Monday, February 23, 2004

IKHLASKAH PENGAKUANNYA ITU? - SIRI 80

AKU lemas dalam perut JAL ini. Lapangan Terbang Naha, di Okinawa masih jauh lagi. Kutelek jam ditangan, baru saja dua jam setengah perjalanan ini tetapi kebosanan sudah jadi raja dalam dadaku. Sakit hati dan curiga saling tindan menindan, menyesakkan hati.

Suamiku masih lagi lena di sebelah. Kubayangkan mimpi manisnya... aku menekup mata! Aku tak sanggup melihat suamiku dalam keriangan bersama wanita lain. Kupekup telingaku! Aku tak sanggup mendengar gelak ketawa suamiku bersama wanita lain!

Akhirnya kukejutkan dia dari lena. "Abang! Bangunlah... saya bosan ni!" Kataku, menolak-nolak bahunya supaya dia bangkit dari lena.
Suamiku terkejut, menenyeh matanya yang kelat. "Sabarlah sayang, sekejap lagi kita sampai."
"Tapi mimpi abang telah membawa abang entah ke mana-mana, entah sampai ke hujung dunia mana... entah tengah bergelak ketawa dengan sesiapa!" Jerkahku, memuncungkan bibir.
Dia tersenyum. "Mimpi? Eh, pandai sayang teka. Memang abang tengah bermimpi tadi...."
"Betulkan? Tengah mimpi dengan perempuan tadilah tu... tengah happy!"
Kali ini dia tersengih pula. Sahlah dia sedang bercengkerama dengan Cik Siti Nor Eyes tadi... sahlah mereka sedang bergembira.
"Bukanlah sayang... abang tengah mimpikan Along!"
"Along? Macamana dia?" Aku terpinga, tak sabar ingin tahu.
"Along selamat. Along sihat," katanya. Bersungguh.
"Abang, itu hanya mimpi. Saya tak percaya."
"Oklah, itu hanya mimpi, so sayang pun janganlah percayakan mimpi abang dengan perempuan lain... itu hanya mimpi." Katanya semula, memulangkan paku buah keras.
"Ni, baca surat ni." Kataku, menghulurkan cebisan kertas dalam genggaman tanganku.
"Dah hancur, macamana abang nak baca?"
"Saya marah ni, saya sakit hati!" Kataku jujur, hiba. Cebisan kertas itu kumasukkan ke dalam poketnya semula.
"Sayang berhak, sayangkan isteri abang?"
"Habis tu kenapa abang layan perempuan lain?"
"Siapa kata abang layan, mereka yang datang pada abang..." Katanya perlahan. Aku terpana dengan kata-kata itu... tetapi daripada gerak laku suamiku, sah mereka saling membalas. Bukan perempuan itu sahaja terhegeh-hegeh mencari suamiku.
Suamiku menarik tanganku dan meletakkan ke pahanya. Aku pasrah. Hatiku sudah tercarik dan dia berhak untuk memujukku semula. Aku menarik nafas panjang dengan harapan pengakuan itu suatu yang benar.

Tiba-tiba ingatan pada Along mulai datang. Penerbangan ini alangkah lambatnya... aku dah tak sabar hendak mengetahui keadaan Along. Entah apa yang terjadi padanya hanya ALLAH sahaja yang tahu. Aku terkenang kembali gelagat Along sehari sebelum dia bertolak untuk menghadiri majlis perkahwinan Nahoko.

Semua gambar kami dicetak dan ada yang discan ke PDA. Dan Along pun kerap bergaduh dengan Angah. Dia cemburu sangat pada Angah. Mereka benar-benar tak serasi!

Wednesday, February 18, 2004

PERCATURAN SEBUAH CINTA - SIRI 79

* Siri ini ditulis oleh Ibnu Ariff dan telah diedit oleh Sri Diah.

AKU
sendirian di rumah hari ini. Takut? Ya... ada juga sedikit rasa takut memandangkan aku anak gadis belasan tahun... Achik telahpun pergi ke sekolah kerana ada latihan pasukan beruniform di sekolahnya. Kalau ikutkan hati aku mahu menghantarnya tadi menggunakan kereta Mercedes abah... tapi memandangkan aku tak ada lesen memandu, aku tak mahu tanggung risiko. Lebih baiklah Acik pergi naik teksi Pakcik Bakar yang memang selalu kami gunakan khidmatnya jika timbul perkara-perkara urgent sebegini.

Air mata Acik tumpah juga setitik dua apabila terpaksa pergi naik teksi, sebab selalunya abah atau mak yang menghantarnya. Kupujuk Acik berkali-kali. Kukatakan, "sabarlah Acik, ini semua dugaan tuhan untuk menguji ketabahan keluarga kita... semoga ini semua ada hikmahnya. Selagi tidak terjumpa sekujur tubuh Along, kita masih ada sinar harapan. Tidak kira walau sekelam mana sekali pun." Acik diam dan angguk perlahan.

Dalam kesendirian ini aku dikejutkan dengan bunyi besi pagar digoncang. Dua orang wanita tercegat di pintu pagar. Fikiranku terus sahaja tertancap pada pepatah; di mana ada gula di situ ada semut. Ya... mereka adalah wartawan daripada TV3 berdasarkan kenderaan yang berlabuh di luar pagar.

Memang sejak dua tiga hari ini teratak Seri Mahligai milik kami menjadi tumpuan pihak akhbar dan televisyen dan orang perseorangan. "Assalamualikum dik... mak dengan abah ada?" Soal mereka. Aku menggeleng sambil melangkah ke pintu pagar.

"Saya Kak Aliza dan sebelah ni Kak Siti. Kami kawan pada mak adik. Boleh kami berjumpa dengan mak adik?"

"Maaf kak, mak dengan abah tak ada di rumah. Mereka sudah bertolak ke Jepun."

"Bila mereka bertolak? Ada apa-apa khabar terbaru dari Jepun? Apa pula kata Wisma Putra?" Soal mereka bertalu-talu. Aku mula lemas dengan soalan wartawan. Sudahlah semalam aku dihujani aneka soalan daripada pihak akhbar, hari ini pula aku disoal oleh pihak televisyen.

"Boleh tak kalau kami pinjam beberapa keping gambar abang kamu yang hilang di Jepun tu?" Soal Kak Aliza pula. Hatiku berkata-kata… bolehkah kuberikan gambar-gambar Along? Fikiranku ligat berfikir antara akal logika dan rasa prasangka.

"Err maaf kak. Mak dan abah tak benarkan. Saya tak boleh beri." Kataku tegas walaupun dirayu berkali-kali. Akhirnya mereka pergi dan aku berjanji akan memberi kerjasama sekiranya mendapat keizinan daripada mak dan abah. Mereka minta nombor telefon rumah, ya… aku beri dengan rela hati.

Sebaik sahaja mereka pergi, muncul seorang wanita yang amat kukenal rupa parasnya. Kami pernah terserempak di Hospital Tengku Ampuan Afzan dulu. Cik Siti Nor Eyes! Apa yang dia mahu hingga sanggup datang ke rumah pula?

Dialah yang telah menghancurkan hati Mak, mencalarkan hatiku dan menjadikan perjalanan pulang kami dari Kuantan bagai satu mimpi ngeri yang panjang. Oleh itu kehadirannya di Sri Mahligai ini memang tidak dialu-alukan! Cik Siti Nor Eyes patut faham akan perkara itu!

Dia menghampiriku dan memberikan salam. "Janganlah marah, abah kamu yang suruh akak datang jenguk-jengukkan Angah dengan Acik di rumah. Maklum kamu berdua anak dara..."

Kuanggukkan kepala begitu sahaja, tak berkata apa. Sudah kujangka itu semua. Adakah abah mahu aku berbaik-baik dengannya selama abah dan mak ke Okinawa? Tidak sama sekali! Dia adalah musuh aku dan mak, dan musuh harus diusir! Kubiarkan sahaja dia resah menunggu aku menjemputnya masuk

"Akak minta maaf banyak-banyak atas apa yang berlaku di Kuantan kelmarin. Akak tak terniat nak..."

"Tak terniat nak apa? Merampas abah daripada mak?" Jerkahku memotong katanya. Aku risau, di saat nasib Along tak menentu, masa inilah masalah dia dengan abah muncul. "Jangan haraplah awak dapat kahwin dengan abah saya!" Jeritku dan menoleh membelakangkan Cik Siti Nor Eyes.

Tatkala aku berpaling, rupanya selain Cik Siti Nor Eyes, ada seorang lagi wanita di sisinya!
Siapakah wanita bermata sepet itu? Soalku dalam hati.

"Apa? Awak nak kahwin dengan abah budak ni? Eh, awak siapa?" Soal wanita bermata sepet itu pada Cik Siti Nor Eyes. Muka putihnya tiba-tiba menjadi merah dek kemarahan dan rasa kecewa. Air jernih mula bergenang di matanya. Beg pakaian yang dibawanya dilepaskan. Dia berlari terburu-buru ke arah jalan.

Siti Nor Eyes terjerit-jerit memanggil-manggil nama wanita itu. "Souraya! Souraya Sim!" Namun wanita itu langsung tidak menoleh ke belakang, terus sahaja meluru ke tengah jalan raya dan pada masa yang sama sebuah motosikal menuju tepat ke arahnya!

Tika itu, masa bagai terhenti seketika. Kunampak jelas motorsikal itu begitu hampir mengenai dirnya. Kemudian tiba-tiba muncul sahaja seorang lelaki menyentapnya ke tepi, ke tempat yang selamat. Nor Eyes terus sahaja berlari ke arah wanita itu yang masih terkejut.

Souraya, Souraya Sim... Wajah yang pernah kulihat bersilih ganti dalam benakku namun tiada orang lain yang kukenali bernama sedemikian melainkan jiran kami semasa di Easternly Avenue, Yorkshire dahulu.

"Saya Irwan... cik tak apa-apa?" Soal lelaki itu sambil membuka cermin mata hitamnya. Ah, lelaki ini! Bukankah dia yang kami jumpa Ramadan yang lalu di 7-Eleven? Lelaki ini juga musuh kebahagiaan kami sekeluarga.

"Saya ke sini kerana mak budak-budak ini menyuruh saya melihat mereka selama ketiadaannya di Malaysia," kata Irwan.

Aku terpinga. Dadaku berdesup dengan rasa marah. Akhirnya kutinggalkan mereka bertiga masih di pintu pagar Sri Mahligai. Aku melangkah longlai masuk ke rumah.





Friday, February 13, 2004

DIA TIDAK BERTEPUK SEBELAH TANGAN - SIRI 78

TIADA apa yang menarik di luar sana. Kepulan awan memutih, bergumpal-gumpal. Hanya sesekali jarum cahaya mentari memecah kepulan awan. Sesekali ia datang dan kemudian ia hilang dan datang lagi. Kepulan komulus pula tanpa jemu-jemu berlumba-lumba menampar pandangan. Situasi itu amat membosankan. Perlahan-lahan kututup cermin kecil di sebelah kananku itu.

Aku menoleh ke sisi, ternyata suamiku sedang tidur setelah sebentar tadi kami puas berbicara soal hati dan perasaan. Aku yang tak lena... Fikiranku tidak tenteram. Aku cemburu dengan dengkurannya, aku cemburu dengan ketenangan yang dimilikinya kala itu. Aku berperang dengan ketidaktenteraman jiwaku.

"Sayang jangan pesimis okey... tolong sematkan dalam fikiran yang abang bukan segila yang sayang sangka. Abang masih waras. Abang sayang pada keluarga kita. Abang sayangkan anak-anak," katanya bersungguh-sungguh. Aku sukar hendak percaya dengan apa yang kudengar itu.

"Tapi itu hanya di bibir. Apa yang saya lihat. Apa yang saya dengar, tak sama dengan apa yang abang cakapkan itu. Abang jangan berselindung. Berpuluh tahun berkahwin, sekilas sahaja abang berubah saya dapat rasa," kataku, jujur.

Matanya kurenung dalam, mentafsir peribadinya. Mentafsir erti cinta dalam dadanya. Ternyata dia tak berani bertentang mata, sekejapan sahaja dia terus melarikan anak matanya ke arah penumpang di sebelah kami.

"Siang di tempat kerja, abang bukan hak saya lagi. Dan apabila di rumah abang sepatutnya menjadi hak kami anak beranak.... tapi sebaliknya tidak. Abang tak dapat kami miliki. Abang sibuk dengan kepuasan abang di hadapan pc... perempuan cantik itukah yang lebih penting daripada kami?"

Dia diam. Perlahan-lahan nafas ditarik dan dilepaskan. "Tapi sekurangnya abang ada depan mata anak-anak... abang tak keluar hingga balik jauh malam."

"Ya, abang ada depan mata kami. Tapi hati abang bukan milik kami. Hati itu abang hantar jauh ke dunia lain, dengan orang lain, bersama insan yang hanya abang saja yang tahu..."

"Sayang cemburu?"

"Yes. Saya cemburu!"

"Sayang curiga?"

"Yes. Malah lebih daripada itu, Mungkin juga sakit hati... ralat, terkilan dan tak tahu apa lagi istilah yang serupa..."

"Sayang jangan cakap macam tu..." Katanya memujuk.

"Abang... Hati saya dah kosong. Hidup ni rasa dah tak ada makna bila Along jadi macam ni. Saya sayang Along. Along jantung hati saya...." Aku mula menangis dan sedih. "Tapi saya tengok abang biasa sahaja. Abang sedikit pun tak rasa sedih dan kecewa..." Kataku, protes.

"Abang tak mahu tunjuk abang sedih. Abang tak nak sayang down." Tangannya cepat-cepat mencapai tanganku. Tangan itu dibawa ke mulutnya dan dikucup perlahan...

Apakah itu ucapan dan perlakuan sebuah kejujuran? Sedangkan aku tahu di hatinya ada dua tiga orang wanita bersilih ganti. Antara wanita-wanita itu, di mana dia letakkan diriku?

"Abang yakin Along okey. Dia selamat. Telepati abang memberi petunjuk dia selamat, percayalah."

"Tak boleh percaya seratus peratus dengan telepati tu..."

"Tapi ia tak pernah mengecewakan abang. Abang dah selalu test six sense abang tu... ia tak pernah mengecewakan.

Oh my God... aku syukur kalau tekaan tu tepat, tapi kalau naluri tu tak betul, apakah nasib Along sekarang? Agaknya kerana percaya dengan naluri itulah yang membuatkan dia mudah sahaja terlena sedangkan aku terkelip-kelip melayan mata...

Dengan harapan suamiku tidak terjaga, perlahan-lahan kucapai sampul di dalam poket jaketnya. Sampul itu diserahkan oleh Siti Nor Eyes di dewan berlepas tadi, sebelum masing-masing berpisah.

Dan apa yang kujangka tepat. Nota ringkas itu sarat dengan perasaan. Aku tahu ini bukan sandiwara. Suamiku tidak bertepuk sebelah tangan!

Kalau umur Along panjang... Along tolonglah mama!

Tuesday, February 10, 2004

DARI HEATHROW KE KLIA MEMBURU RINDU --- SIRI 76

Termanggu-manggu aku sendirian di bilik hotel tingkat lapan belas ini. Terasa bosan. Sekali lagi aku cuba mendail nombor telefon yang dibekalkan itu. Aku tidak mahu mengalah. Aku pasti dia juga pasti menunggu kehadiranku. Dia pasti tidak sabar untuk bertemu, dan meleraikan segala permasalahan yang melanda semenjak sekian waktu.

Nada dering talian disambungkan bergema di cuping teling. Lama tak berjawab. Akhirnya nada itu berbunyi panjang tanda tiada sambutan di sebelah sana. Aku melepaskan keluhan. Ke mana dia pergi? Sayang sekali dia tidak meninggalkan nombor telefon bimbitnya, atau akukah yang culas, tidak ingat untuk meminta darinya? Terasa sedikit kesal menyelubungi diri.

Aku tidak mahu mengalah, aku nekad akan terus mencarinya hingga ketemu. Kalau tidak, sia-sia segala usaha yang aku lakukan ini. Jalan terakhir yang aku ada ialah dengan pergi ke rumah atau pejabatnya. Ya, aku ada alamat tempat kediamannya. Tetapi aku rasa tidak manis untuk menyerbu begitu. Biarlah dahulu, sabarlah hati. Aku akan berusaha lagi menghubunginya nanti. Andai tidak ada perkembangan yang baik, barulah aku menjejaknya hingga ke sana.

Penat dalam 12 jam penerbangan dari Heathrow ke KLIA bertambah parah bila hajat di hati tidak kesampaian. Entah mengapa aku memilih Heathrow yang mengambil masa 5 jam perjalanan dengan National Express berbanding dengan lapangan terbang Manchester yang Cuma sejam lebih sedikit sahaja jaraknya dari kota Leeds. Sudahlah begitu, sepatutnya aku menggunakan perkhidmatan perkhidmatan UK Railway Network sahaja dari stesen Leeds ke Heathrow yang lebih selesa. Oh pelbagai kesilapan dalam pemilihanku rupanya. Mungkin kedatangan aku ke Malaysia ini juga suatu kesilapan. Papa memang semenjak dari dulu tidak begitu setuju dengan hasrat ini. Aku cukup hairan dengan sikap papa yang langsung tidak mahu menjejakkan kakinya ke negara tempat dia membesar dan menghabiskan zaman kanak-kanak dan remajanya. Tentu ada sesuatu yang ingin disembunyikannya dari pengetahuan aku.

Memandangkan ini bukanlah perjalanan pertamaku ke Malaysia, maka aku tidak begitu risau untuk datang bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Sejak ketibaanku dua hari yang lepas, dan sejak aku menjejakkan kakiku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 9.50pagi hari Selasa yang lalu aku sudah cuba menghubunginya. Panggilan pertama tidak bersambut. Mungkin dia dan semua isi rumahnya keluar menjalankan aktiviti harian. Aku membuat pilihan untuk mencari tempat penginapan. Aku pilih hotel CitiTel yang terletak dibangunan kompleks membeli belah MidValley. Senang untuk aku bergerak mencari makan dan minum sendirian disitu. Mudah. Semuanya ada bawah satu bumbung.

Sekiranya dalam sehari dua ini aku masih gagal menemuinya, akan kuusahakan sendiri ke Bukit Aman dan seterusnya ke Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya untuk mengetahui status permohonanku yang telah tersadai sekian lama.
Kenapa dia tidak dapat aku hubungi di saat-saat keberangkatan ku ke sini? Kemana dia menghilang, begitu lama tanpa ada khabar dan berita. Penat aku jejakinya namun tidak berhasil. Dalam rasa kecewa yang menyelubungi malam, aku akhirnya terlena.


* oleh Souraya dan diedit oleh mba

Thursday, February 05, 2004

AKU YANG KELIRU ATAU TERTIPU ? SIRI 75

AKU belum pernah ke Jepun. Bumi Sakura itu terlalu asing bagiku. Bagaimanapun melalui pembacaan aku tahu serba sedikit tentang negara matahari terbit itu terutama tentang sikap golongan lelakinya yang rajin bekerja dan suka minum sake. Aku juga tahu serba sedikit tentang budaya masyarakat di sana yang masih lagi utuh terpelihara.

Bagaimanapun aku tahu banyak tentang nabe (mi), tempura, tepanyaki, sup belut dan pelbagai jenis makanannya yang senang diperolehi di restoran-restoran Jepun di Kuala Lumpur. Restoran paling popular dan kerap kukunjungi ialah Restoran Kampachi di Hotel Equatorial. Tapi detailnya pengetahuanku tentang makanan Jepun tak sama dengan ceteknya pengetahuanku tentang Gunung Fujiyama, Tokyo, Niigata dan lain-lain bandarnya.

Penerbangan yang bakal kutempuhi nanti akan membawa aku yang tak tahu apa-apa tentang Lapangan terbang Naha dan bandar di hujung kepulauan itu. Sememangnya di saat ini kuharapkan pengalaman suamiku kerana dia lebih mahir tentang bandar kecil itu kerana sudah beberapa kali dia ke sana.

Namun kini kelibatnya pun aku tak nampak. Di balai berlepas itu aku masih lagi menggenggam dua boarding pass. Aku memang nekad, kalau suamiku tidak muncul juga aku tetap akan melangkah masuk ke perut kapalterbang dan bergabung dengan penumpang lain untuk ke negara Sakura itu.

Aku akui memang aku rapat dengan Along. Sekarang, bila keadaan keselamatan Along masih lagi samar-samar, aku jadi lebih tidak menentu. Sekarang, perlahan-lahan kucuba campakkan egoku terhadap Along. Rasa prejudisku terhadap wanita Jepun yang menjadi pilihan Along dulupun cuba kuhapuskan. Tetapi tak boleh. Aku tetap tak suka dengan wanita Jepun. Aku tahu puncanya mengapa. Malah suamiku lebih tahu mengapa aku tak restui Along bercinta dengan wanita dari keturunan bermata sepet itu.

Tiba-tiba terdengar namaku dipanggil. Kutoleh ke kanan. Ya, suamiku sedang berlari-lari anak ke arahku. Dia kelihatan amat kalut. Rambut dan pakaiannya tidak terurus, membuatkan dia kelihatan lebih tua daripada usianya yang sebenar.

"Sorry, abang lewat. Tersilap info. Lagipun banyak perkara datang tanpa dirancang," katanya. Aku diam, memerhati gelagatnya. Dia serba salah. Dia gelisah tidak menentu apabila pandangan mataku masih lagi tajam menikam kelibat wanita di sebelahnya.
"Sayang... janganlah pandang macam tu," katanya lagi.
"Yang memandang ni ialah mata saya. Hak saya. Apa pula hak wanita di sebelah abang? Teman wanita siapa? Dia pun nak ke Naha jugakah?" Soalku bertalu-talu.
"Dia... dia... Cik Siti Nor Eyes."
Kutekup telingaku. Aku tak mahu mendengar nama itu.
Kututup mataku rapat-rapat. Aku tak mahu melihat wajahnya!

| penyumbang |


Sri Diah
mba
Rudy Bluehikari

Kami Member GEJU


Bantuan Teknikal: cnma
JAD Versi Palm oleh: Ibnu Arif


Download Palm Reader(versi Palm, PPC, PC, Mac)
Download JAD dlm format pdf


kemaskini blog

eNOVEL Jangan Ada Dendam
Berapa Kerap JAD Perlu Dikemaskini?

Setiap Hari
2-3 kali seminggu
seminggu sekali
sekali-sekala

 | arkib |


Pengenalan

Siri 1   -   Siri 2   
Siri 3   -   Siri 4   
Siri 5   -   Siri 6   
Siri 7   -   Siri 8   
Siri 9   -   Siri 10  

Siri 11  -   Siri 12  
Siri 13  -   Siri 14  
Siri 15  -   Siri 16  
Siri 17  -   Siri 18  
Siri 19  -   Siri 20  

Siri 21  -   Siri 22  
Siri 23  -   Siri 24  
Siri 25  -   Siri 26  
Siri 27  -   Siri 28  
Siri 29  -   Siri 30  

Siri 31  -   Siri 32  
Siri 33  -   Siri 34  
Siri 35  -   Siri 36  
Siri 37  -   Siri 38  
Siri 39  -   Siri 40  

Siri 41  -   Siri 42  
Siri 43  -   Siri 44  
Siri 45  -   Siri 46  
Siri 47  -   Siri 48  
Siri 49  -   Siri 50  

Siri 51  -   Siri 52  
Siri 53  -   Siri 54  
Siri 55  -   Siri 56  
Siri 57  -   Siri 58  
Siri 59  -   Siri 60  

Siri 61  -   Siri 62  
Siri 63  -   Siri 64  
Siri 65  -   Siri 66  
Siri 67  -   Siri 68  
Siri 69  -   Siri 70  

Siri 71  -   Siri 72  
Siri 73  -   Siri 74  
Siri 75  -   Siri 76  
Siri 77  -   Siri 78  
Siri 79  -   Siri 80  

Siri 81  -   Siri 82  
Siri 83  -   Siri 84  
Siri 85  -   Siri 86  
Siri 87  -   Siri 88  
Siri 89  -   Siri 90  

November 2003
December 2003
January 2004
February 2004
March 2004
April 2004
May 2004
August 2004
October 2004
April 2005
May 2005
August 2006

| buku tetamu |

Visit my Guestbook!

| penafian |

semua tulisan di sini adalah rekaan penulis semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa, samada masih hidup atau telah meninggal. Jika ada persamaan ia hanyalah kebetulan sahaja.

| tagboard |

Powered by TagBoard
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Your E-mail: