DULU... DULU IALAH... - SIRI 88
* Siri ini adalah tulisan Rudy Bluehikari dan telah diedit oleh Sri Diah.
KUPEJAM mataku rapat-rapat. Terasa pedih. Terasa sakit menyucuk. Otakku berfikir ligat. Terbayang wajah-wajah mereka yang dikasihi, satu persatu melintasi layar ingatan. Tapi aku tidak mengenali wajah yang satu itu... Bujur sirih, putih bersih wajahnya. Aku terpegun. Wajahnya mempersonakan. Persis Nahoko, wanita yang suatu masa dulu pernah menjadi teman hidupku.
Dia memelukku erat. Seperti tidak mahu melepaskan. Aku juga mendakapnya rapat. Rasa hangat. Tapi abah datang merentap aku dari dakapannya. Mimik mukanya penuh duka. Ada titis air mata menuruni lembah wajahnya. Terluka.
Aku meronta-ronta dalam dukungannya. Meraung mahu kembali kepadanya. Abah pujuk aku. Abah berbisik sesuatu ke telingaku. Antara lain katanya, mulai saat itu kami akan hidup berdua. Tatkala wanita itu kami tinggalkan, dia masih dengan esak tangis yang panjang.
Seingatku, kemudian kami masuk ke perut kapal terbang. "Jom kita pulang ke Kuala Lumpur," kata Abah.
RINDU BERLAPIS LAPIS SIRI 87
* Siri ini ditulis oleh Ibnu Ariff dan telah diedit oleh Sri Diah
DENGAN izin emak dan abah, aku dan Acik di Kuala Lumpur sekarang. Ada beberapa urusan yang perlu kami bereskan. Sudah semestinya mengenai Along....
Di stesen LRT itu, sambil duduk menanti adik perempuanku itu membelli tiket, air mataku hampir tumpah lagi. Gambar keluarga yang disisipkan Along dalam dompetku benar-benar mengusik jiwa. Kuperhatikan wajah Abah, Mak, Along, Achik dan diriku. Kutatap satu persatu wajah-wajah di dalam gambar - wajah gembira dan penuh kasih sayang. Sudah sekian tahun lamanya kami berlima hidup bahagia, saling menyayangi dan mengambil berat walau jarak dan masa kadangkala memisahkan kami. Aku tak sanggup ia dirampas dari hidupku sekarang. Tak sanggup! Kasih sayang keluarga yang selama ini telah membakar semangat aku mengejar kejayaan, melakukan yang terbaik dalam segalanya.
Tiba-tiba kurasakan diriku diperhatikan. Cepat-cepat aku beli dua tiket dari mesin vendor dan naik ke platform, Achik mengikuti sahaja dengan langkah tak bermaya. Achik pun masih tertanya-tanya akan nasib Along. Mak dan Abah telah seminggu ke negara matahari terbit dengan seribu harapan, namun sinar harapan masih kelam, belum nyata. Duduk sahaja dalam tren, fikiranku mula menerawang semula.
Along memang berkelakuan aneh sebelum dia berpergian, dia nampaknya terlalu cemburukan aku. Segala tingkah lakuku diawasinya, sekarang pun aku rasa masih diawasi. Semua panggilan kepadaku mesti ditapis terlebih dahulu, nasib baik semua panggilan hanyalah dari kawan-kawan perempuanku sahaja. Along tak puas hati, telefon bimbitku pun diperiksanya, SMS kepadaku dibaca
satu-persatu, log panggilan keluar masuk juga ditelitinya.
Lamunanku terhenti bila Achik tiba-tiba mengenggam tanganku, mencari
kekuatan, mengharap belaianku. Ku tatap wajah adikku itu, masih sugul,
tidak bermaya. Aku betulkan tudungnya itu, kuseka bibit-bibit air mata.
Sejak berita tragedi itu disampaikan entah berapa kali dia mengigau
menyebut-nyebut nama Along, dan setiap kali itu juga dia akan menangis
panjang. Namun begitu, dia begitu yakin Along masih hidup walau angka
korban nahas itu makin meningkat. Begitu optimis sekali dia!
Tren kami tiba di destinasi yang dituju - KLCC. Kami berdua berjalan
seiringan, berpimpin tangan, melalui laluan bawah tanah ke Suria KLCC,
moga dapat kami lupakan sementara musibah yang melanda kami ini. Sekali
lagi aku rasa kami diekori, segera kucepatkan langkah mengambil lif di
Ampang Mall terus ke tingkat dua dan menuju ke tempat yang dijanjikan,
Picnic Food Court. Kinokuniya, Isetan dan deretan kedai Jepun lainnya
mengingatkan aku pada Along lagi. Selalu dia belikan aku hadiah dari
cawangan kedai-kedai itu di sana.
REALITI INI BAK HEMPEDU - SIRI 86
AGAK payah untuk kupujuk hati. Suami pula masih mendiamkan diri. Barangkali dia juga sukar untuk menerima kenyataan. Tetapi bagiku kenyataan tetap kenyataan. Ia realiti yang tak boleh dinafikan. Seusia hidup Along, aku terima hakikat ini walau ia pahit sekalipun. Ya... Along bukan darah dagingku! Dia bukan anak yang kukendong sembilan bulan sepuluh hari. Dia bukan anak yang kususukan dengan air susuku sendiri. Dia anak wanita lain!
Tetapi tanyalah pada adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan yang mengenali keluarga kami bahawa Along tidak pernah kuanggap seperti orang asing. Malah kasih dan sayangku terhadap Along melebihi perhatianku terhadap Angah dan Acik, anak kandungku sendiri!
Suami masih lagi berbaring di katil hotel yang disediakan oleh pihak kedutaan. Kami diberi masa untuk berfikir sama ada mahu menjalani ujian DNA berkenaan atau tidak. Yang sahihnya namaku akan dikeluarkan dari senarai ujian berkenaan.
Sukar untuk kubayangkan apakah nasib Along sekarang. Apakah dia masih hidup? Atau apakah dia sudah meninggal dunia? Tetapi jika hidup, di manakah dia sekarang? Sihatkah dia? Jangan-jangan dia masih lagi terdampar di gigi pantai... atau barangkali dia sudah diselamatkan tetapi dia masih lagi mamai dan sukar mengingati kembali apa yang berlaku terhadap dirinya.
Jika dia selamat dan sihat, dia pasti bijak mengendalikan masalah. Dia mesti memohon pertolongan, menghubungi pejabat polis terdekat meminta bantuan. Apalagi dia fasih berbahasa Jepun. Dia pasti akan mencari jalan pulang...
Menanti masa berlalu bagai menanti detik tali gantung mencerut ke leher. Aku tidak ada mood untuk berbual. Suami pun kelihatan sugul dan resah. Dia bangkit dari katil, mundar-mandir dan tidak lama kemudian duduk semula di birai katil. Selepas itu dia bangkit, mundar mandir dan duduk semula. Fikiranku tambah berserabut dengan sikapnya itu.
"Abang, duduklah. Saya pening tengok abang macam tu!"
"Abang gelisah, sayang harus faham..."
"Saya pun. Kita sama-sama sayangkan Along. "
"Sayang, mari kita sembahyang. Kta mohon pada Tuhan supaya Along selamat."
Apabila telefon berdering, kami saling memandang. Tangan suami lebih dulu mencapai gagang itu dan pantas menekupnya ke telinga. Kulihat wajahnya berubah, dahinya berkerut sambil dia menarik nafas panjang...
"What?" Sepatah soalan terkeluar dari bibirnya.