Thursday, April 22, 2004

DULU... DULU IALAH... - SIRI 88

* Siri ini adalah tulisan Rudy Bluehikari dan telah diedit oleh Sri Diah.

KUPEJAM mataku rapat-rapat. Terasa pedih. Terasa sakit menyucuk. Otakku berfikir ligat. Terbayang wajah-wajah mereka yang dikasihi, satu persatu melintasi layar ingatan. Tapi aku tidak mengenali wajah yang satu itu... Bujur sirih, putih bersih wajahnya. Aku terpegun. Wajahnya mempersonakan. Persis Nahoko, wanita yang suatu masa dulu pernah menjadi teman hidupku.

Dia memelukku erat. Seperti tidak mahu melepaskan. Aku juga mendakapnya rapat. Rasa hangat. Tapi abah datang merentap aku dari dakapannya. Mimik mukanya penuh duka. Ada titis air mata menuruni lembah wajahnya. Terluka.

Aku meronta-ronta dalam dukungannya. Meraung mahu kembali kepadanya. Abah pujuk aku. Abah berbisik sesuatu ke telingaku. Antara lain katanya, mulai saat itu kami akan hidup berdua. Tatkala wanita itu kami tinggalkan, dia masih dengan esak tangis yang panjang.

Seingatku, kemudian kami masuk ke perut kapal terbang. "Jom kita pulang ke Kuala Lumpur," kata Abah.


Tuesday, April 13, 2004

RINDU BERLAPIS LAPIS SIRI 87

* Siri ini ditulis oleh Ibnu Ariff dan telah diedit oleh Sri Diah

DENGAN izin emak dan abah, aku dan Acik di Kuala Lumpur sekarang. Ada beberapa urusan yang perlu kami bereskan. Sudah semestinya mengenai Along....

Di stesen LRT itu, sambil duduk menanti adik perempuanku itu membelli tiket, air mataku hampir tumpah lagi. Gambar keluarga yang disisipkan Along dalam dompetku benar-benar mengusik jiwa. Kuperhatikan wajah Abah, Mak, Along, Achik dan diriku. Kutatap satu persatu wajah-wajah di dalam gambar - wajah gembira dan penuh kasih sayang. Sudah sekian tahun lamanya kami berlima hidup bahagia, saling menyayangi dan mengambil berat walau jarak dan masa kadangkala memisahkan kami. Aku tak sanggup ia dirampas dari hidupku sekarang. Tak sanggup! Kasih sayang keluarga yang selama ini telah membakar semangat aku mengejar kejayaan, melakukan yang terbaik dalam segalanya.

Tiba-tiba kurasakan diriku diperhatikan. Cepat-cepat aku beli dua tiket dari mesin vendor dan naik ke platform, Achik mengikuti sahaja dengan langkah tak bermaya. Achik pun masih tertanya-tanya akan nasib Along. Mak dan Abah telah seminggu ke negara matahari terbit dengan seribu harapan, namun sinar harapan masih kelam, belum nyata. Duduk sahaja dalam tren, fikiranku mula menerawang semula.

Along memang berkelakuan aneh sebelum dia berpergian, dia nampaknya terlalu cemburukan aku. Segala tingkah lakuku diawasinya, sekarang pun aku rasa masih diawasi. Semua panggilan kepadaku mesti ditapis terlebih dahulu, nasib baik semua panggilan hanyalah dari kawan-kawan perempuanku sahaja. Along tak puas hati, telefon bimbitku pun diperiksanya, SMS kepadaku dibaca
satu-persatu, log panggilan keluar masuk juga ditelitinya.

Lamunanku terhenti bila Achik tiba-tiba mengenggam tanganku, mencari
kekuatan, mengharap belaianku. Ku tatap wajah adikku itu, masih sugul,
tidak bermaya. Aku betulkan tudungnya itu, kuseka bibit-bibit air mata.
Sejak berita tragedi itu disampaikan entah berapa kali dia mengigau
menyebut-nyebut nama Along, dan setiap kali itu juga dia akan menangis
panjang. Namun begitu, dia begitu yakin Along masih hidup walau angka
korban nahas itu makin meningkat. Begitu optimis sekali dia!

Tren kami tiba di destinasi yang dituju - KLCC. Kami berdua berjalan
seiringan, berpimpin tangan, melalui laluan bawah tanah ke Suria KLCC,
moga dapat kami lupakan sementara musibah yang melanda kami ini. Sekali
lagi aku rasa kami diekori, segera kucepatkan langkah mengambil lif di
Ampang Mall terus ke tingkat dua dan menuju ke tempat yang dijanjikan,
Picnic Food Court. Kinokuniya, Isetan dan deretan kedai Jepun lainnya
mengingatkan aku pada Along lagi. Selalu dia belikan aku hadiah dari
cawangan kedai-kedai itu di sana.


Friday, April 02, 2004

REALITI INI BAK HEMPEDU - SIRI 86

AGAK payah untuk kupujuk hati. Suami pula masih mendiamkan diri. Barangkali dia juga sukar untuk menerima kenyataan. Tetapi bagiku kenyataan tetap kenyataan. Ia realiti yang tak boleh dinafikan. Seusia hidup Along, aku terima hakikat ini walau ia pahit sekalipun. Ya... Along bukan darah dagingku! Dia bukan anak yang kukendong sembilan bulan sepuluh hari. Dia bukan anak yang kususukan dengan air susuku sendiri. Dia anak wanita lain!

Tetapi tanyalah pada adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan yang mengenali keluarga kami bahawa Along tidak pernah kuanggap seperti orang asing. Malah kasih dan sayangku terhadap Along melebihi perhatianku terhadap Angah dan Acik, anak kandungku sendiri!

Suami masih lagi berbaring di katil hotel yang disediakan oleh pihak kedutaan. Kami diberi masa untuk berfikir sama ada mahu menjalani ujian DNA berkenaan atau tidak. Yang sahihnya namaku akan dikeluarkan dari senarai ujian berkenaan.

Sukar untuk kubayangkan apakah nasib Along sekarang. Apakah dia masih hidup? Atau apakah dia sudah meninggal dunia? Tetapi jika hidup, di manakah dia sekarang? Sihatkah dia? Jangan-jangan dia masih lagi terdampar di gigi pantai... atau barangkali dia sudah diselamatkan tetapi dia masih lagi mamai dan sukar mengingati kembali apa yang berlaku terhadap dirinya.

Jika dia selamat dan sihat, dia pasti bijak mengendalikan masalah. Dia mesti memohon pertolongan, menghubungi pejabat polis terdekat meminta bantuan. Apalagi dia fasih berbahasa Jepun. Dia pasti akan mencari jalan pulang...

Menanti masa berlalu bagai menanti detik tali gantung mencerut ke leher. Aku tidak ada mood untuk berbual. Suami pun kelihatan sugul dan resah. Dia bangkit dari katil, mundar-mandir dan tidak lama kemudian duduk semula di birai katil. Selepas itu dia bangkit, mundar mandir dan duduk semula. Fikiranku tambah berserabut dengan sikapnya itu.

"Abang, duduklah. Saya pening tengok abang macam tu!"
"Abang gelisah, sayang harus faham..."
"Saya pun. Kita sama-sama sayangkan Along. "
"Sayang, mari kita sembahyang. Kta mohon pada Tuhan supaya Along selamat."

Apabila telefon berdering, kami saling memandang. Tangan suami lebih dulu mencapai gagang itu dan pantas menekupnya ke telinga. Kulihat wajahnya berubah, dahinya berkerut sambil dia menarik nafas panjang...

"What?" Sepatah soalan terkeluar dari bibirnya.




| penyumbang |


Sri Diah
mba
Rudy Bluehikari

Kami Member GEJU


Bantuan Teknikal: cnma
JAD Versi Palm oleh: Ibnu Arif


Download Palm Reader(versi Palm, PPC, PC, Mac)
Download JAD dlm format pdf


kemaskini blog

eNOVEL Jangan Ada Dendam
Berapa Kerap JAD Perlu Dikemaskini?

Setiap Hari
2-3 kali seminggu
seminggu sekali
sekali-sekala

 | arkib |


Pengenalan

Siri 1   -   Siri 2   
Siri 3   -   Siri 4   
Siri 5   -   Siri 6   
Siri 7   -   Siri 8   
Siri 9   -   Siri 10  

Siri 11  -   Siri 12  
Siri 13  -   Siri 14  
Siri 15  -   Siri 16  
Siri 17  -   Siri 18  
Siri 19  -   Siri 20  

Siri 21  -   Siri 22  
Siri 23  -   Siri 24  
Siri 25  -   Siri 26  
Siri 27  -   Siri 28  
Siri 29  -   Siri 30  

Siri 31  -   Siri 32  
Siri 33  -   Siri 34  
Siri 35  -   Siri 36  
Siri 37  -   Siri 38  
Siri 39  -   Siri 40  

Siri 41  -   Siri 42  
Siri 43  -   Siri 44  
Siri 45  -   Siri 46  
Siri 47  -   Siri 48  
Siri 49  -   Siri 50  

Siri 51  -   Siri 52  
Siri 53  -   Siri 54  
Siri 55  -   Siri 56  
Siri 57  -   Siri 58  
Siri 59  -   Siri 60  

Siri 61  -   Siri 62  
Siri 63  -   Siri 64  
Siri 65  -   Siri 66  
Siri 67  -   Siri 68  
Siri 69  -   Siri 70  

Siri 71  -   Siri 72  
Siri 73  -   Siri 74  
Siri 75  -   Siri 76  
Siri 77  -   Siri 78  
Siri 79  -   Siri 80  

Siri 81  -   Siri 82  
Siri 83  -   Siri 84  
Siri 85  -   Siri 86  
Siri 87  -   Siri 88  
Siri 89  -   Siri 90  

November 2003
December 2003
January 2004
February 2004
March 2004
April 2004
May 2004
August 2004
October 2004
April 2005
May 2005
August 2006

| buku tetamu |

Visit my Guestbook!

| penafian |

semua tulisan di sini adalah rekaan penulis semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa, samada masih hidup atau telah meninggal. Jika ada persamaan ia hanyalah kebetulan sahaja.

| tagboard |

Powered by TagBoard
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Your E-mail: