkan dia supaya ke klinik, tetapi aku minta sangat dia dengar cakapku kali ini.

"Along mesti pergi klinik... mak bimbang, dahlah abah tak ada dalam negara."
"Its ok mak... Along rasa kejap lagi baiklah ni."
"Dah lebih setengah jam macam ni. Tengok, badan Along pun dah lembik... dah tak bermaya. Biar Angah jaga adik-adik. Kita pergi kejap saja."
Melihat air mataku yang bergenang di kelopak mata, hendak tak hendak, Along mengikut cakapku. Sebelum itu kucuba menelefon suami untuk memberitahu tentang keadaan Along, tapi gagal.

Ubat tidur yang diberi doktor benar-benar mententeramkan Along. Sepanjang malam itu kulihat Along tidur pulas. Sebaliknya mataku yang enggan lena. Tepat pukul dua pagi, perlahan-lahan katil Along kutinggalkan.

Bersendirian mengembalikan semua nostalgia. Satu persatu kenangan kusibak. Wajah anak perempuan Cina itu terbayang di mata. Wajah lelaki tua yang sepet matanya itu pun silih berganti dengan wajah anak perempuannya itu.

Souraya - dia rapat dengan keluarga kami ketika kami di Leeds. Malah aku juga tahu tentang keinginan mereka untuk balik ke Malaysia tanpa melalui cara `haram' - itulah yang sedang suamiku usahakan. Aku tahu hal itu.

Tetapi dalam diam rupanya itu hanyalah alasan... tanpa pengetahuanku hubungan abang angkat dengan adik angkat itu telah menjadi satu hubungan yang lain. Ia satu hubungan yang menagih mesra dan rindu. Dan semestinya apabila Souraya selamat kembali ke Malaysia, hubungan itu akan menjadi ikatan yang lain pula...!

Pagi itu ketika sedang bersiap menyediakan sarapan anak-anak, telefon berdering nyaring. Anak-anak masih lagi atas katil. Along pula tentunya masih lagi tak sihat. Aku berlari anak menyambut panggilan.

"Sayang... dah bangun dah? Buat apa tu?"
"Prepare breakfast budak-budak..."
"Flight petang ni, sayang boleh ambik kat airport?"
Aku terdiam, memikir-mikir...
"Boleh tak?"
Entahlah, hatiku tak tenteram...
"Sayang...."
Perlukah aku ke airport petang ni?
"Err... abang naik ERL sahajalah."

Suara Along yang terbatuk-batuk di bilik air mengejutkan aku. Telefon dalam genggaman terus sahaja kuletakkan. Aku segera memapah Along duduk di kerusi.


Wednesday, December 10, 2003

KITA CUBA DIKHIANATI, SU - SIRI 44

Moto "BERPAGI-PAGI ITU MEMURAHKAN REZEKI" yang tertampal berhampiran mesin biometrik pintu keselamatan dan pencatat waktu kedatangan di ofis masih lagi samar-samar kerana aku datang terlalu awal hari ini. Hajat di hati ingin terus menghubungi Haji Salim bertanyakan persoalan Souraya. Saban hari beliau menaiki komuter dari Seremban dan bertukar kepada ERL di stesen KL Sentral. Oleh kerana masih terlalu awal, maka elok kiranya disemak e-mel terlebih dahulu sebelum menghubungi Hj. Salim.

Kandungan e-mel dari "Souraya" berstem jam 3:00am cukup meragukan. Katanya sudah dua jam dia menunggu aku di depan PC untuk bersembang denganku. Buat apa dia menunggu jam 1 pagi? Bukankah itu bermakna jam 9 pagi di Malaysia?. Jika dia adalah Souraya, dia mesti tahu yang aku tidak pernah menggunakan kemudahan chatting dalam waktu pejabat. Kecurigaan ini membuatkan aku cuba menjejaki asal usul e-mel ini dan oh... mengapalah ada insan yang cuba memperdayakan aku begini?. Alamat IP yang tertera di e-mel tersebut menunjukkan ianya datang dari Malaysia dan bukannya UK. Masyaallah siapalah yang ingin menyamar sebagai Souraya ni?. Adakah isteriku sendiri?. Adakah pakar komputer Cik Siti Noor Eyes? atau siapa?. Tidak sabar ingin kuhubungi Souraya, tetapi sekarang jam 3 pagi di UK, masakan dia masih di depan PC lagi.

Oleh kerana server di ofis telah mengharamkan chatting, maka aku hanya dapat bayangkan sahaja bagaimana dialog aku besembang dengan Su lewat PC:

Aku: Hi Su...
Su: Hi Abang! apa mimpi ni?
Aku: Betul ke ni Su? katalaluan please!
Su: Mangapa... tak percaya! "Burung terbang dipipiskan lada" and over
Aku: "Yang dikedong tak tercicir, yang dikejar pasti dapat" and over
Su: :-)
Aku: ;-)
Aku: Su ada hantar mel mlm tadi jam 3am London time?
Su: Tak ada, mengapa?
Aku: Ada org menyamar sebagai Su. Dia cuba goda abang... :-(
Su: Oh my God... siapa dia? BTW apa dia cakap?
Aku: Nanti abang fwd mel dia.
Su: Abang.... bgm dgn permohonan dan permintan Su?. Jgn lupakan Su tau!
Aku: Masih dalam pertimbangan dan akan dimaklumkan segera, dont worry
Su: Su mengharap, jgn hampakan
Aku: wokay, wokay....
Aku: Hv 2 go now, got mtg. cheers
Su: CUA. Cheers.


Tuesday, December 09, 2003

DURI DALAM DAGING - SIRI 43

KEBIASAANNYA pada malam minggu begini, isteri ku jarang memasak, kehendaknya ialah supaya kami anak beranak makan di luar. Walau bagaimanapun dia sudah masak dengan perangai aku yang tidak suka berada di luar rumah, apatah lagi dalam keriuhan manusia dan kesesakan lalulintas. Bukan sahaja migren akan bertandang, malahan darah tinggi juga akan menjulang. Lantaran itu, aku kira kemalasan dia memasak dan kedegilan ku untuk keluar, maka jalan tengah ialah Along yang membeli makanan tapau dan kami sama-sama menjamu selera di rumah. Namun pada hari minggu yang lalu, suasana agak berlainan sekali. Bukan sahaja ia memasak, malahan masakannya begitu menyelerakan. Wah bahagia seketika rasanya. Namun kebahagian begini alangkah eloknya diwujudkan di rumah pada sepanjang masa?.

Selesai makan, kami berdua santai di ruang tamu sementara anak-anak dengan hal masaing-masing di bilik sendiri. Dalam ketenangan dan kedinginan malam, aku terasa panas dan gelisah dengan soalan-soalan tidak terduga, bagaikan Pengarah Penyiasatan BPR menyoal siasat bilis. Pesoalan siapa Souraya cukup mencabar sekali untuk dihuraikan.

"Abang ... siapa Souraya?"
"Souraya?.... alah awak kenal dia, pernah datang ke rumah kita dulu. Dia tu anak Uncle Sim"
"Itu saya tahulah, tapi apa kena mengenanya dengan Abang? Dia dah klahwin ke belum?"
"Akan kahwin tidak lama lagi..."
"Dengan siapa?"
"Apalah Sayang ni, macam-macam soalan pula yang ditanya pasal budak tu. Sayang .... seorang isteri tidak elok berkawan, apatah lagi kalau berkasih dengan lelaki lain"
"Apa maksud abang ni?. Macam menuduh saja dan cuba pula menukar topik..."
"Bukan menuduh, cuma abang nak tahu siapa sebenarnya Irwan?. Apa hubungannya dengan Sayang?. Selagi jawapannya tidak dapat memuaskan hati abang, selagi itu pulalah soalan mengenai Souraya akan tinggal menjadi soalan".

Kucapai akhbar dan membelek-belek malas . Kepala ku ligat sekali untuk menghubungi Haji Salim, Setiausaha Bahagian "I", KDN untuk menanyakan kedudukan Souraya. Esok pagi-pagi akan ku hubungi tuan haji ...


ABANG.... SU MERINDUIMU! - SIRI 42

* Tulisan ini nukilan Eyes yang dikirimkan menerusi Sri Diah.

Pesan Daddy tidak mungkin aku engkari. Pesan itu umpama amanat yang harus aku utamakan. Daddy mungkin tidak kisah kalau bakal cucu-cucunya membesar di negara penjajah ini. Tapi Daddy tidak sesekali redha sekiranya bakal cucu-cucnya nanti hidup dengan budaya penjajah. Paling Daddy bimbang tentang akidah. Bimbang sekiranya nanti aku tidak bertemu dengan seorang yang mampu membimbing dan menegakkan ajaran agama suci ini dalam keluarga.

Daddy mahu bakal suamiku seorang muslim sebenarnya. Mungkin lebih tepat lagi Daddy mahu seorang dari tanah Melayu sebagai menantu tunggalnya. Walaupun berbangsa Cina, tapi Melayu telah lama sebati dalam diri Daddy. Islam satu-satunya agama suci yang menjadi pegangan Daddy.

Aku tahu, Daddy rindukan bumi Malaysia. Sekian lama dirantauan bukanlah penyebab untuk Daddy lupa pada tanah tumpah darahnya. Tanah yang diperjuangkannya satu masa dulu dari penjajah. Perjuangan itu jugalah yang akhirnya menyebabkan Daddy tersilap langkah dan terpaksa melarikan diri ke Leeds ini.

Aku tahu rindu Daddy semakin sarat pada tanah Melayu yang telah jauh berkembang maju. Aku sendiri cuma mendengar cerita tentang bumi bertuah itu melalui pembacaan. Ingin sekali aku ke sana, mencari kembali asal usulku yang tercicir.

Walaupun di bumi Leads ini ramai penghuni dari rumpun Melayu, tapi tiada seorang pun yang mampu membuka pintu hatiku. Bukan sahaja aku, malah juga Daddy. Sekembalinya Abang mba sekeluarga ke tanah air mereka, aku tidak lagi pernah melihat Daddy bertandang ke mana-mana kediaman lain sehingga dinihari.

Mungkin liku-liku kehidupan Daddy juga sedikit sebanyak mempengaruhi aku dalam mencari destinasiku. Mummy meninggalkan Daddy terkontang kanting sendirian membesarkan aku di sini. Mummy tidak betah mendengar teguran demi teguran Daddy. Mummy tidak mahu berubah. Tidak mahu menerima budaya hidup orang timur dan masih berkiblatkan barat. Entahlah, aku tidak pernah kenal Mummy sebenar-benarnya. Aku cuma ada Daddy seorang. Mummy terus menghilang dari hidup kami berdua selepas Mummy dan Daddy berpisah. Mungkin itu antara sebab mengapa Daddy menyepikan diri dari khalayak umum.

Warkah yang aku kirim kepada abang mba masih belum berbalas. Sunyi dan sepi kian mencengkam diri aku dan Daddy. Kalau dulu, ada keluarga itu tempat Daddy menumpang kasih dan bercerita, kini cuma tinggal aku. Dan sekarang kemahuan Daddy yang satu ini begitu menyesakkan aku.

Terlalu sibukkah Abang Mba, atau terlalu melampaukah permintaan yang aku utarakan di dalam warkah itu? Saban hari aku menanti dia di layar internet, namun mungkin kesibukan AidilFitri yang pastinya lebih meriah dari sambutan di Leeds ini tidak memberikan dia kesempatan untuk menemani aku di medan maya. Makin hari kerinduan ini makin sarat dan makin sukar aku bendung!

Sudah 2 jam aku duduk berteleku di hadapan pc bisu ini. Semuanya seperti tidak kena. Email yang masuk kedalam kotak Inbox tiada satupun yang menarik perhatianku. Email yang ditunggu tidak juga kunjung tiba. Akhirnya aku membuka lembaran baru dan menarikan jemari di atas keyboard. Aku tidak sanggup menanti lagi.

Abang yang sentiasa Su rindui,

Kenapa menyepi tanpa berita? Su tidak sanggup untuk terus dibelenggu dengan perasaan rindu yang sarat begini. Hari yang Su lalui tanpa khabar berita dari Abang dirasakan terlalu panjang.

Hari ini sahaja sudah 2 jam Su menunggu Abang di layar internet. Selalunya, tika begini Abang ada sini menemani Su dan cuba melengkapkan gambaran kebahagian yang ingin Su lakarkan. Impian Su bukan lagi milik Su seorang, tapi telah kita kongsi dan bina bersama-sama. Sampai hatikah Abang melihat impian itu musnah begitu sahaja?

Siang tadi sewaktu Su pulang dari menjamah hidangan di rumah terbuka salah seorang warga Malaysia di sini, Daddy sekali lagi bertanyakan tentang Abang. Agaknya, Daddy juga seperti Su, merindui kehadiran Abang dalam kehidupan kami yang sunyi dan sepi di sini. Apa yang harus Su jawab pada pertanyaan Daddy itu sedangkan Abang telah beberapa lama menyepikan diri. Su khabarkan kepadanya Abang sihat dan sedang menyambut kemeriahan AidilFitri bersama keluarga di sana.

Abang,

Jangan biarkan Su terus dirundung keresahan hari demi hari dalam menanti jawapan abang. Su bukan ingin mendesak, tapi abang snediri tahu betapa tinggi harapan yang su dambakan. Kami berdua di sini tidak mempunyai sesiapa lagi untuk bergantung harap melainkan kepada Abang. Budi baik dan jasa abang ini akan Su kenang dan abadikan sepanjang hayat Su.


Salam rindu dan salam sayang,
Souraya.
Leeds
4 Dec 2003, 3.00am


Aku larikan mouse ke butang send. Moga-moga sedikit masa lagi Abang mba akan membuka email ini dan memberikan aku satu kepastian tentang harapan itu.


Monday, December 08, 2003

DURI ANTARA KITA - SIRI 41

SUASANA santai malam Minggu membuatkan kami berdua mempunyai banyak masa untuk bersama-sama. Sejak balik kerja aku lihat dia dalam mood yang baik. Lepas Isyak dia bermain monopoli dengan anak-anak sementara aku menyiapkan makan malam.

Dia tidak moody... mahu tersenyum. Malah sewaktu dia mengambil air kosong di dapur tadi dia sempat mencuit pinggangku. Kemesraan begitulah yang kudambakan... sentuhan yang sedikit tetapi kesannya mendalam.

Selepas makan dia kata dengan anak-anak; Mak kamu ni kalau buka restoran, sure laku! Mungkinkah kerana lauk yang kuhidangkan membuatkan dia happy? Agaknya sambal telur kegemarannya benar-benar membuka selera, dua kali dia menambah nasi. Ataupun jangan-jangan kerana ikan tenggiri goreng kicap yang dah lama tidak kumasak membuatkan mood dia kembali ceria?

Ah tak kisahlah. Yang penting aku berbakti pada suami dan anak-anak. Itulah berkat yang kuharapkan. Along dan Angah, habis saja makan dan mengemas dapur, terus bawa adik-adik masuk bilik. Mereka hilang dalam bilik, menonton televisyen ataupun mungkin membaca komik.

Sebenarnya aku ada niat lain. Along dah tahu. Dia setuju dengan plan aku sejak petang. Dialah yang mencadangkan supaya aku jangan konfrantasi dengan suami, tak baik. Kesianlah adik-adik, katanya sambil memuncungkan bibir.

Kulihat anak mata Along... ya, dia anak yang baik dan sudah boleh diajak berbincang hal orang dewasa. Contohnya sebelum puasa lalu dia juga membelikan dua tiket untuk aku dan suami menonton wayang. Adik-adik biar Along yang jaga, katanya. Alhamdulillah, sungguhpun aku pernah mengecewakan Along dalam memilih calon isteri, tapi dia tidak menganggap hal itu suatu hukuman daripadaku.

"Abang, tak membelek perempuan cun itukah malam ni?" kataku perlahan, memegang bahunya dan meletakkan cawan kopi di meja.
Suamiku tersengih. Kami duduk bersebelahan, menonton televisyen. "Sayang kan tak suka abang hadap PC tu, kenapa malam ni macam perli pulak?"
"Mesti dia rindu, mesti dia ternanti-nanti sentuhan dan picitan lembut tangan abang..." Kataku perlahan, melontarkan misi yang sudah dirancang awal.
Suamiku mengerutkan dahi. Apakah dia sudah menghidu sesuatu?
"Abang, saya nak tanya ni, terpulanglah abang nak jawab atau tidak, saya tak paksa..."
"Eh, kenapa pulak sayang ni? Ada apa-apakah?" Kulihat suamiku mula gelisah. Dia bangkit mencapai akhabar hari itu, tetapi akhbar itu diletakkan kembali. Dia duduk semula.
"Abang, hidup ni macam judi. Menang kalah adalah adat. Tapi perkahwinan kita bukan satu perjudian kerana kita mahu sentiasa menang."
"Eh sayang, janganlah berfalsafah. Apa sebenarnya maksud sayang?"
"Abang... siapa Souraya? Saya terbaca suratnya pada abang!"
Aku menyoal pantas. Matanya kurenung dalam. Tangannya kugenggam erat. Aku tak mahu dia bangkit dari sisiku.
"Siapa dia? Abang janji nak kahwin dengan diakah?"
Suamiku diam. "Sayang...." Katanya sepatah.
"Abang, be practical okay... saya tak suka main sorok-sorok. Dah lama saya simpan duka, dah lama saya pujuk hati. Sampai bila abang nak koyak hati saya?"
Suamiku masih diam. Aku tak suka dengan situasi itu.
"Kenapa tak jawab soalan saya? Payah sangatkah hendak terangkan siapa wanita itu? Boleh arrange appointment saya dengan dia? Saya nak jumpa dia esok!" Kataku mendesak.

Tangannya kulepaskan perlahan. Aku bangkit dari sofa.
Kutinggalkan dia yang masih kelu seribu bahasa.


Wednesday, December 03, 2003

SUASANA RAYA BERSAMA SOURAYA - SIRI 40

HARI pertama bekerja di bulan Syawal disambut oleh hujan lebat yang menderu-deru. Dari tingkap ini kelihatan deretan kereta di jalan bagaikan terhenti dan pemandangan begini begitu cantik dengan barisan lampu kenderaan bagaikan pelita menyambut hari raya di kampung. Di pejabat hanya ada beberapa orang staf yang telah tiba, yang lainnya berkemungkinan besar masih bercuti atau akan tiba lewat akibat kesesakan jalan disebabkan oleh hujan lebat. Walaupun masih bercuti, aku mengambil keputusan untuk kembali bertugas kerana agak bosan berada di rumah. Mungkin isteriku ada rancangan untuk beraya sendiri di luar bersama kawan istimewanya. Nampaknya di rumah tidak ada sebarang persiapan atau juadah istimewa disediakan untuk menyambut sesiapa datang. Jika ada yang sudi berkunjung memadai agaknya hanya dengan menjamu kuih kuih tunjuk sahaja. Lagipula, di ofis mungkin Eyes sudah mula bekerja, ingin sekali aku berbual Syawal dengannya, jika semuanya berjalan teratur, ingin ku perkenalkan Eyes dengan Along suatu hari nanti.

Walaupun hari masih pagi, namun perut terasa begitu lapar sekali. Ingatkan hendak berpuasa enam, namun kerana tidak menjamah sebarang makanan untuk mengambil berkat sahur, hasrat tidak bertukar menjadi niat. Masalah biasa di pagi yang hujan begini ialah untuk menyeberangi jalan menuju kafetaria kerana ketiadaan payung dan kantin di blok ini masih ditutup sehingga minggu hadapan. Hujan lebat di Kuala Lumpur tidak begitu mencabar sebagaimana hujan renyai di kampungku yang semenjak raya pertama menyambut kepulanganku dan masih berterusan hingga di hari akhir kami berada di sana.

Samada hujan di kampung atau di bandar, manakan seromantik hujan di Leeds. Di bulan Syawal begini teringat keindahan Syawal di bumi penjajah, malahan Ramadan di sana adalah jauh meriah berbanding di negara sendiri. Apa tidaknya, sekembali sahaja ke KL semalam, mendapat berita bahawa jiran sebelah sudah kerugian lebih lapan ribu ringgit kerana rumahnya dicerobohi. Semuanya sia-sia belaka. Jika rumah kami di Eastery Avenue dulu, kalau PC 486 yang dicuri, keesokannya PC Pentium akan diganti, jika Nokia 9110 hilang, Nokia 9210i akan diganti dalam masa 24 jam. Oh hujan emas di negeri orang. Walau apapun situasi di sana dan di sini, hati teringatkan Souraya sebenarnya. Apa khabar dia di Syawal ini, bagaimana dia menyambut Syawal, bagaimana pula halnya dengan Uncle Sim?.

Syawal beberapa tahun dulu merupakan Syawal yang paling indah dalam kehidupan kami sekeluarga. Semasa di Malaysia, kami tidak pernah mengadakan rumah terbuka, namun di sana kami terpaksa mengadakannya kerana ia adalah merupakan tradisi turun temurun masyarakat Melayu Leeds. Yang moleknya, Tok Penghulu Mus telah menetapkan rumah mana dan kawasan mana yang perlu mengadakan rumah terbuka mengikut jadualnya yang tersendiri. Cara ini membolehkan semua rumah dikunjungi dan tidak akan ada yang terlepas, cantik sungguh perangangan Tok Penghulu yang kini sudah menjawat jawatan tinggi di universiti terkemuka tanahair. Bayangkanlah bagaimana sibuknya kami anak beranak menyediakan pelbagai masakan untuk jamuan hari rtaya bagi kira-kira 300 orang penghuni Leeds, namun semuanya tanggung beres. Along yang masih bersekolah menengah waktu itu mengetuai adik-adiknya menguli pelbagai jenis tepung untuk dijadikan kuih raya pelbagai bentuk, tetapi mempunyai rasa yang sama. Rempah ratus diperolehi di kedai Cina di bandar Leeds dan selebihnya dibeli di Cheetham Hill, Manchester. Semenjak pagi di hari minggu, rumah kami telah diserbu oleh pelbagai lapisan masyarakat di sini. Kebanyakannya tidak pernah dikenali, namun nampaknya mereka tahu biodata kami sekeluarga. Inilah pelajar-pelajar bujang pra-siswazah di University of Leeds dan Leeds Metropolitan University, dua buah universiti di Leeds ini. Malahan khabarnya ada juga yang datangnya dari Bradford, York dan Stoke-on-Trent. Mereka beramai-ramai datang beraya dan yang paling digemari ialah lemang yang bagaikan yang dibakar di Malaysia. Ramai yang terintai-intai di laman mencari baki buluh lemang.

Dalam keriuhan para tetamu, yang tiada rasanya hanyalah Uncle Sim sahaja. Souraya memang sibuk di dapur bagaikan tuan rumah juga. Uncle Sim sememangnya begitu, dia tidak akan datang dalam majlis keramaian begini, lantas majlis untuknya diadakan khas di sebelah malan, untuk kami sekeluarga sahaja.

Entah bila raya begini akan muncul semula di keluarga kami ….




Tuesday, December 02, 2003

SMS DIA MENGEJUTKAN AKU - SIRI 39

BERHARI-raya di kampung suami memanglah menjadi lumrah aku saban tahun. Tak payahlah nak gaduh-gaduh, tak perlulah bermasam muka. Tak payahlah nak o-som atau lat-tali-lat dengan anak-anak. Aku menurut sahaja dengan ikhlas. Malah telah kusiapkan dua pasang pakaian untuk emak mentua.

Along, Angah dan anak-anak lain sungguh gembira di kampung. Maklumlah kalau beraya di rumah ibuku, suasananya macam di KL jugak. Rumah teres, ada elektrik depan belakang, bilik mandi selesa dalam rumah, ada aircond... kalau di kampung memang suasananya betul-betul berbeza - ayam itik berkeliaran, angsa, kambing, lembu, kerbau, semuanya ada. Nak lebih seronok, bolehlah ke lata... Itulah hiburan mereka.

Agaknya kerana keletihan, hari raya pertama aku pening kepala, badan pula rasa lenguh-lenguh. Mungkin juga faktor usia, atau jarak perjalanan yang jauh. Tak pun makanan akhir-akhir Ramadan yang melampau kalorinya membuatkan kolesterol meningkat. Aku hanya berbaring di bilik selepas tetamu terakhir hari itu beransur pulang.

Along baik hati, nak tolong picitkan kepala. "Mana abah?" Soalku.
"Tu, kat depan, layan Tok Ngah. Tak apalah, biar Along picitkan mak."
Serba salah pulak rasa hati. Sepatutnya Along dah tak payahlah nak sentuh tubuhku, dia bukan budak-budak, dah bujang teruna...
"Along, dahlah. Kejap lagi cakap dengan abah, katakan mak panggil..."

Along menyelesaikan picitan di tengkuk dan keluar dari bilik. Balm Inaiba diletak di birai katil. Maghrib datang. Aku masih menanti dia masuk ke bilik. Hampa. Sepuluh minit lepas Isyak, barulah dia terpacul. Di sisinya Tokcik, bidan kampung yang memang bagus urutannya.

"Sorry sayang, abang letih uruskan hal si Usop. Penangan ubat batuk dengan air ketung... " Bla.. bla... bla... kata-kata suamiku hilang pergi begitu sahaja sebaik sahaja tubuhku disentuh oleh Tokcik.

Sedar-sedar rupanya sudah satu jam Tokcik mengurut. Sedap rasa badan. Kepala rasa ringan. Aku bangkit dari katil, membuatkan kopi pekat untuk Tokcik. Budak-budak ke mana? Rumah lengang.

"Mereka pergi beraya, tak sedap pulak nak kejutkan sayang tadi," kata suamiku. Aku lihat dalam tangannya ada handphoneku. Eh, kenapa pula telefon itu ada dalam genggamannya?

"Ni, ada messege... " katanya, menghulurkan handphone.
Dadaku berdebar tiba-tiba.

Aku segera mencapai handphone dan mengurut dada. Mesej itu belum sempat dibacanya. Dalam debar dada... aku membaca satu persatu mesej yang tertera;

"Selamat malam dear. i akan bertolak balik KL esok. doakan kesejahteraaan perjalanan i. sebagaimana i doakan u selamat walau di mana u berada..."

Alamak... aku urut dada!
Ada satu wajah yang terbayang di mata... hanyalah wajah dia!



Monday, December 01, 2003

SATU SYAWAL YANG PENUH CERITA - Siri 38

Riuh suara sepupu-sepupu, buat aku terjaga sekitar enam setengah pagi. Dingin pagi di kampung buat aku malas bangun dari tilam gebu nenek. Tapi lantaran Subuh sudah hampir kehabisan waktu aku segera ke telaga membersihkan diri. Telaga inilah yang menjadi tumpuan aku setiap kali pulang ke kampung. Telaga rumah nenek cuma depan tangga dapur. Dulu, telaga ini tidak bersimen. Kemudian tahun lepas aku berpakat dengan Abah. Duitkan sedikit untuk dinaktaraf sebagai bilik mandi bersimen dan ada pam elektrik mengepam airnya ke rumah. Kawasan telaga itu diberi atap dan dinding. Ia menjadi 4 bilik mandi dan tandas serba lengkap. Anak cucu nenek bukan sedikit. Jadi tiadalah aksi berebut bilik mandi lagi setiap lebaran. Semua pakat mahu mandi air telaga, dengan adanya pam elektrik, air telaga disalur terus ke 4 bilik mandi dan ke dapur rumah. Bekalan air paip memang ada, tapi jarang digunakan kerana karat dan bau klorinnya saja sudah meloyakan!

Dek kerana mengejar Subuh, aku lambatkan mandi. Usai solat dan wirid aku bergegas ke bilik mandi. Aku mahu mandi sunat aidilfitri dengan air telaga yang menyegarkan. 4 bilik mandi sedang penuh dengan sepupu-sepupu aku. Aku dapat idea nakal. Aku minta kain batik nenek. Sarung baik-baik dan aku timba air telaga. Malu? Bukan aku telanjang. Aku mandi tepi telaga bersimen. Jatuhkan timba bertali ke dalam telaga dan mengangkat airnya perlahan-lahan. Memang payah. Tapi begitulah agaknya aksi arwah atuk, nenek dan adik beradik abah dahulu. Pengalaman ini tidak ada di bandar. Rugi kalau tak buat kalau telaga sudah ada di depan mata! Nenek senyum-senyum lihat aku mandi bersahaja.

Khutbah Hari Raya sangat mempersona. Tak rugi aku tidur awal malam tadi kerana aku berazam tidak mahu terlentok semasa Khutbah Raya. Aku ke Masjid Al-Hidayah semalam untuk melihat papan kenyataan masjid, siapa yang akan membacakan khutbah raya. Tekaan aku betul, Tuan Haji Abdul Latip yang akan menyampaikan. Sejak dulu aku suka cara dia menyampaikan khutbah. Bersahaja dan menarik perhatian jemaah. Oleh kerana itulah aku suka mengambil cuti pulang ke kampung pada hari jumaat supaya dapat bersolat jumaat di kampung. Khutbah raya tahun ini berkisar tentang masyarakat Islam yang semakin menipis ukhwah silaturrahimnya. Apa taknya, rancangan tv lebih hebat hingga membuatkan kaum kerabat berhari raya di depan monitor televisyen. Itu tak termasuk bagi mereka yang ada ASTRO di rumah! Macam-macam program hari raya terhidang untuk ditonton. Layanan tetamu entah kemana. Bertandang apatah lagi. Oleh sebab itulah, sudah terjadi anak saudara tak kenal pak cik sendiri. Alhamdulillah, kami adik beradik tidak jadi sampai begitu sekali. Abah dan Mak didik kami kenal saudara mara sendiri. Cuma tahun lepas aku bagai kera sumbang. 4 tahun di perantauan buat aku lupa satu persatu wajah sepupu-sepupu aku. Aku harap dengan Lebaran kedua sejak pulang ke tanah air ini, aku takkan lupa lagi setiap wajah darah daging aku sendiri. Apatahlagi waktu-waktu lebaran ini.

Pulang dari menziarah kubur arwah datuk, aku lihat mak terbaring di bilik bujang abah dulu. Katanya tak sihat. Ini mesti gara-gara tak cukup rehat. Tambah pula cuaca tak mengizinkan. Rasanya aku nampak Mak mengangkat kain dalam renyai hujan semalam. Sentuh dahinya, memang terasa panas.

"Pening kepala tak, mak?", tanya aku membelah simpati.
"Aah, sakit sangat. Nak harap ayah kamu picitkan jangan haraplah!", balas mak acuh tak acuh.
"Alahai takkan masih dingin mereka berdua ni", ujar aku dalam hati.
"Meh, Along picitkan".

Aku lumur Balm Hijau Cap INAIBA buatan Indonesia ke bahu mak. Aku mulakan urutan di bahu mak sebelum ke dahinya. Apasalahnya berbakti kepada Mak semasa hayatnya. Aku segera teringat Hadis Nabi Muhammada SAW yang diriwayatkan oleh H.R. Bukhari dan Muslim; Abu Hurairah r.a.. Dia mengatakan, "Ada seorang datang menemui Rasulullah saw., lalu bertanya, 'Siapakah orang yang paling berhak mendapat bakti saya?' Beliau menjawab, 'Ibumu.' Kemudian ia bertanya lagi, 'Setelah itu siapa?' Beliau menjawab, 'Ibumu.' Kemudian ia bertanya lagi, 'Setelah itu siapa?' Beliau menjawab, 'Ibumu.' Kemudian ia bertanya lagi, 'Setelah itu siapa?' Beliau menjawab, 'Setelah itu bapamu.' *

Rupa-rupanya Mak tak makan apa-apa lagi sejak pagi. Aku ke dapur ambilkan ketupat, kuah lodeh dan kuah kacang. Masakan ini sengaja aku minta Makcik Zareda isteri Pakcik Roslan yang berasal dari Johor sediakan. Yalah, walaupun beraya di Pantai Timur, kenalah ada masakan lain untuk diperkenalkan kepada sanak-saudara di sebelah sini yang rata-rata berkahwin dengan orang tempatan. Entah mengapa, aku memang gemar masakan Johor meski mak dan abah bukan berasal dari situ. Mungkin bakal isteri aku orang Jawa Johor macam Pakcik Roslan? Mana tahu?.

Mak tak mahu makan asalnya. Tiada selera katanya. Aku pujuk juga sebab mahu mak makan ubat yang sudah tersedia sejak tadi. Aku suap pelan-pelan. Amboi, abah pun tak suap mak macam ini! Mak nampak berselera. Yalah orang demam kalau makan masakan berkuah dan panas-panas begitu memanglah mudah masuk ke tekak! Kemudian selesai makan, aku bagi mak dua biji pil ponstan warna putih. Aku minta Mak baring dan berehat. Aku bisik pada Abah, minta panggilkan Tokcik Fatimah untuk buat urutan susulan. Aku cuma urut biasa sahaja. Mana ada ilmu mengurut sepandai Tokcik.

Berhari raya di kampung mengingatkan aku pengalaman 4 tahun berhari raya di tanah orang. 4 kali itulah aku habiskan masa menyambut 1 Syawal dalam bilik kuliah. Mana ada cuti seperti di Malaysia. Syawal bagai tiada ertinya bagi Masyarakat Jepun yang tandus Nur Islamnya. Kadang-kadang cemburu juga, melihat sahabat handai pelajar Malaysia di Sebelah Barat, UK dan Amerika yang sempat berhari raya bersama masyarakat muslimnya. Ada sekali aku berhari raya dalam dewan peperiksaan. Menitis air mata masa menjawab peperiksaan! Nasib baik dapat jawab dengan baik. Begitulah penangan syawal di negara orang! Hujung minggu baru dapat berkumpul sesama pelajar Malaysia yang lain bergotong-royong menyediakan jamuan raya. Dapatlah merasa ketupat segera dan rendang yang tak cukup bahan. Bila diingatkan agak melucukan! Tapi itulah pengalaman kata orang.

Kami jemput juga rakan-rakan karib bangsa Jepun datang memeriahkan suasana. Nahoko? Setiap kali raya dialah orang pertama yang datang bukan sahaja untuk makan, tapi ringan tulang bantu menyediakan juadah hari raya. Dia gemar memasak dan cepat belajar. Nasi Goreng Kampung pun dia sudah reti masak! Ah! Nahoko mengingatkan aku tentang emelnya yang meminta aku hadir ke majlis perkahwinanannya. Masih tak berbalas. Pasti dia tertunggu-tunggu. Aku gelisah sebenarnya. Tarikh sudah hampir, tetapi satu keputusan pun aku tak buat. Pergi atau tidak? Meski dia sudah diambang perkahwinan. Ya, aku akui cinta aku pada Nahoko masih tinggi. Setinggi Gunung Fuji yang dilitupi salji!

| penyumbang |


Sri Diah
mba
Rudy Bluehikari

Kami Member GEJU


Bantuan Teknikal: cnma
JAD Versi Palm oleh: Ibnu Arif


Download Palm Reader(versi Palm, PPC, PC, Mac)
Download JAD dlm format pdf


kemaskini blog

eNOVEL Jangan Ada Dendam
Berapa Kerap JAD Perlu Dikemaskini?

Setiap Hari
2-3 kali seminggu
seminggu sekali
sekali-sekala

 | arkib |


Pengenalan

Siri 1   -   Siri 2   
Siri 3   -   Siri 4   
Siri 5   -   Siri 6   
Siri 7   -   Siri 8   
Siri 9   -   Siri 10  

Siri 11  -   Siri 12  
Siri 13  -   Siri 14  
Siri 15  -   Siri 16  
Siri 17  -   Siri 18  
Siri 19  -   Siri 20  

Siri 21  -   Siri 22  
Siri 23  -   Siri 24  
Siri 25  -   Siri 26  
Siri 27  -   Siri 28  
Siri 29  -   Siri 30  

Siri 31  -   Siri 32  
Siri 33  -   Siri 34  
Siri 35  -   Siri 36  
Siri 37  -   Siri 38  
Siri 39  -   Siri 40  

Siri 41  -   Siri 42  
Siri 43  -   Siri 44  
Siri 45  -   Siri 46  
Siri 47  -   Siri 48  
Siri 49  -   Siri 50  

Siri 51  -   Siri 52  
Siri 53  -   Siri 54  
Siri 55  -   Siri 56  
Siri 57  -   Siri 58  
Siri 59  -   Siri 60  

Siri 61  -   Siri 62  
Siri 63  -   Siri 64  
Siri 65  -   Siri 66  
Siri 67  -   Siri 68  
Siri 69  -   Siri 70  

Siri 71  -   Siri 72  
Siri 73  -   Siri 74  
Siri 75  -   Siri 76  
Siri 77  -   Siri 78  
Siri 79  -   Siri 80  

Siri 81  -   Siri 82  
Siri 83  -   Siri 84  
Siri 85  -   Siri 86  
Siri 87  -   Siri 88  
Siri 89  -   Siri 90  

November 2003
December 2003
January 2004
February 2004
March 2004
April 2004
May 2004
August 2004
October 2004
April 2005
May 2005
August 2006

| buku tetamu |

Visit my Guestbook!

| penafian |

semua tulisan di sini adalah rekaan penulis semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa, samada masih hidup atau telah meninggal. Jika ada persamaan ia hanyalah kebetulan sahaja.

| tagboard |

Powered by TagBoard
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Your E-mail: